Tuesday, November 25, 2014

'4 beranak ... daif'. Ini Contoh UMNO Terlepas Pandang..

 
Rumah uzur yang didiami Zurina sekeluarga.  

IPOH - Dicelah-celah pusat jualan kereta terpakai di Jalan Kuala Kangsar dekat Kampung Perak Thong, di sini terdapat sebuah rumah uzur yang didiami empat beranak.

Sukar dipercayai namun, itulah realiti hidup Zurina Kamal, 36, dan dua adik serta seorang adik ipar perempuannya yang tinggal di situ sejak beberapa tahun lalu. Lebih menyedihkan, rumah usang berkenaan tidak dilengkapi kemudahan bekalan air dan elektrik.

Zurina terpaksa mengangkut air dari kawasan berdekatan untuk kegunaan harian.

Zurina  berkata, mereka sekeluarga tinggal di situ sejak beberapa tahun lalu. Katanya, seorang daripada adiknya telah berpindah ke tempat lain dan sejak itu mereka tidak pernah berjumpa.

“Dulu saya dengan adik-adik duduk sini. Seorang dah pindah, tak jumpa dah,” katanya ketika dikunjungi Yayasan Bina Upaya (YBU) yang diketuai Ketua Pegawai Operasinya, Hairul Anwar Mohammed Noor semalam.

Zurina berkata, dia tidak memiliki pekerjaan tetap untuk menyara keluarganya dan hanya bergantung kepada upah diterima daripada kerja sambilan dilakukannya.

“Kadang-kadang saya tolong cuci lantai, menyapu di kedai sebelah, ada masa saya tolong angkat barang orang yang jual kat pasar.
“Kalau ada rezeki lebih, kami makan la yang sedap sedikit, kalau tak..apa yang ada sahaja,” katanya.

Difahamkan,  kesemua mereka yang mengalami masalah lembam, tiada dokumen pengenalan diri kerana tidak memiliki sijil kelahiran. Tinjauan Sinar Harian ke rumah Zurina mendapati kediaman itu tidak ubah seperti  pondok yang hanya ditutupi papan terpakai, malah silingnya bocor. Malam mereka hanya diterangi cahaya lilin.

Ketiadaan bekalan air menyebabkan Zurina terpaksa mengangkut air dari paip berhampiran hampir setiap hari untuk kegunaan harian. Keluarga berkenaan kini berada di bawah pengawasan Unit Hal Ehwal Islam Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB).

Kakitangan HRPB, Ismail Yahya berkata, Zurina dan keluarganya tidak pernah mendapat pendidikan sejak kecil.

“Urusan bagi mendapatkan bantuan daripada pihak Baitulmal bagi keluarga ini sedang dilakukan” katanya.

Sementara itu, Hairul Anwar berkata, pihaknya akan cuba sedaya upaya untuk membantu keluarga berkenaan, khususnya bagi mendapatkan Zurina serta dua adiknya pekerjaan tetap. Beliau berkata, bantuan lain terutamanya proses dokumentasi diri turut akan disegerakan.

“Kita harap pihak-pihak lain juga boleh membantu keluarga ini. Kita boleh kategorikan keluarga ini miskin bandar.
 “Jika bukan dengan wang ringgit, mungkin kita boleh membantu daripada segi baik pulih rumah atau sebagainya,” katanya.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada keluarga berkenaan boleh menghubungi Unit Hal Ehwal Islam HRPB di talian 013-4046515 (Ismail). (SH)
Zurina memasak di luar rumahnya dengan hanya menggunakan dapur kayu.

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Hari ini sudah setengah abad lebih UMNO bersidang, membincangkan masalah kemiskinan rakyat, terutama rakyat Melayu. Tiba-tiba keluar berita 'Empat beranak hidup serba daif'' seperti di atas. Suatu contoh UMNO terlepas pandang dalam membela rakyat miskin, antara banyak contoh-contoh lain lagi.

Lihat sidangnya, 'Kokok saja berderai-derai, tapi ekor bergelumang tahi.'

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails