Tindakan PKR dan DAP menghantar 1 nama iaitu Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai calon menteri besar tidak melakukan sebarang kesalahan walaupun dimurkai Sultan Selangor, kata Dr Abdul Aziz Bari.
Pakar Perlembagaan itu berkata undang-undang di Malaysia tidak menyifatkan derhaka kepada Sultan sebagai satu kesalahan jenayah dan ia tidak seperti yang ditetapkan di negara jiran Thailand.
“Setahu saya tidak ada undang-undang di Malaysia ini yang menjenayahkan apa yang dikatakan derhaka. Derhaka bukan satu kesalahan sebenarnya.
“Tidak seperti di Thailand ianya satu kesalahan. Sesiapa yang dianggap biadap kepada raja boleh dihukum dan sebagainya. Itu undang-undang mereka tetapi di sini tidak ada.
“Itu hak ‘pihak’ berkenaan menderhakakan sesiapa jadi katak atau apa,” katanya ketika berucap di forum PAS Campur Umno: Ke Mana Hala Tuju di Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur malam tadi.
Semalam, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah kecewa dengan tindakan PKR dan DAP yang mengingkari arahan baginda supaya mengemukakan lebih 2 nama untuk dipertimbangkan sebagai calon menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Pada masa sama, Sultan Selangor juga tidak menolak kemungkinan mempertimbangkan nama Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) lain daripada parti Pakatan Rakyat (PR) yang berkelayakan untuk dilantik memimpin negeri terkaya itu.
"Tindakan parti DAP dan PKR ini menggambarkan kebiadapan kepada institusi raja dan merupakan satu perbuatan derhaka kepada Sultan Selangor," titah Sultan Selangor melalui kenyataan yang dikeluarkan setiausaha sulitnya Datuk Mohamad Munir Bani.
Aziz berkata, pihak istana perlu sedar urusan pentadbiran kerajaan negeri digerakkan sebuah kerajaan yang dipilih rakyat dan segala urusan pentadbiran berada di bawah tanggungjawab mereka.
Katanya, konsep demokrasi berparlimen jelas melindungi istana daripada terlibat dengan kancah politik berbeza seperti negara yang mengamalkan lantikan pemimpinnya secara terus.
“Adakah istana sanggup dilibatkan jika kerajaan ini gagal? Jika sistem ekonomi dan prestasinya gagal? Mahu? Jadi macam Brunei atau Saudi. Kerajaan itu lantikan peribadi raja. Apa-apa hal raja tanggung. Jangan komen, jangan kata, jangan kritik.
“Demokrasi berparlimen untuk lindungi istana supaya jangan terlibat dengan politik. Itu tujuannya,” katanya kepada 400 hadirin yang menghadiri forum berkenaan.
Beliau turut membidas kenyataan Setiausaha PAS Selangor Mohd Khairuddin Othman semalam yang menggesa rakan parti dalam Pakatan Rakyat (PR) supaya akur kepada titah Sultan Selangor dalam kemelut melibatkan nama calon menteri besar yang masih berlarutan.
Katanya, bukan pemimpin PR yang menderhaka kepada institusi diraja sebaliknya perkara berkenaan terdahulu dilakukan oleh Umno dalam krisis pentadbiran sebelumnya.
“Saya dapati setiausaha PAS Selangor agak pelik kerana dia seolah-olah melihat ini satu usaha melawan dengan istana. Tiada siapa yang mahu berlawan dengan istana. Yang menuduh kita melawan istana adalah Umno.
“Dalam demokrasi tiada apa yang dikatakan kuasa mutlak. Dalam Islam pun tidak ada. Kuasa mutlak hanya kepada Allah, raja segala raja,” katanya.
Khairuddin dalam satu kenyataan semalam berkata kedegilan PKR dan DAP dalam kemelut menteri besar Selangor adalah perkara sia-sia kerana ia menyusahkan rakyat Selangor.
"PAS Selangor mohon rakan kita agar akur kepada titah Tuanku Sultan kerana kita tidak akan ke mana-mana apabila menentang institusi raja ini.
"Kita yakin kemelut ini boleh diselesaikan dan kita harap ia diselesaikan segera. Lagi lama kemelut ini berlaku, maka lagi susah rakyat kita.
"Cukuplah. Mari kita fikir pula masalah kebajikan rakyat yang sudah lama tergendala," katanya. – 9 September, 2014. (TMI)
No comments:
Post a Comment