Friday, September 26, 2014

Larangan Berhijab FIBA, Satu Penghinaan Agama. -Pasukan Qatar


PASUKAN bola keranjang wanita Qatar meninggalkan gelanggang sebelum bermula perlawanan menentang Mongolia di Kompleks Sukan Hwaseong, Incheon kelmarin selepas pemainnya yang memakai hijab tidak dibenarkan memasuki gelanggang oleh FIBA. Tindakan mereka diulang semalam sebelum perlawanan menentang Nepal. - REUTERS

SUKAN 
Qatar kecam larangan berhijab oleh FIBA
INCHEON - Pemain bola keranjang wanita Qatar semalam mengecam larangan terhadap mereka yang memakai tudung kepala dan menganggapnya sebagai satu 'penghinaan' selepas sekali lagi membuat keputusan meninggalkan gelanggang untuk perlawanan kedua Sukan Asia.

Pasukan negara Teluk itu telah membantah keras larangan oleh Persekutuan Bola Keranjang Antarabangsa (FIBA) ke atas pemakaian tudung kepala di gelanggang.

"Ini satu penghinaan kepada kami, mereka tidak menghormati agama kami," kata penyerang Qatar, Refaa Morjan Mohammed yang menambah bahawa pasukan itu banyak kali memakai tudung dalam Kejohanan Arab tanpa masalah.

Ketua pasukan Qatar, Amal Mohammed Saleh yang bermain di bahagian tengah dengan berhijab berkata, larangan itu tidak masuk akal kerana sukan tempur membenarkannya. Qatar tidak dibenarkan bermain untuk perlawanan menentang Mongolia dalam pusingan kelayakan kelmarin dan perlawanan mereka menentang Nepal semalam.

Mereka berkata, mereka tidak akan ke stadium bagi perlawanan menentang Kazakhstan hari ini kecuali mereka boleh memakai hijab.

"Kami sudah bersedia untuk perlawanan itu, tetapi kami terkejut di stadium apabila kami tidak boleh bermain dengan memakai tudung - ini satu penghinaan kepada kami.
"Apa isu keselamatannya? Judo, karate dan bola baling sukan yang jauh lebih ganas daripada bola keranjang - dalam bola keranjang ada pembatalan jika berlaku sebarang pertembungan, jadi apa isu keselamatan yang kita cakapkan?," kata pemain berusia 34 tahun itu.

Pemain tengah Amal Mohamed Awad, 28, memberi amaran bahawa sukan itu akan bermasalah di negara Asia Barat kecuali FIBA berubah hati.

"Saya meminta pihak berkuasa berkenaan untuk membenarkan kami bermain dengan berhijab - ada banyak negara Arab mahu menyertai (pertandingan bola keranjang) tetapi keberatan untuk melakukannya kerana undang-undang FIBA," katanya.

Skuad Qatar mempunyai lima pemain yang memakai hijab dan enam yang tidak berbuat begitu.
Slogan Sukan Asia Incheon ialah 'Kepelbagaian menyinar di sini", tetapi warga Qatar itu merungut mengenai peraturan hijab yang bercanggah dengan prinsip Olimpik dalam menghormati budaya dan agama.

FIBA tidak mengulas. Badan induk itu tertekan namun akur dengan banyak sukan lain termasuk bola sepak membenarkan pemakaian skaf kepala. Warga Qatar itu mendapat sokongan Majlis Olimpik Asia yang ketua pengarahnya, Husain Al-Musallam berkata, hak atlet wajar menjadi "keutamaan tertinggi".

Jurucakap Sukan Asia Incheon, Park Dal-Hwa bagaimanapun berkata, penganjur menyerahkannya kepada persekutuan sukan berkaitan untuk mengendalikan bantahan itu. - AFP

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails