Friday, October 03, 2014

Remaja 17 Tahun Ketuai Revolusi Hong Kong – Agensi


Reuters - WONG memberikan ucapan di hadapan berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan yang berhimpun di luar ibu pejabat kerajaan di Hong Kong kelmarin. 

HONG KONG – Seorang remaja berusia 17 tahun kini menjadi antara penggerak utama Revolusi Payung di Hong Kong yang menggegarkan kerajaan China dengan ucapan penuh semangat bagi menuntut demokrasi di pulau berkenaan, lapor The New York Times kelmarin.

Remaja berkenaan, Joshua Wong (gambar kecil) yang sering memakai cermin mata besar menggerakkan berpuluh-puluh ribu pelajar yang membanjiri Hong Kong bagi menuntut demokrasi yang lebih meluas di tanah bekas jajahan British tersebut.

“Apabila saya mendengar lagu kebangsaan mula dimainkan saya tidak berasa teruja tetapi berasa sangat marah.
“Lagu ini memberitahu supaya kita bangun kerana kita sudah merdeka tetapi mengapa layanan yang kita terima ini tidak jauh bezanya seperti hamba,” katanya dalam satu perhimpunan kelmarin sempena Hari Kebangsaan China.

Remaja berbadan kurus tersebut mula menjadi aktivis terkenal di Hong Kong sejak dua tahun lalu apabila dia menggerakkan beribu-ribu pelajar bagi membantah rancangan kerajaan untuk memperkenalkan mata pelajaran patriotik di sekolah-sekolah di Hong Kong.

Wong juga menjadi pemimpin utama yang menggerakkan berpuluh-puluh ribu penunjuk perasaan sejak beberapa minggu lalu di Hong Kong yang menyebabkan dia ditangkap. Beberapa media yang mempunyai hubungan rapat dengan Beijing telah melabelkan remaja itu sebagai alat Amerika Syarikat.

Revolusi Payung tercetus selepas beberapa kumpulan aktivis demokrasi membantah tindakan China yang menetapkan setiap calon yang bertanding dalam pilihan raya di Hong Kong mendapat kelulusan Beijing. Hong Kong merupakan tanah jajahan Britain sebelum diserahkan semula kepada China pada tahun 1997. – Agensi

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails