Saturday, October 11, 2014

Bendung Harga Barang Cakap Kosong -Andansura





KUANTAN: Adun Beserah, Andansura Rabu menyifatkan langkah kerajaan menaikkan harga RON95 dan diesel sebanyak 20 sen atas alasan pengurangan subsidi, adalah tidak kena pada masanya.

Tambahnya, jaminan kerajaan untuk memantau bagi membendung kenaikan harga barang ekoran langkah tersebut, hanya cakap-cakap kosong kerana sebelum ini kerap kali gagal.

“Kerajaan sepatutnya memikirkan kaedah untuk meringankan beban hidup rakyat bukannya menambahkan beban sedia ada.

“Keadaan yang terus menghimpit hidup rakyat berterusan masalah dijangka akan lebih teruk selepas pelaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST) tahun depan,” katanya ketika ditemui di pejabatnya di sini.

Andansura yang juga Pengerusi Lajnah Alam Sekitar PAS Pahang berkata, dakwaan beberapa pihak kononnya harga barang terkawal melalui pemantauan berterusan bukan jaminan tiada kenaikan harga barangan berlaku.

Menurutnya, kenaikan harga barang tetap akan berlaku kerana peningkatan harga minyak mempunyai kesan berantai yang mendorong kepada peningkatan kos pengangkutan.

Menurutnya, langkah kerajaan itu tidak kena masanya kerana rakyat sudah terbeban dengan peningkatan kos sara hidup kebelakangan ini akibat barangan keperluan yang telah sedia tinggi.

Pada masa yang sama, pendapatan rakyat terutamanya penoreh getah dan pekebun sawit terus tersiksa dengan harga yang merudum.

“Rakyat seolah-olah ditipu sedangkan pada hakikatnya mereka terpaksa berdepan peningkatan kos hidup yang kian membebankan,” katanya.

Andansura berkata, rakyat perlu merancang satu protes dalam bentuk yang lebih berkesan termasuk bantahan berhubung GST tahun depan jika tidak mahu keadaan hidup terus menghimpit. - HARAKAHDAILY 10/10/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails