Thursday, September 04, 2014

Solidariti Rakyat Kelantan Bersama Gaza 5 Sept



KOTA BHARU: "Sama-sama kita hadirkan diri di malam solidariti rakyat Kelantan bersama Gaza pada 5 September 2014 di Padang Perdana bermula Maghrib bagi memohon doa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan harian saudara kita di sana," ujar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Menteri Besar Kelantan itu menyatakan demikian dalam satu kenyataan, sebagaimana di bawah.

Kerajaan Negeri Kelantan amat prihatin terhadap umat islam di Gaza yang menjadi mangsa kezaliman Zionis.

Alhamdulillah, ketika genjatan senjata yang lama ini hasil desakan dan perjuangan saudara kita disana, kita di peringkat kerajaan negeri juga turut bersama masyarakat antarabangsa khasnya dalam membangun Gaza setelah terlalu banyak kemusnahan berlaku. Setakat ini dilaporkan lebih 17,000 unit rumah penduduk Gaza yang musnah.

Untuk bangunkan Gaza ini sememangnya mengambil masa yang lama, mungkin jangka masa 15 hingga 20 tahun baharu boleh siap sepenuhnya usaha pemulihan infrastruktur dan tenaga manusia.

Usaha membina semula Gaza ini dijangka akan menelan kos sebanyak USD6 bilion atau bersamaan RM18.9 bilion. Ini adalah satu kos yang sangat besar dan memerlukan seluruh masyarakat antarabangsa untuk membantu Gaza.

Pihak kerajaan negeri Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Presiden Turki baru Erdogan, diatas usahanya yang pantas membantu mangsa serangan Israel baru-baru ini dan juga tahniah kepada Raja Qatar, Syeikh Tamim bin Hamad Ali Thani yang telah isytihar bahawa kerajaan Qatar akan membantu bangunkan semula Gaza baru.

Selain bantuan pembinaan semula Gaza, saya difahamkan kerajaan Qatar telah menyumbangkan USD1,000 kepada setiap mangsa yang rumahnya telah musnah.

Di sini pihak Kerajaan Negeri Kelantan menuntut kepada pihak antarabangsa agar mendesak:
  1. Supaya Israel membuka lebih banyak pintu masuk di sempadan dengan Gaza bagi membolehkan barangan, termasuk bantuan kemanusiaan disalurkan dengan mudah.
  2. Supaya negara Mesir membuka dan memudahkan urusan di sempadan Rafah bagi pihak bantuan kemanusiaan dari luar untuk memasuki Gaza.
  3. Supaya diberi hak kepada rakyat Gaza untuk lebih banyak memajukan tanah ladang berdekatan dengan sempadan disamping membuka ruang di luar pantai Gaza tanpa had hanya 3 batu sahaja seperti sebelum ini bagi memudahkan nelayan Gaza mencari rezeki mereka.
  4. Supaya pihak Israel membebaskan beratus-ratus tahanan Palestin yang ditahan di Tebing Barat ketika ini.
  5. Supaya bantuan asasi segera seperti bekalan air bersih juga kemudahan-kemudahan pendidikan anak-anak Gaza disalurkan dengan mudah. Pembinaan segera sekolah, masjid termasuk lapangan terbang di Gaza yang telah ditutup pada tahun 2000 selepas dibom oleh Israel juga perlu diutamakan.
Pihak kerajaan negeri insyaallah turut menyumbang bagi membina semula Gaza ini dengan kemampuan yang kita ada dan pihak kerajaan negeri menyeru badan-badan berkanun, agensi-agensi kerajaan, seluruh rakyat untuk turut sama menyumbang bagi mengumpulkan dana untuk pembinaan Gaza baru ini.

Sama-sama kita hadirkan diri di malam solidariti rakyat Kelantan bersama Gaza pada 5 September 2014 di Padang Perdana bermula Maghrib bagi memohon doa kepada Allah agar dipermudahkan segala urusan harian saudara kita di sana serta untuk menyerahkan sumbangan pada malam tersebut. - HARAKAHDAILY 3/9/2014

No comments:

Post a Comment