Saturday, October 11, 2014

Bajet 2015 'bajet sakit' -Suhaizan Kaiyat


KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia menyifatkan Bajet 2015 sebagai belanjawan kurang sihat apabila lebih banyak peruntukan pengurusan berbanding pembangunan. Ketuanya, Suhaizan Kaiyat berkata, nisbah peruntukan untuk pengurusan adalah 80 peratus berbanding untuk pembangunan sebanyak 20 peratus.

"Ini menunjukkan bajet yang kurang sihat kerana bajet untuk pengurusan terlalu banyak.
"Kalau untuk pengurusan maksudnya belanja hangus, tiada pulangan," kata beliau pada sidang media di Pejabat Agung PAS Pusat, Jalan Raja Laut, dekat sini.

Suhaizan juga berkata, kerajaan lebih banyak mengumumkan projek pembangunan di bandar berbanding di luar bandar.

"Projek-projek pembangunan hanya bertumpu di bandar dan meminggirkan luar bandar.
"Di negeri-negeri misalnya Kelantan masih tidak mendapat peruntukan yang sepatutnya," katanya.

Kawal harga rumah

Menyentuh insentif untuk golongan muda pula, beliau menyambut baik pemberian kemudahan untuk golongan muda membeli rumah pertana namun mahu kerajaan turut mengawal kenaikan harga rumah.

"Memang ada insentif untuk golongan muda membeli rumah pertama tapi saya tidak nampak bagaimana kerajaan boleh mengawal kenaikan harga rumah.
"Harga rumah naik mendadak hingga golongan muda yang berpendapatan sederhana tidak mampu untuk membeli rumah," katanya lagi.

Untung peraih

Sementara itu beliau berkata, peruntukan RM100 juta untuk menyelesaikan masalah penoreh getah tidak diberikan terus kepada penoreh sebaliknya memberi keuntungan kepada peraih.

"Insentif 100 juta untuk penoreh tidak dapat menyelesaikan masalah penoreh yang berhadapan masalah penurunan harga getah sebaliknya diberikan kepada peraih," katanya.

Selain itu tegasnya, walaupun petrol tidak dikenakan Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) tetapi tiada jaminan kerajaan tidak akan menaikkan harga petrol.

"Memang kerajaan umum petrol tak dikenakan GST tapi apa jaminan kerajaan tak akan naikkan harga minyak? Sekarang pun minyak dah naik 20 sen," katanya. - HARAKAHDAILY 11/10/2014

No comments:

Post a Comment