Thursday, October 02, 2014

Di sini Lahirnya Sebuah Cinta.. Selamat Hari Raya Haji, Minyak Naik?




KL: Tindakan Kerajaan Barisan Nasional (BN) menaikkan harga petrol dan diesel secara mendadak mulai hari ini adalah suatu yang amat dikesali dan mengecewakan.

"Suatu tindakan tidak bertanggungjawab di saat rakyat bersiap untuk merayakan Aidil Adha," ujar Pengerusi Lajnah Pekerja Dan Pengguna PAS Pusat, Mohd Anuar Tahir dalam satu kenyataan.

Katanya, kerajaan BN makin tidak prihatin kepada rakyat yang sedang menghadapi tekanan ekonomi yang memeritkan.

Sesungguhnya, ujar beliau kenaikan harga bahan api beberapa bulan sebelum perlaksanaan GST sudah pasti akan mempercepatkan lagi kenaikan harga barang dan perkhidmatan.

"Kenaikan terbaru ini menggambarkan betapa rakusnya kerajaan Barisan Nasional dan tidak mempedulikan nasib rakyat jelata yang semakin tertekan," katanya lagi.

Menurutnya, pengorbanan dan kesabaran rakyat langsung tidak dihargai dan dipandang sepi oleh pentadbiran Najib-Mahyuddin. Beliau menambah, rakyat sedang dipermain dan diperlecehkan oleh kerajaan yang sarat bermain slogan dan teriakan kosong.

Sehubungan itu, beliau mempersoalkan apa maknanya slogan '1Malaysia' dan 'Di sini Lahirnya Sebuah Cinta' yang menjadi tema sambutan Hari Kemerdekaan negara apabila rakyat hidup dicengkam derita.

"Cukup cukuplah wahai pemerintah yang diamanahkan oleh rakyat daripada mengambil mudah, mempermainkan, dan memperlecehkan rakyat jelata," ujarnya.

Menurut Harakah.

Sedangkan Bernama melaporkan  semalam, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK) hari ini mengumumkan subsidi petrol RON95 dan diesel dikurangkan sebanyak 20 sen seliter, berkuat kuasa 12.01 pagi, 2 Oktober 2014.

Berikutan itu harga runcit baharu bagi Petrol RON95 ialah RM2.30 seliter dan diesel RM2.20 seliter. Harga pasaran bagi petrol RON95 pada masa ini ialah RM2.58 seliter dan harga diesel RM2.52 seliter.

KPDNKK dalam kenyataannya hari ini menyatakan walaupun kadar subsidi dikurangkan, kerajaan masih perlu membelanjakan lebih RM21 bilion untuk subsidi petrol RON95, diesel dan LPG bagi tahun 2014. Langkah ini juga adalah selaras dengan dasar rasionalisasi subsidi kerajaan dalam memastikan kedudukan kewangan negara terus kukuh.

Kerajaan juga dijangka dapat mengurangkan ketirisan dan aktiviti penyeludupan oleh golongan tidak bertanggungjawab. Tambah Bernama.
(IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails