KL: Bajet 2015 yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak petang tadi sekadar menggunakan istilah-istilah dan penjenamaan tetapi bukan kesan sebenar ekonomi negara kepada rakyat miskin.
"Tetapi kita mahu melihat hasil dan kesan sebenar kepada rakyat terutama yang mskin yang tidak disebut oleh beliau," ujar Ahli Parlimen Tumpat, Datuk Kamarudin Jaffar.
Ini, katanya kerana keadaan ekonomi negara mengikut kajian pakar ekonomi adalah menuju kepada jurang antara golongan kaya dan miskin yang amat teruk.
Katanya, sama ada berbanding dengan negara lain atau sejarah ekonomi negara sendiri menunjukkan ia menuju kepada jurang yang amat teruk tetapi tidak ditekankan oleh Perdana Menteri dalam bajet yang dibentangkan itu.
Mengenai pengumuman beberapa pemberian kepada rakyat, katanya ia sememangnya telah diduga.
"Oleh itu pengumuman pemberian memang kita duga dan dinantikan, kerajaan iktiraf rakyat yang miskin seperti nelayan dan petani yang pendapatan isi rumah rendah adalah isu besar dalam negara kita," ujarnya yang juga AJK PAS Pusat.
Tambahnya, apa yang diharapkan daripada bajet itu ialah dasar-dasar yang baru ke arah untuk menyelesaikan masalah kemiskinan rakyat.
Beliau juga kesal kerana pembentangan bajet itu tidak menyentuh industri penerbangan negara terutama melibatkan MAS.
"Kita juga tidak diberi apa-apa penerangan berkaitan industri penerbangan seperti MAS, hanya disebut tragedi yang dilalui oleh MAS.
"Itu kita semua sudah tahu tapi apa masa depan MAS, pengurusannya tidak disentuh langsung oleh beliau," katanya.
"Supaya pelaburan negara yang bernilai beribu-ribu juta ringgit oleh rakyat awam dalam MAS tidak rugi begitu sahaja," katanya ketika ditemui di lobi parlimen.
Menurut beliau, sepatutnya Perdana Menteri menjelaskan perkara itu kerana ia melibatkan pelaburan negara termasuk kalangan pemegang saham. - HARAKAHDAILY 10/10/2014
No comments:
Post a Comment