Wednesday, September 03, 2014

Gadis Ini Dipaksa Jadi Pelacur, Sebuah Catatan Pengalaman..

Foto
PERISTIWA silam terus menghantui fikiran Zunera dan Shaista.

Susunan Norlaila Hamima Jamaluddin

Impiannya mahu menjadi jurutera komputer. Namun pada usia 16 tahun, Zunera, gadis manis dari Pakistan yang bermata galak itu diperdaya untuk dijadikan pelacur di Emiriah Arab Bersatu (UAE). Musnah impian-nya untuk menjadi wanita terpelajar apabila selama empat tahun dia disiksa dan dirogol.

Sejak dulu Pakistan memang terkenal menjadi penyumbang tenaga buruh yang murah di negara Teluk, khususnya dalam sektor pembinaan yang semakin berkembang. Namun pihak berkuasa juga mengakui ramai wanita muda Pakistan diseludup masuk ke negara Teluk setiap tahun untuk ‘menyumbang tenaga’ dalam perdagangan seks di rumah pelacuran dan kelab malam di Dubai. Zunera dan kakaknya antara mangsa yang diperdagangkan di sana.

Kini selepas setahun bebas daripada cengkaman pihak tidak bertanggungjawab, kepahitan pengalaman lalu masih menghantui Zunera. Suaranya tersekat-sekat apabila bercakap, malah badannya juga dipenuhi parut kesan dipukul berkali-kali. Parut besar yang menjalar di kakinya dari buku lali hingga ke paha mengingatkannya kepada pengalaman menakutkan apabila dia ditembak tiga kali oleh kumpulan penyeludup yang bertang-gungjawab memusnahkan hidupnya.

Pada 2013, Zunera dan kakaknya Shaista berjaya melarikan diri daripada genggaman penjenayah. Walaupun sudah bebas, dua beradik berkenaan masih hidup dalam ketakutan dan menyorok di rumah dua bilik di kawasan setinggan. Dua beradik itu sentiasa dirundung perasaan takut dan bimbang jika kumpulan penyeludup memburu dan cuba membalas dendam terhadap mereka.

Kisah hitam Zunera dan Shaista bermula di kampung halaman mereka di wilayah Punjab apabila keluarga dua beradik itu berhadapan masalah kewangan. Jiran mereka yang dikenali dengan nama Ayesha menawarkan dua beradik berkenaan bekerja sebagai pembantu rumah. Ayesha kemudiannya menyuarakan hasratnya kepada ayah dua beradik berkenaan untuk menjadikan mereka sebagai pekerja di salun kecantikannya di Dubai.

Dia juga menyediakan dokumen palsu bagi membolehkan Zunera yang masih di bawah umur keluar dari Pakistan dan bekerja di luar negara. Ketika suara Zunera tersekat-sekat bercerita kisah hitam mereka, Shaista langsung tidak boleh berkata-kata kerana terlalu trauma dengan pengalaman buruk yang dilalui. Sambil menahan air mata, Zunera meneruskan ceritanya.

“Kami tidak tahu rupa-rupanya perkara yang menakutkan sedang menanti di Dubai. Sebaik tiba di lapangan terbang di Dubai, Ayesha membawa kami ke tandas dan memberitahu bahawa kami perlu melayan pelanggannya yang mahukan ‘hidangan seks’.

“Mendengar kata-katanya kami amat terkejut dan mula menangis. Dia mengingatkan kami keluar negara menggunakan dokumen palsu dan mengugut untuk menyerahkan kami kepada polis di sana jika membantah,” katanya.

Memikirkan mereka tidak perlu mengadakan hubungan seks, maka dua beradik itu akur dengan arahan Ayesha dan mengikutnya.

“Pada kali pertama, dia turut berada dalam bilik itu dan memaksa kami melakukan apa saja yang dikehendaki pelanggan. Tergamak dia dan pembantunya melihat kami berdua dirogol,” sambung Zunera sambil mengesat air mata.

Selepas itu setiap kali ada pelanggan, Ayesha memberitahu pelanggannya untuk menghubungi telefonnya dan tidak memutuskan panggilan berkenaan sepanjang hubungan seks dilakukan. Ini bagi membolehkan ibu ayam berkenaan mendengar dan mengetahui apa yang berlaku - sekiranya Zunera dan Shaista enggan melayan mereka.

