Saturday, October 11, 2014

Bajet 2015: Apa kata Azmin, Sim Tze Tzin & Takiyuddin Hassan



Media merakamkan gambar Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali di luar Dewan Rakyat selepas pembentangan Bajet 2015, petang ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Oktober, 2014. Media merakamkan gambar Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali di luar Dewan Rakyat selepas pembentangan Bajet 2015, petang ini. – Gambar The Malaysian Insider oleh Afif Abd Halim, 10 Oktober, 2014.
Bajet 2015 yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dilihat gagal berperanan meningkatkan ekonomi negara, kata Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali.

Katanya, kerajaan pentadbiran Barisan Nasional tidak memberikan tumpuan yang jelas kepada usaha menangani aktiviti ekonomi yang tidak konsisten dan pembaziran dalam pembentangan bajet kali ini.

"Saya lihat bajet ini tidak memberi penumpuan jelas tentang bagaimana untuk menangani isu pembaziran projek kerajaan.
"Ia tidak merancakkan ekonomi rakyat seperti yang sepatutnya," kata ahli Parlimen Gombak itu kepada pemberita selepas selesai pembentangan bajet itu di Parlimen.

Najib membentang bajet keenamnya hari ini, bertemakan Ekonomi Keperluan Rakyat, memperuntukkan sejumlah RM273.9 bilion, meningkat RM9.8 bilion berbanding peruntukan asal 2014.

Azmin berkata, bajet bagi memperkasakan ekonomi rakyat memerlukan penekanan kualiti pendidikan yang bagus, latihan dan inovasi agresif, tetapi ia langsung tidak ditekankan dalam Bajet 2015. 
 
Sementara itu, Ahli Parlimen Bayan Baru Sim Tze Tzin berkata beliau tertanya-tanya dengan keputusan Najib menaikkan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) akan mengecewakan bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad. Dalam pembentangan Bajet 2015, Najib berkata kerajaan meningkatkan pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) kepada golongan berpendapatan rendah daripada RM650 kepada RM950 mulai tahun depan. Najib yang juga menteri kewangan berkata, Putrajaya akan meningkatkan BR1M daripada RM650 kepada RM950 bagi isi rumah berpendapatan bulanan RM3,000 dan ke bawah.
 
Ahli Parlimen Kota Baru Datuk Takiyuddin Hassan dalam reaksinya mempersoalkan defisit kerajaan berjumlah RM38 bilion. Katanya, kerajaan masih gagal untuk meningkatkan pendapatan rakyat dan ini menunjukkan betapa lemah pengurusan ekonomi.

"Defisit RM38 bilion, ia bukan bajet yang baik. Bagi kami ia bajet yang tidak berimbang. Pendapatan negara masih belum menunjukkan kemajuan dalam pengendalian ekonomi pihak persekutuan," kata Takiyuddin. – 10 Oktober, 2014. (TMI)

No comments:

Post a Comment