Saturday, September 20, 2014

Jangan Jadi Pengemis Di Negara Sendiri -Usul Hartanah Johor



BATU PAHAT: Muktamar Tahunan PAS Ke 60 hari ini meluluskan usul Pemuda PAS Malaysia berhubung dengan isu pemilikan hartanah di Negeri Johor dengan pindaan.

Naib Ketua Pemuda PAS Malaysia, Khairil Nizam Khirudin ketika membentang usul tersebut melahirkan kerisauan atas kelonggaran Kerajaan Negeri Johor dalam mengawal pemilikan hartanah kepada warga asing.

Beliau menjelaskan pengurusan tanpa terkawal ini menyebabkan nilai hartanah melambung tinggi sehingga menyukarkan rakyat negara ini memiliki rumah sendiri selain penguasaan warga asing dalam pemilikan rumah.

"Jangan sampai kita menjadi pengemis di negara sendiri, rakyat tidak mampu menjadi pemilik rumah mahupun hartanah.
"Atas sebab itu Pemuda PAS mengusul agar muktamar meluluskan dan menggesa kerajaan menansuhkan segala keistimewaan yang diberikan kepada warga asing termasuk mengawal penjualan kepada mereka.
"Selain itu juga meminta kerajaan mewujudkan data pemilikan hartanah dari kalangan warga asing bagi mengatasi penjajah halus mereka.
"Kita turut meminta kerajaan memansuhkan GST dan juga TPPA agar kita besa dari pengawalan harga serta ia dapat menghindari kenaikan harga hartanah," ucap beliau.

Khairil yang turut meminta agar muktamar meluluskan serta menggesa Menteri Besar Johor meletakkan jawatan atas kegagalan pengawalan pemilikan hartanah yang berlaku di Iskandar Malaysia.

Dalam pada itu wakil Johor mengenai usul tersebut menolak gesaan Pemuda yang ingin mendesak Menteri Besar Johor meletak jawatan tetapi mencadangan dua cadangan tambahan mewujudkan 40 peratus rumah kos rendah di kawasan Iskandar Malaysia yang sehingga ini gagal dilakukan kerajaan negeri.

Selain itu juga, beliau turut meminta kerajaan negeri mengadakan rumah mampun milik di negeri itu bagi memberi peluang kepada golongan tertentu.

Khairil yang bangun untuk untuk membahas cadangan tersebut turut bersetuju dengan cadangan itu dan meminta ia ditambah dalam usul yang asal, kegagalan Menteri Besar melaksanakan cadangan tersebut Pemuda turut menggesa Menteri Besar meletakkan jawatan.

USUL PEMILIKAN HARTANAH

Bersempena Muktamar Tahunan PAS Ke-60 yang berlangsung di negeri Johor Darul Takzim, maka Dewan Pemuda PAS Malaysia (DPPM) dengan ini mencadangkan satu usul untuk dibahaskan mengenai isu pemilikan hartanah di Malaysia khususnya di negeri Selatan tanah air ini. Pemilikan hartanah yang sebenarnya dimiliki oleh rakyat Malaysia berdasarkan status pasaran hartanah semasa dan projek-projek mega yang dibangunkan khususnya di bandar-bandar utama seluruh negara.

Isi-isi:

1. Contoh isu utama yang ingin dibangkitkan adalah khusus mengenai liputan projek pembinaan bandar Medini yang berkeluasan 902.44 hektar, di Nusajaya, Iskandar Malaysia. Projek pembinaan ini tidak mempunyai apa-apa had limitiasi terhadap pemilikan oleh warga asing sepertimana yang digariskan oleh pihak kerajaan dalam pembentangan Bajet 2014 yang lalu.

2. Antaranya, ia mendapat pengecualian Real Property Gain Tax (RPGT) dan tiada had minimum pembelian hartanah bagi warga asing yang bernilai RM 1 juta ringgit. Malah, setiap syarikat korporat yang diluluskan untuk beroperasi di Medini banyak mendapat beberapa keistimewaan di bawah ‘incentive and support packages’. Contohnya, pengecualian cukai pendapatan bagi setiap pemaju, badan pengurusan, aktiviti pemasaran sehingga tahun 2020.

3. Sementara itu, tren pembinaan kediaman-kediaman mewah terutamanya bagi segmen jenis kondominium di bandar-bandar utama seluruh negara telah menjadikan nilai hartanah sekitarnya berdepan dengan kenaikan yang mendadak. Daripada maklumat yang diperolehi, sebanyak 27,000 unit kediaman mewah telah ditawarkan sehingga 2013 dan dijangka sebanyak 5,204 unit baharu lagi akan ditambah pada tahun 2014.

4. Daripada maklumat yang dikongsikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan REI, Dr Daniel Gambero, pemaju-pemaju di Malaysia ghairah membina hartanah kos tinggi yang sebenarnya mampu dimiliki oleh 30% sahaja rakyat Malaysia. Idealnya, nisbah yang sihat bagi pasaran hartanah adalah 20 (hartanah kos tinggi): 60 (hartanah mampu milik). Namun, hakikatnya hartanah yang ditawarkan di pasaran pada hari ini berkos tinggi sehingga menjangkau kira-kira 60% hingga 70%. Persoalannya, siapakah pemilik rumah tersebut?

DESAKAN USUL

Berdasarkan usul yang diutarakan ini, maka Dewan Pemuda PAS Malaysia mengambil ketetapan dalam Muktamar Tahunan PAS Ke-60 pada hari ini ingin mendesak supaya;

a) Pihak kerajaan memansuhkan apa-apa keistimewaan terhadap pemilikan hartanah oleh warga asing khususnya di Iskandar Malaysia, Lembah Klang dan bandar-bandar utama seluruh negara supaya tidak berlaku double standard terhadap layanan yang diberikan terhadap rakyat Malaysia. Ia juga melahirkan kebimbangan terhadap penguasaan hartanah yang kemungkinan didominasi oleh warga asing dan akan mengakibatkan penjajahan halus (neo kolonialisme) di negara ini.

b)   Kerajaan Persekutuan dan kerajaan-kerajaan negeri mesti mengamalkan sikap telus dan akauntabiliti terhadap rakyat dengan mengemukakan data pemilikan hartanah oleh warga asing di negara ini. Ia bagi menggambarkan situasi sebenar pasaran hartanah di negara dan juga bertujuan untuk mengekang spekulasi lambungan harga rumah yang keterlaluan sehingga mengesampingkan keperluan rakyat terutama generasi muda yang telah dilabel sebagai generasi penyewa atas ketidakupayaan memiliki kediamaan di negara sendiri.

Menyedari bahawa tindakan kerajaan membuka ruang kepada warga negara asing untuk memiliki hartanah dalam negara kita menyebabkan anak-anak tempatan hilang kelayakan untuk memiliki hartanah tersebut.

Memahami bahawa akibat pengecualian Wilayah Iskandar di Johor daripada dikenakan had minima harga hartanah yang boleh dimiliki oleh warganegara asing menyebabkan sekitar 80 peratus hartanah di kawasan tersebut dimiliki oleh warganegara asing.

Maka Muktamar Parti Islam Se-Malaysia Kali Ke-60 yang bersidang pada hari ini, 23 Zulqaedah 1435 bersamaan dengan 18 September 2014, di Parit Raja, Johor Darul Takzim  mendesak supaya Menteri Besar Johor meletakkan jawatan kerana bertanggungjawab ke atas hilangnya hartanah bernilai tinggi di negeri ini kepada warga dan negara asing. - HARAKAHDAILY 19/9/2014

No comments:

Post a Comment