Saturday, September 13, 2014

Pasma: Ulasan Subky Latif. "Saya tidak fikir Husam Musa...



Oleh SUBKY LATIF
Husam Musa

SEPATUTNYA saya tidak perlu ulas. Justeru penubuhan Pasma sudah disebut-sesbut sebagai serpihan PAS bagi menggantikannya dalam Pakatan Rakyat, elok juga diulas, moga-moga meredakan mereka yang keliru dengan politik.
   
Ia dikatakan usaha segelintir orang PAS dan beberapa orang PAS telah disebut dimasukkan dalam penajanya. Saya tidak fikir Husam Musa yang dinamakan sebagai Presidennya sedia mengorbankan potensi masa depannya yang cerah dalam PAS dan dalam penguasaan Putrajaya selepas PRU14 sedia serta dalam remeh politik itu.
  
Saya kurang arif dengan sikap Ustaz Ahmad Awang yang sudah berundur daripada politik yang aktif yang dicadangkan menjadi Mursyidul Amnya. Jika dia setuju, saya tidak nampak bisanya. Yang tambah merendahkan anggapan saya ia bukan idea yang serius apabila Setiausaha penajanya Taib Ahmad, ahli PAS lama dari Kubang Pasu yang amat kurang pengaruhnya dalam parti.
 
Saya kenal dia. Dengan dia jadi penggerak utamanya, dia boleh daftar parti seperti Ustaz Wahab Yunus, orang PAS Dungun zaman Datuk Asri dulu. Dia simpan pendaftaran parti dan dikatakan pendaftaran dibeli oleh golongan reformasi  sebagai tapak pembentukan PKR. Itu yang saya dengar.
   
Jika ada pemimpin PAS yang hendak ikut, ia satu jalan keluar baginya setelah putus asa dalam PAS. Jika ada yang ikut, ia seperti gantung diri dalam politik. Untuk menyaingi PAS tak mungkin. Bagi mengambil alih tempat PAS dalam Pakatan Rakyat, jika berjaya, akan menjadikan Pakatan Rakyat, PKR dan DAP serta pemimpin-pemimpinnya bahan lawak jenaka terlucu.
  
Yang saya ulas ura-ura keinginan penubuhan itu kemungkinan ia diusahakan oleh sekutu PAS bagi memalukan PAS setelah ia tidak jadi tukang angguk dalam krisis politik Selangor sekarang. Setelah PAS dimalukan dengan dua ADUN disambar, maka mungkin diadakan pak sanggup bagi menggantikan tempat PAS dalam sekutu itu.
  
Tidaklah kita bersangka buruk, tetapi politik dunia ini begitu dan tidak boleh dipandang remah. Jika dari situ puncanya, habis Anwar dan Kit Siang jadi barang geli yang mengeringkan gusi.
   
Saya harap ia tidak begitu, kerana Anwar bukan setaraf pemimpin Umno yang menaja pembentukan Berjasa dan Hamim 30 tahun lalu. Jika Datuk Asri yang diketahui pintar tidak dapat menggugat PAS, maka tidak nampak Ahmad Taib boleh menjadi Erdogan bagi memandu politik baru di Malaysia.
   
Erdogan sudah dilihat lama sebagai orang Parti Refah yang menonjol lebih berdaya saing dari pimpinan Erbakan. Dia boleh kalahkan Erbakan daripada parti itu jika dia mahu. Kejayaannya sebagai Datuk Bandar Istanbul mengkagumkan semua parti politik Turki.
  
Belum ada daripada kalangan pimpinan PAS yang boleh menyamai Erdogan bagi pencabar pimpinan yang ada. Jika ada yang jadi macam Erdogan, Erdogan itu hanya ada seorang saja di dunia iaitu di Turki.
 
Jika ada orang yang hendak menjadikan Ahmad Taib dan Ustaz Ahmad Awang sebagai Erdogan PAS, ia adalah tidak lebih daripada pengarah wayang kulit yang tidak kreatif dan skrip pun tak ada.
 
Mereka boleh tidak puas hati dengan pimpinan dan pentadbiran PAS. Mereka berhak untuk mengadakan perubahan. Tetapi keutamaannya ialah menggantikan pimpinan yang lebih baik yang mereka fikirkan supaya boleh membawanya lebih ke depan terserlah. Bukan sekadar hendak menggantikan PAS sebagai sekutu Pakatan Rakyat baru.
   
Haji Yusuf Rawa, Ustaz Fadzil Noor, TG Nik Aziz dan TG Haji Hadi pernah berada dalam PAS yang pimpinan ketika itu perlu digantikan. Mereka tidak tinggalkan parti atau tubuh parti lain. Mereka kekal dan melalukan perubahan dari dalam.
   
Rancangan itu bukan satu tindakan politik pintar, apa lagi daripada orang yang berpuluh tahun dalam PAS. – HARAKAHDAILY 11/9/2014

Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-94: Ke Arah PasMa, Selamatkan Pakatan?
E-Buku IH-94: Ke Arah PasMa, Selamatkan Pakatan?

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails