Sunday, September 21, 2014

Ketua Hubungan Luar Hamas, Puji K'jaan M'sia


 

KUALA LUMPUR: Membina dan menyusun semula Gaza yang musnah dalam serangan udara tujuh minggu rejim Israel menjadi keutamaan kepada rakyat Palestin selepas gencatan senjata berkuat kuasa bulan lalu.
  
Ketua Hubungan Luar Hamas, Usamah Hamdan berkata kira-kira 500,000 rakyat Palestin hilang tempat tinggal dalam serangan itu.
  
"Keperluan asas, rumah, sekolah, infrastruktur dan lain-lain lagi perlu dibina semula sebelum musim sejuk dalam tempoh dua bulan lagi," katanya kepada Bernama.
  
Beliau tiba di sini pada Selasa untuk lawatan kerja lima hari. Beliau berkata Gaza hanya mendapat enam jam bekalan elektrik akibat stesen jana utama dirosakkan Israel.  
  
Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu melaporkan 2,133 rakyat Palestin terbunuh termasuk 1,489 orang awam. Usamah berkata membina semula Gaza memerlukan perbelanjaan US$5 bilion. Beliau kesal kerana Israel turut menyasarkan kemudahan awam termasuk sumber air.
  
Mesir akan menjadi hos kepada persidangan untuk menyusun semula Semenanjung Gaza pada 12 Okt ini di Kaherah, katanya. Dalam pada itu beliau berkata bahan binaan sukar dibawa masuk ke Semenajung Gaza ekoran sekatan yang dikenakan Israel.   Usamah juga berkata selepas perjanjian gencatan senjata, nelayan hanya dibenar tentera Israel membawa bot mereka sejauh enam batu nautika dari kawasan pantai Gaza.
  
"Tetapi kami sepatutnya sampai 12 batu nautika. Oleh itu kami memerlukan pertolongan masyarakat antarabangsa," katanya.
  
Beliau memuji kerajaan Malaysia yang bermurah hati membantu rakyat Palestin.
  
"Kerajaan (Malaysia) memain peranan penting dalam membina semula Gaza dan menyokong kerajaan perpaduan," katanya. - Bernama

No comments:

Post a Comment