“Dia mendera kami jika kami tidak mahu melakukan mana-mana aksi seks. Ayesha menegaskan dia tahu apa yang berlaku dalam bilik sepanjang masa kami bersama pelanggan,” kata Zunera lagi.

Mereka bukan saja tidak dibenarkan keluar, malah dilarang berbual semasa sendiri. Sekali-sekala mereka dibenarkan bercakap dengan keluarga di Pakistan melalui telefon, itu pun di bawah pengawasan ketat.

“Dia selalu memukul kami. Jika saya atau kakak bercakap dengan ibu bapa melalui telefon, dia mengugut akan membunuh kami sekiranya kami bercerita mengenai rumah pelacuran itu,” jelasnya.

Dari semasa ke semasa ibu ayam berkenaan membawa Zunera dan Shaista balik ke Pakistan bagi memperbaharui visa mereka. Setiap kali itu dia mengancam akan membunuh seisi keluarga mereka sekiranya dua beradik itu berani membuka mulut dan mendedahkan tipu dayanya.

Akhirnya pada Mac tahun lalu, dua gadis malang itu nekad memberitahu kejadian sebenar kepada kakak mereka, Qamar yang berusaha membebaskan Zunera dan Shaista. Namun pembebasan itu menuntut pengorbanan yang besar.

“Abang dan adik lelaki suami Ayesha datang ke rumah kami. Mereka melepaskan tiga das tembakan yang mengenai kaki saya. Ketika berada di hospital, Ayesha mengupah polis untuk menyeksa saya dan memaksa saya berjalan walaupun tahu saya baru saja menjalani pembedahan,” kata Zunera.

Kejadian itu membuatkan keluarganya segera membawa Zunera keluar dari hospital dan berpindah ke tempat lain. Ini kerana jiran tetangga juga mula menganiaya mereka sekeluarga selepas mengetahui Zunera dan Shaista pernah bekerja sebagai pelacur.

Keluarga Zunera cuba mendapatkan bantuan mahkamah untuk menghentikan jenayah pemerdagangan wanita yang dilakukan Ayesha dan suaminya, Ashfaq. Mahkamah sudah mengarahkan Agensi Penyiasatan Pusat (FIA) untuk menyiasat kes berkenaan, tetapi sehingga kini ia tidak menunjukkan banyak perkembangan.

Menurut peguam, Zulfiqar Ali Bhutta yang mengendalikan kes Zunera, kumpulan penyeludup mempunyai hubungan baik dengan ahli politik dan polis.

“Setiap minggu puluhan gadis muda dari Pakistan diseludup ke Dubai untuk dijadikan pelacur, tetapi tiada pihak yang mengambil tindakan ke atas mereka.
“Tertuduh utama dalam kes ini, Ashfaq boleh bergerak bebas di depan pegawai FIA. Mereka tidak menangkapnya walaupun mahkamah membatalkan arahan yang membenarkan dia diikat jamin,” kata Zulfiqar lagi.

Berdasarkan data terbaru Jabatan Negara Amerika Syarikat, pada 2013 kerajaan UAE mengenal pasti 40 mangsa dan merujuk mereka ke rumah perlindungan yang dibiayai kerajaan. Bagaimanapun, ketika pihak berkuasa UAE bersungguh-sungguh mengatasi masalah pemerdagangan wanita, keadaan sebaliknya berlaku di Pakistan.

“Memang benar ratusan remaja perempuan dibawa ke Dubai untuk bekerja di salun kecantikan dalam kumpulan tarian dan muzik, tetapi tiada bukti menunjukkan mereka diseludup dan dijadikan pelacur,” kata Syed Hassan, timbalan pengarah FIA di Faisalabad.

Kenyataan itu membuatkan kehidupan wanita malang seperti Zunera dan Shaista semakin tidak keruan.

Ayesha si ibu ayam sudah menyerah dan mahkamah membebaskannya dengan ikat jamin. Pembebasannya menyebabkan hati dua beradik yang menjadi mangsa ketamakannya tidak tenteram, terus dilanda kebimbangan dan ketakutan. Dua beradik itu takut penembak upahan akan kembali mencari mereka. - AFP

2 comments:

agen jamsi said...

sungguh pilu gadis-gadis palestina tiada hukum yang membantunya

yulia herbal said...

bagaimana peran pemerinytah di sana

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails