Wednesday, September 17, 2014

Muslimat, Jalinkan Jaringan Ukhuwah -DMP Siti Zailah


SKUDAI: Ketua Dewan  Muslimat PAS Pusat Siti Zailah Mohd Yusof menasihati para perwakilan agar menjalinkan jaringan ukhuwah dengan rakan seperjuangan sebagai ikatan kekeluargaan.

Jelasnya, muslimat digesa meninggalkan hal-hal remeh sebagai pencetus kepada perbalahan dan perseteruan, di samping menyuburkan budaya syura, wala’ dan tsiqah dalam kehidupan berorganisasi (berjama’ah).

"Muslimah perlu menghayati sifat dan sikap menghargai pihak lain. Ada juga dalam kalangan kita apabila memerlukan sumbangan kita sanggup berjumpa dengan siapa sahaja.
"Tetapi dalam keadaan lain kadang-kadang kita buat-buat lupa dan seolah-olah tidak mengenali penyumbang tersebut. Perjuangan yang berkat hanya akan zahir jika para Muslimat berjaya memahami dan memenuhi segala hal tersebut," katanya.

Tegasnya, Muslimat PAS yang memiliki akhlak Islam tidak melakukan perkara yang tidak layak bagi seorang pejuang terutama dalam usaha memenangi hati masyarakat.

"Antaranya elakkan bercakap dan bertindak kasar serta kesat; Mencipta sengketa dan meramaikan musuh; Menghina dan mendedahkan keaiban peribadi orang; Sempit dada dan tidak mendengar pandangan orang lain; Mendedah dan menerima maklumat tanpa fakta; Melampau dan keterlaluan dalam tindakan. Islam; mengajar prinsip akhlak dalam perjuangan sekalipun di medan peperangan," katanya.

Selain itu, katanya, Muslimat PAS mesti berani menerima kepelbagaian dalam pemikiran dan sikap wanita   serta bersama memimpin atas kepercayaan yang sama demi kebaikan masa depan negara. Bahkan katanya, Muslimat PAS perlu menyediakan banyak ruang untuk kaum wanita bergaul mesra sama ada melalui struktur formal atau tidak formal melalui aktiviti-aktiviti kebajikan dan kewanitaan.

Bagaimanapun, beliau akui kepentingan tarbiyah dalam kalangan muslimat menjadi asas penting dalam jemaah dan proses ini perlu dilakukan secara konsistan dan berhemah sebagai objektif melahirkan ahli yang berkualiti.

"Apabila sesekali kita diuji, sesekali kita dihina, sesekali kita difitnah, sesekali kita ditimpa duka, sesekali amanah perjuangan dan kepimpinan itu terasa begitu berat, meletihkan, menyesakkan maka marilah kita kembali kepada Allah," katanya. – HARAKAHDAILY 17/9/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails