Friday, October 10, 2014

Vietnam: Menunggu Datangnya Dai'e

Oleh DR RIDUAN MOHAMAD NOR 

JAUH lagi ke kampong orang Islam imam?” Tanya saya kepada Imam Abdul Azim yang bertindak sebagai pemandu rombongan kami dalam misi korban ke Vietnam. Saya membetulkan tempat duduk, tulang belakang disengat rasa lenguh dengan bas kecil yang tersedak-sedak membelah aspal yang berdebu dan  deretan panjang kenderaan bertali arus. Resah dan rimas apabila terperangkap dalam kesesakan sebegitu, sebahagian anggota rombongan mengambil peluang untuk melelapkan mata. Semenjak pesawat terbang terbang rendah lagi sehingga menampakkan hamparan bumi Saigon yang rata, dengan jajaran Bandar yang semakin melebar berbanding sepuluh tahun lepas.

“Boleh mati sakit jantung jika melihat cara orang Vietnam bawa kenderaan,” seorang teman memecah hening. Motosikal merajai jalan-jalanraya negara yang sedang membangun itu pasca konflik perang yang panjang. Topi keledar mereka dengan beragam fesyen, jauh daripada spesifikasi keselamatan yang piawai.

“Semua benda dari buah-buahan sehingga batang tiang letrik pun nak diangkut dengan motor” sambung teman yang lain. Saya hanya menatap kosong pemandangan di kiri kanan yang tak terhenti deretan kedai yang sangat panjang. Ditambah dengan jambatan demi jambatan menghubungi antara daratan yang terpisah dengan jaluran sungai yang berselirat. Bumi Indochina ini kelihatan begitu basah dengan jajaran sungai, juga teratai yang terapung. Indah tak terperi.

Hati saya digaru keterujaan untuk menyingkap bumi bersejarah legasi Ho Chin Minh, sosok komunis yang sederhana itu. Sejak kecil Vietnam dipasak dalam benak saya dengan seribu konotasi negatif, bermula dengan filem-filem Hollywood yang memaparkan ‘super hero’ Amerika seperti filem Rambo, juga aksi lasak penangan Chuck Norris, juga genre perang seperti Platoon, Nam (tour of Duty) dan sebagainya.

“Rasanya tentera Amerika yang lari terkencing di bumi yang asing ini…,” getus saya setelah akhirnya beberapa kali menyusuri Vietnam yang masih malu membuka rahsia kemenangan mereka.

Filem-filem Hong Kong pula juga berjasa dalam memburukkan wajah Vietnam kepada dunia terutama penjenayah berdarah dingin Hong kong akan dipaparkan sebagai imigran miskin dari Vietnam. Vietnam adalah ‘Wilayah Gelap’ yang digambarkan dengan manusia pengotor yang makan apa sahaja binatang yang merayap diatas muka bumi. Juga gadis-gadis berkulit kuning berbusana nipis yang membuka peha, menjual maruah diri untuk mencari sesuap nasi.

“Jackie Chan dalam siri filem polis Hong Kong juga tidak pernah bertoleransi dalam mewajahkan manusia Vietnam - hodoh, berhati kering, sanggup membunuh untuk tukaran wang yang rendah - begitu buruk dan sanggup melakukan apa sahaja,” desis saya, teringatkan puluhan filem negara kapitalis Asia itu yang memburukkan Vietnam dan warganya.

Wajah-wajah buruk dan hodoh  tentera Vietcong seperti ‘tin biskut’ adalah gambaran tipikal tentera komunis yang diburu oleh Amerika. Saya dan generasi seumur dipasak kukuh tentang kezaliman Vietcong, dibangku sekolah rendah tentera Vietcong adalah musuh yang berjaya dicipta oleh Amerika untuk kami benci. Kami anak-anak kampong yang naïf bersorak sorai keriangan melihat aksi sadis tentera Amerika membunuh bangsa Vietnam yang dipaparkan di filem Hollywood. Gambaran hitam Vietnam juga terselit dengan ingatan tentang orang ‘hanyut’ diperairan Terengganu pada tahun 70-an dan awal tahun 80-an sehingga Pulau Bidong di Terengganu menampung puluhan ribu pelarian di bawah bendera PBB.

Perjalanan kami seolah tak berhujung. Saya terhantuk-hantuk dengan bas kami yang tersedak di tengah jalanan kembali bertanya Abdul Azim. “Jauh lagi ke?.” Sebahagian kami tertidur, antara lena dan jaga, dimamah kepenatan dengan jalan sesak di Saigon. Saigon yang bernafas dalam debu ini baru sahaja bangkit dari keterpurukan, mula diterima sebagai anggota ASEAN tetapi FDInya telah memintas Malaysia yang mewabak dengan penyakit korupsi yang semakin parah. Rasuah adalah Penyakit paling dibenci oleh pelabur asing dan peniaga.

“Dalam tiga jam lebih,” jawab Abdul Azim yang pernah membantu kami sebelum ini dalam menjayakan misi korban dipeta luka umat Islam. Dia Imam yang berasal dari Wilayah Chou Duc, berhijrah ke Bandar dan menjadi imam di Masjid An Nur HCM.

Negara Vietnam juga pernah merakamkan nama di langit sejarah kerana pernah menyaksikan anak watan menentang penjajah Amerika dalam dekad 60-an sehinggalah pertengahan dekad 70-an. Episod berdarah ini disorot dengan lensa kamera di seluruh dunia sehingga menimbulkan fenomena bantahan anak-anak muda di pelbagai belahan dunia terutama di negara Eropah, Australia dan juga Asia. Anak-anak muda berambut panjang, berseluar ketat dan diselimuti kejutan rock ‘woodstock’ telah memprotes perang Vietnam ini.

Perang Vietnam telah memunculkan irama rock sebagai genre music protes anak-anak muda, banyak kumpulan rock yang muncul mengekspreasikan bantahan melalui lirik dan lagu mereka. Genre dan fesyen rock telah bertebaran sehangat bantahan terhadap perang Vietnam.

Gerakan anti perang ini juga akhirnya menjadi fenomena anak-anak muda kampus dalam dekad 60-an sehinggalah pertengahan dekad 70-an yang akhirnya Amerika terpaksa mengalah kepada bantahan dunia dan meredakan kegelisahan rakyatnya sendiri yang marah dengan angka kematian tenteranya yang sentiasa meningkat. Beg mayat bewarna hitam yang semakin banyak dikirim ke amerika semakin meningkatkan bantahan.

Perjalanan ke kampong Muslim itu mengambil jarak masa yang lama berbanding anggaran awal kami, iaitu selama tiga jam setelah menempuh kesesakan lalu lintas Saigon atau dikenali sebagai Ho Chin Minh City yang mempunyai kepadatan penduduk seramai Sembilan juta jiwa. Kenderaan terutama motosikal berdesakan di jalan raya berdebu dan pemanduan yang boleh menyebabkan kita boleh mengalami kegagalan jantung. Hampir 70 peratus penduduk menggunakan motosikal berbanding kenderaan lain.

“Boleh kaya kita kalau datang buka kedai motosikal disini….,” kata Saiful yang masih bujang cuba berlucu. Deruman motor dengan asap yang mengepul ke udara adalah warna-warni kehidupan dikota yang kumuh ini. Juga melambangkan kemiskinan dan kemelaratan.

“Tapi tak boleh kasi ansuran, mahu hilang terus,” jawab yang lain. Ketawa meledak seketika, Saigon juga menyakitkan mata dengan pendawaian letrik yang huru hara.

“Wah, TNB kat sini kena kerja siang dan malam,” kami melirik ke arah manusia beruniform yang sedang melakukan kerja berhampiran pencawang eletrik yang agak tidak terurus. Dengan hujan yang tidak menentu saya menjangkakan letrik akan sentiasa meragam di sudut-sudut terpencil bandar ini. Mungkin juga kerana Saigon adalah Bandar tua yang telah berusia ratusan tahun sejak penjajahan Siam, Peranchis, Jepun, bahkan berlarutan dengan pecahnya perang IndoChina yang meluluh apa yang telah dibina. Di kawasan Bandar baru, keadaan agak moden seperti juga ibu kota negara kita, terutama dengan syarikat konglomerat yang membina bangunan mereka sendiri di sini terutama dari Amerika Syarikat.

Misi Korban

Saya dan teman-teman 12 orang ditemani dengan kotak-kotak yang berisi dengan bantuan peralatan ibadah dan kitab jawi. Misi kami adalah untuk melaksanakan ibadah korban di perkampungan muslim di negara republik Sosialis yang tidak mesra umat Islam itu. Diskriminasi tersembunyi dalam ruang bongkah yang dalam, seperti semut di batuan hitam.

Lembu-lembu korban untuk disembelih terpaksa diimpot dari negara kemboja yang berjiran dengannya kerana bekalan lembu tempatan tidak mencukupi. Penganjur program korban pula terpaksa berhadapan dengan soal siasat pihak berkuasa. Kesan mendadak pula, harga lembu juga turut mendadak naik di Kemboja kerana permintaan yang sangat tinggi dari negara jirannya, Vietnam.

Vietnam yang pernah dijajah oleh Peranchis juga menyaksikan penularan pengaruh kristian sehingga mengasak ke perkampungan muslim.

“Orang Vietnam secara umumnya tidak kuat berpegang kepada agama, ini kemungkinan kerana sejarah pemerintahan komunis,” ujar seorang teman. Pemerintahan komunis tidak mesra agama dan orang Islam selalunya menjadi mangsa seperti yang berlaku di Cambodia, China, Rusia, Yugoslavia.

“Inilah masa paling baik kepada pendakwah untuk memasarkan Islam kepada orang Vietnam, berbanding dengan 10 tahun lepas, hari ini bertambah baik untuk orang luar masuk ke Vietnam,” tingkah yang lain. Keterujaan itu meruap urat nadi darah, kerana pendakwah akan berterusan meraih pahala diakhirat setelah berlumas di dunia ini.

Saya mengangguk setuju, wilayah yang suatu masa dahulu berakar dengan komunis kini agak terbuka untuk Islam seperti negara Kesatuan Russia, China, Cambodia. Peluang ini harus dimanfaatkan dengan pantas sebagaimana gerakan kristian yang sentiasa mengintai peluang. Dengan dana yang besar mereka sentiasa dihadapan merengkuh pengaruh.

Melayu Cham Di Vietnam Yang Masih Utuh Dengan Budaya Melayu

“Eh..mereka faham cakap Melayu,” seorang peserta korban teruja melihat orang Cham memahami pertuturan rombongan dari Malaysia. Juga mereka menggunakan tulisan jawi di madrasah-madrasah seluruh Vietnam.

“Banyak istilah mereka guna, sama dengan istilah kita,” sampuk yang lain pula dengan muka teruja. Orang Melayu Cham di negara ini sebagaimana juga orang Melayu di Kemboja agak terpuruk berbanding kaum lain namun kehidupan mereka masih dilingkari dengan adat Melayu dan agama Islam yang masih menebal. Ramai kalangan anak-anak orang Melayu Cham yang dihantar belajar Islam di Malaysia dan juga Pattani, antaranya Ustaz Shafie yang belajar di Kelantan dan masih bercita-cita untuk melanjutkan pelajaran ke Afrika Selatan. Afrika Selatan pula akhir-akhir ini mula disebut sebagai destinasi popular pelajar agama terutama ilmu-ilmu dakwah, juga mengasah bakat berbahasa Arab dan juga Inggeris sebagai wahana yang penting dalam berdakwah.

Di bumi Vietnam mereka tidak mengharapkan bantuan kerajaan. Antara yang biasa membantu ialah NGO dari Negara Arab dan Turki. NGO Turki baru sahaja pandai menyantuni umat Islam Vietnam, tahun lepas ada NGO Turki yang menyembelih 700 ekor lembu korban, kesannya harga lembu tahun ini mula meningkat sedikit dengan permainan manipulasi ‘kapitalis kecil’. Bangsa Turki mempunyai keharuman sejarah mereka yang tersendiri, moyang mereka lebih 600 tahun menjadi adijagat dunia. Di Saigon sendiri hampir dihuni oleh 5000 orang muslim namun syiar Islam tidak begitu terasa. Saya mengimpikan sebuah masjid besar yang berpusat seperti pusat Islam yang menjadi pengkalan dakwah di tengah Negara republik ini, paling kurang seperti Pusat Islam Kowloon di Kota Hong Kong yang pernah saya lawati.

Pagi hari kedua kami di perkampungan muslim kami mengagihkan barang bantuan dan juga mengorbankan lembu disembelih. Kami dijemput untuk makan dirumah salah seorang ahli jawatankuasa masjid. Jamuan nasi dengan hidangan daging masak sup ‘ala vietnam’ itu tetap menyelerakan walaupun ringkas.

“tambah lagi, jangan malu, makan biar kenyang...,” pelawa mereka ramah, kami makan di serambi masjid Kampung Tay Ninh yang kelihatan agak bersih. Kampung itu menjadi pusat penyembelihan dan dagingnya akan diagihkan ke perkampungan muslim di sekitar. Kami bergilir-gilir menyembelih korban dengan bertakbir beramai-ramai mengiringi upacara penyembelihan, juga sibuk merakamkan foto untuk tatapan peserta korban dari Malaysia.

Vietnam adalah ladang dakwah yang subur, secara jangka panjangnya, umat Islam memerlukan ramai pendakwah dan ulama tempatan. Ia hanya boleh dimunculkan dengan wujudnya banyak madrasah-madrasah, sekolah tahfiz, bahkan Universiti Islam yang akan melahirkan generasi yang celik agama. Ibadah korban hanyalah pencetus awal untuk masyarakat di sini merasakan mahalnya harga sebuah ukhuwwah, juga merasakan jatidiri muslim mereka serta dipedulikan oleh muslim antarabangsa yang lain.

(Penulis ialah Exco Muslim Care Malaysia, aktivis tanpa sempadan)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails