Thursday, September 25, 2014

P/Kubor: Menunggu Desiran Angin Perubahan. Sebentar Lagi..


HANYA pengundi masyarakat Siam di Jubakar Darat menjadi benteng taruhan akhir Barisan Nasional (BN).

Pada pilihan raya umum lepas calon PKR, Shaharun Ibrahim hanya mendapat 83 undi, manakala BN membolot 782 undi di situ. Umno juga berkubu utuh di unit peti undi (UPU) Simpangan, Bunohan dan Teluk Jering sejak pilihan raya umum 1995.

Namun kubu Umno di UPU Bendang Pak Yong pernah dimenangi calon PAS, Wan Hussin Wan Ahmad pada PRU 1999 dengan kelebihan 159 undi. Selain itu Wan Hussin juga menang di UPU Pengkalan Kubor dengan majoriti 78 undi.

PAS sejak dahulu sehingga sekarang mendominasi UPU Tebing, Geting, Tujoh dan Telaga Bata. Berdasar kepada gerak kerja kempen PAS dan Pakatan Rakyat sepanjang kempen 12 hari, apakah ada kemungkinan berlaku pertambahan undi PAS di UPU terbabit.

Ini kerana ada kalangan mereka yang tidak keluar mengundi pada PRU memberi komitmen baru sekarang. Di Kampung Neting ada penduduk tidak mengharapkan bantuan jentera kempen dari luar bagi memasang sendiri poster kempen.

Mereka memasang sendiri poster dan bendera PAS di hadapan rumah. Mereka lebih bersemangat kerana Wan Rosdi sudah lama dikenali. Begitu juga di UPU Bendang Pak Yong. Situasi baru juga diharap ada sedikit anjakan di UPU Jubakar Darat dan Mertua. Masyarakat Siam yang rata-rata bekerja sebagai petani mengakui sudah lama mengenali calon Pakatan Rakyat.

Eh Ron, 67 dari Kampung Mertua berkata, masyarakat Siam hanya suka pemimpin yang lebih dekat dengan mereka. Katanya, kalau tidak kenal macam  mana hendak diharap dapat membantu masyarakat Siam.

“Wan Rosdi kita sudah lama kenal. Dia selalu datang ke Kampung Mertua. Sejak enam tahun lepas hubungan rapat. Pemimpin macam inilah yang kita harapkan.
“Calon BN kita tidak kenal biar pun bertugas sebagai guru. Kalau tak kenal payah sikit hendak pilih. Dahulu wakil rakyat BN kita kenal dia,” katanya di sini.

Beliau memberitahu masyarakat Siam menerima banyak kemudahan disediakan kerajaan negeri termasuk bantuan Skim Takaful Kifaalah sebanyak RM1,500 apabila berlaku kematian warga emas.

“Selain itu pemuda miskin yang hendak berkahwin diberi bantuan RM1,000. Wan Rosdi datang sendiri ke rumah penduduk menyampaikan bantuan.
“Sebab itulah penduduk Siam rapat dengan dia. Saya yakin ada perubahan undi masyarakat Siam kali ini,” katanya.

Beberapa lagi penduduk Siam ketika ditemui turut mengakui perkara sama. Paling acap mereka sebut sudah lama kenal Wan Rosdi. E Chian, 66 dari Mertua juga kenal rapat dengan Wan Rosdi kerana dia selalu datang ke kampung tersebut.

Mek Deng Chan Ho, 73 juga dari Kampung Mertua memberitahu sering bertemu dengan Wan Rosdi. Pengundi Siam di Mertua dan Jubakar Darat membuang undi di Sekolah Kebangsaan Sri Neting. Ramai yang keluar mengundi pada pagi tadi.

Pada pilihan raya umum lepas calon PAS kerusi parlimen Tumpat, Datuk Kamaruddin Jaffar mendapat 104 undi Siam di SK Sri Neting, manakala calon BN, Mansor Salleh pula mendapat 767 undi. Undi BN juga tinggi di UPU Simpangan, UPU Telaga Bata dan UPU Pengkalan Kubor. Apakah ada perubahan kali ini atau statik dengan keputusan lama?

Apakah angin Laut China Selatan akan melanda Pengkalan Kubor. Tunggulah keputusan muktamad malam ini. - HARAKAHDAILY 25/9/2014

"Tidak kena apa dengan ambo.. kalau ada yang salah beritahu. Kita kena ingat kita akan mati, dan selepas mati kita akan hidup balik. Perkara seperti ini Umno tidak ajar kepada rakyat. Ianya hanya ada pada politik Islam,” kata Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz.

Tuan Guru Abdul Hadi pula berkata, pilihan raya di Pengkalan Kubor ini, esok  bukan perkara suka-suka sebaliknya ada kewajipan bagi memikul amanah yang sangat besar (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails