Wednesday, October 01, 2014

Bajet 2015: Pastikan Menstruktur Ekonomi Barakah



Oleh
DR MOHD KHAIRUDDIN AMAN RAZALI

1. Kerajaan Malaysia yang diterajui Umno dan BN telah menunjukkan beberapa kelemahan yang agak ketara dalam soal pengurusan kewangan negara. Ini telah pun terbukti dalam Laporan Audit Negara saban tahun yang menunjukkan seringkali berlaku ketirisan dan ketidak efisyenan pengurusan kewangan pihak kerajaan. Perkara ini sepatutnya menjadi subjek utama yang harus ditangani oleh kerajaan sebelum memikirkan soal pengurusan ekonomi negara yang lain.

2. Semasa pembentangan Bajet 2014 dibentangkan di Parlimen, beberapa perkara besar telah menunjukkan tiada usaha ke arah penambahbaikan kepada pengurusan ekonomi negara. Kerajaan sebaliknya terus meningkatkan peruntukan perbelanjaan negara dari tahun sebelumnya. Peningkatan ini membuktikan penambahbaikan kepada masalah ketirisan dan ketidakefisyenan pengurusan kewangan tidak berlaku. Jika tidak, kita mampu mengurangkan peruntukan tersebut dan seterusnya menangani defisit negara yang berada pada tahap bahaya setakat tahun 2013 iaitu RM543.3 bilion (54.8% daripada KDNK).

3. Bajet 2015 akan dibentangkan di Parlimen pada minggu depan. Saya melihat ia tidak ada yang begitu istimewa, kemungkinan kerajaan akan mengulangi perkara yang sama atau ‘more of the same’ sangat tinggi.

4. Bajet 2015 mungkin akan penuh dengan ‘gula-gula’ dengan pemberian BR1M yang bersifat ‘one-off’ dan tidak membantu mengukuhkan ekonomi keluarga untuk tempoh jangka panjang. Isu perlaksanaan sistem pencukaian yang baharu iaitu GST juga tidak menampakkan sesuatu yang istimewa kerana cukai regresif ini akan membawa peningkatan kadar inflasi termasuk juga memberi kesan negatif kepada industri hartanah negara. Segalanya langsung tidak dipeduli pihak kerajaan.

5. Permasalahan sumber hasil kerajaan mungkin kurang diberi perhatian dalam pembentangan bajet tetapi ia tetap mempunyai kesan langsung dengan perbelanjaan kerajaan kepada rakyat awam. Perubahan cukai kepada bentuk yang lebih meluas atau ‘broad-based’ memberikan implikasi kepada rakyat berpendapatan sederhana dan rendah. Perkara yang perlu diberi perhatian di sini adakah perbelanjaan mengurus kerajaan daripada hasil cukai tersebut akan disalurkan dengan betul? Walaubagaimanapun, perbincangan ini tidak pernah 'menghalalkan' tindakan kerajaan mengutip cukai dengan cara yang tidak diizinkan oleh syarak dan membebankan rakyat awam.

6. Selain isu pendidikan dan keselamatan yang akan diberi penekanan oleh para penganalisis bajet, isu pembangunan infrastruktur terutamanya bagi masyarakat Sabah dan Sarawak juga perlu diteliti. Pembangunan di negeri-negeri ini masih terlalu jauh untuk dibandingkan dengan kepesatan pembangunan di bahagian semenanjung negara. Sekali lagi, soal pengurusan perbelanjaan menjadi tanda tanya. Mengapa selepas 57 tahun Sabah dan Sarawak bergabung dengan Malaysia, pembangunan di sana masih tidak mampu diselesai? Tiada peruntukan khusus atau masalah pengurusan yang tidak telus?

7. Perkara asas yang membelenggu perbincangan tentang hala tuju ekonomi negara adalah bentuk teori yang digunapakai. Teori Keynesian yang percaya kepada sumber hutang dan pencukaian jelas mempunyai beberapa pertentangan dengan cara yang diaturkan Islam. Malah, aspek yang sering dipinggirkan apabila berbincang mengenai ekonomi adalah aspek sikap atau disebut dengan akhlak dan pengaruhnya dalam pengurusan ekonomi. Akhirnya, nilai kemanusiaan semakin terhakis dalam mengejar kejayaan material.

8. Kerajaan perlu mengambil peringatan bahawa asas pengurusan ekonomi dan kewangan Islam berasaskan iman dan taqwa pasti memberikan barakah kebaikan kepada rakyat dan negara sepertimana janji dan peringatan Allah:

وَلَوْ أَنَّ أَهْلَ الْقُرَى آَمَنُوا وَاتَّقَوْا لَفَتَحْنَا عَلَيْهِمْ بَرَكَاتٍ مِنَ السَّمَاءِ وَالْأَرْضِ وَلَكِنْ كَذَّبُوا فَأَخَذْنَاهُمْ بِمَا كَانُوا يَكْسِبُونَ
  • "Dan sekiranya penduduk negeri itu beriman dan bertaqwa pasti Kami bukakan untuk mereka keberkatan-keberkatan (rezki dan ekonomi) dari langit dan bumi tetapi malang mereka tidak percaya lalu Kami seksa mereka menerusi apa yang sedang mereka perolehi." (Surah al-A'raaf 96)

9. Kerajaan dan rakyat perlu "beriman" bahawa hanya dengan pengurusan ekonomi dan kewangan berdasarkan syariat Islam rakyat akan menikmati kemakmuran ekonomi.

10. Kerajaan dan rakyat perlu "bertaqwa" kepada Allah dengan tidak menjadikan sumber ekonomi dan kewangan yang bercanggah dengan syarak seperti sistem GST sebagai sumber pendapatan negara. Di saat itu kebaikan yang diharapkan untuk rakyat tidak akan tercapai.

11. Saya menyeru kerajaan dan rakyat untuk berpegang dan istiqamah dengan dasar pengurusan ekonomi dan kewangan berasaskan Islam.

12. Dan saya berharap ia akan diterjemahkan nanti dalam pembentangan Bajet 2015 pada 10 Oktober nanti. Kalau tidak maka tema RMK10 iaitu "Rancangan Kemakmuran Ekonomi dan Keadilan Sosial" hanya tinggal slogan!

Rabu 1 Oktober 2014
Ipoh, Perak.

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails