Monday, November 24, 2014
Gembira Kutip Kerang, Tiba-tiba Jadi Cemas..
Kegembiraan orang ramai mengutip kerang bertukar cemas apabila seorang pemuda berusia 20-an nyaris lemas di pantai Rhu Dua, semalam.
MARANG – Kegembiraan orang ramai yang datang bertali-arus untuk mengutip kerang di sekitar kawasan Pantai Rhu Dua, di sini, bertukar cemas apabila seorang pemuda berusia 20-an nyaris lemas, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11.20 pagi itu, mangsa dikatakan asyik mengutip kerang hingga dihanyutkan ombak ke tengah laut sebelum orang ramai membantu dengan menarik mangsa ke darat.
Saksi kejadian, Syamsudin Idris, 37, berkata, dia pada mulanya bimbang berikutan terdapat terlalu ramai orang di kawasan berkenaan, malah ada yang berani pergi lebih jauh dari pantai walaupun keadaan ombak besar.
Menurutnya yang menetap di Bukit Payong, kebimbangan itu nyata bersebab apabila seorang pemuda dihanyutkan ombak ke tengah laut ketika mengutip kerang, tidak jauh dari tempat dia berada.
“Mangsa meminta bantuan rakan yang berada berdekatan, namun dia gagal ditarik ke darat. Seketika kemudian, mangsa berjaya diselamatkan orang ramai yang berenang ke arahnya dan menariknya ke darat,” katanya. Kegembiraan orang ramai mengutip kerang bertukar cemas apabila seorang pemuda berusia 20-an nyaris lemas di pantai Rhu Dua, semalam.
Sementara itu, sepasukan enam anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Marang serta dua anggota EMRS (perubatan kecemasan) diketuai ketua operasinya, PB Shokry Mohamed tiba di tempat kejadian selepas menerima panggilan kira-kira jam 11.28 pagi.
Menurut Shokry, mangsa berada dalam keadaan baik selepas diselamatkan orang ramai dan dibawa ke Klinik Kesihatan Marang untuk rawatan lanjut.
Justeru katanya, kejadian itu wajar dijadikan iktibar agar orang ramai lebih berhati-hati ketika melakukan aktiviti air, malah menghentikan segera aktiviti mengutip kerang kerana keadaan ombak kuat tidak sesuai untuk jalankan sebarang aktiviti di laut.
“Tambahan sekarang musim tengkujuh, cuaca sukar diramal dan ombak kuat boleh menyebabkan insiden sama berulang sekiranya orang ramai masih berdegil untuk melakukan aktiviti sedemikian,” katanya.
Kelmarin, beribu-ribu kerang ditemui di sepanjang Pantai Rusila hingga Rhu Dua termasuk Pantai Pulau Kekabu, di sini, selepas solat Jumaat menyebabkan orang ramai memenuhi kawasan berkenaan untuk mengutip kerang.
Penduduk menyifatkan, keadaan itu dipercayai berlaku selepas berakhirnya hujan lebat dan ribut yang melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu. (SH)
Sebelum ini..
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
1 comment:
TAMAK! tu yang jadi lupa diri.
Post a Comment