Monday, November 24, 2014

Bertuah & Syurga Bagi Yang Menjaga IbuBapanya Setelah Tua

ANDA ada ibubapa anda yang telah tua? Bertuahlah, itulah peluang anda merasai nikmat mamasuki syurga dengan berkhidmat kepada mereka.

Firman Allah SWT yang bermaksud:
  • “Dan Kami wasiatkan kepada manusia terhadap ibu bapanya. Ibunya mengandungkan dengan (menderita) kelemahan di atas kelemahan, dan menceraikannya daripada susuan dalam dua tahun (iaitu): Bersyukurlah kepadaKu dan kepada ibu bapamu. Kepada-Ku tempat kembali.” (Surah al-Lukman ayat 14).
Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a:
  • Bahawa Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: “Amat malanglah! Amat malanglah! Dan amat malanglah. Maka Rasulullah ditanya: Siapakah orang yang amat malang itu wahai Rasulullah? Baginda menjawab: Seseorang yang mendapati kedua-dua ibu bapanya atau seorang daripada mereka sudah tua, namun dia masih gagal memasuki syurga (lantaran gagal berkhidmat kepada mereka).”
Pada zaman Rasulullah SAW ada seorang lelaki yang datang berjumpa baginda kemudian menyampaikan hasratnya menyertai jihad.
(Baginda menjawab tetapi tidak tanya “Adakah kamu handal dalam menunggang kuda?”, “Adakah kamu bijak bermain pedang”, “Adakah kamu mempunyai tubuh badan yang kuat dan sihat?)
Sebaliknya baginda bertanya kepada lelaki berkenaan “Adakah kamu masih mempunyai ibu dan bapa?” Kemudian lelaki itu menjawab: “Saya sudah tiada bapa, tetapi masih mempunyai ibu di rumah.”
Baginda berkata “Adakah ibumu tidak memerlukanmu untuk menjaganya? Lelaki berkenaan menjawab: “Tentu dia perlukan saya.”
Baginda menasihatinya: “Pulanglah kamu ke pangkuan ibu kamu kerana jika kamu berbakti kepadanya, sesungguhnya pahala yang kamu akan terima adalah sama seperti pahala jihad fisabilillah”.

Nabi Musa a.s. ingin benar mengetahui siapakah yang akan menjadi temannya di syurga. Setelah diwahyukan oleh Allah mengenai sifat-sifat lelaki itu, Nabi Musa a.s. terus mencarinya. Lelaki itu seorang penjual daging dipasar.
Setelah menemui lelaki itu, Nabi Musa a.s. menyatakan hasratnya untuk menjadi tetamu lelaki itu beberapa hari. Lelaki itu bersetuju memerimanya. Sebenarnya, Nabi Musa a.s. mahu melihat apakah amalan yang menyebabkan lelaki itu menjadi temannya di syurga kelak, Nabi Musa a.s. tetap merahsiakan tujuannya.
Setelah Nabi Musa a.s. memasuki rumah lelaki itu, baginda serta merta dihidangkan dengan sup daging. Sewaktu baginda menikmati sup, lelaki itu masuk kebilik dan keluar mendukung seorang wanita yang sangat tua lalu meletakkan diatas tilam. Lelaki itu menyuapkan sup daging kemulut wanita tua itu hingga kenyang.
Selepas makan, lelaki itu menukar pakaian wanita tua tadi yang kotor terkena sup. Dia membasuh pakaian itu di sebuah telaga berhampitan rumahnya. Agak lama barulah lelaki tadi menemui Nabi Musa a.s.yang sedang memerhatikan perbuatannya. Nabi Musa a.s. bertanya :"Siapakah perempuan tua itu?"
Lelaki itu menjawab dengan suara sayu, "Itulah ibu saya. Dia sekarang ini sudah terlalu tua.Tidak berdaya lagi menguruskan dirinya, sebab itu saya membuat segala-galanya. Maafkan saya kerana tidak melayan saudara makan sebentar tadi."
Nabi Musa a.s. merasa terharu mendengar kata-kata lelaki itu, hatinya berbisik, 'Alangkah besar bakti dan kasih sayang lelaki itu kepada ibunya. Patutlah Allah telah menyediakan baginya syurga di akhirat kelak.'
Kemudian Nabi Musa a.s. menghampiri lelaki itu dan menerangkan tujuan sebenar baginda ingin menjadi tetamu hari ini, "Saya ingin sangat melihat apakah amalan yang menyebabkan Allah SWT. menjadikan saudara teman saya di syurga kelak."
Sebaik mendengar penjelasan baginda, lelaki itu terus sujud syukur dan terus berazam akan meningkatkan keimanannya kepada Allah serta berbakti kepada ibunya.

Marilah sama-sama kita muhasabah diri kita sendiri, menjadikan kisah ini sebagai pengajaran dan panduan. Allah SWT akan memberi pertolongan-Nya apabila kita insaf dan kembali bertaubat kepada-Nya. Juga sentiasa menjaga kebajikan ibu bapa kita yang sudah tua dan uzur.

Perlu diingat! Dalam Islam, anak lelaki walaupun sudah berumah tangga, mempunyai keluarganya sendiri, namun dia masih bertanggung jawab ke atas ibubapanya.  Apalagi dia masih mempunyai ibu bapa yang tua, uzur, tidak mempunyai pendapatan, maka memberi nafkah dan menjaga kebajikan mereka masih terpikul dibahunya.

Lain bagi anak perempuan apabila dia sudah berumah tangga dia terlepas tanggungjawab kepada kedua ibu bapanya, walau bagaimana pun tidak salah jika dia ingin berbakti kepada kedua mereka dengan izin suaminya.

Hormat Ibubapa Yang Tua Menurut Kristian.
Bagaimana prinsip Bible?
  • Kita harus membalas budi ibu bapa dan datuk nenek. -1 Timotius 5:4.
  • Lakukanlah semua kerja dengan kasih. -1 Korintus 16:14.
  • Jangan terburu-buru semasa membuat keputusan penting. -Amsal 14:15.
  • Hormatilah ibu bapa tua meskipun mereka sakit dan lemah. -Imamat 19:32.
  • Di dunia baru, usia tua dan kematian akan lenyap. -Wahyu 21:4.
(IH)  

Lihat siri amalan ibadat..

1 comment:

maae said...

Alhamdulillah. Saling mengingati. Kepada yang masih beribu dan berbapa. Jaga lah mereka dengan sebaik-baik nya.

Kepada yang sudah tiada kedua-dua nya, hanya perbuatan baik kita di dunia, solat, zikir dan doa melapangkan alam barzah mereka selapang-lapang nya dengan izin Allah SWT jua. Lakukan lah setiap waktu.

InsyaAllah.

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails