Wednesday, November 19, 2014

"rasanya macam nak 'buat' anak." -Shahrizat Gamatkan Sidang Di India.

Shahrizat gamatkan persidangan di India

Ketua Pergerakan Wanita Umno Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil hanya mengambil masa kurang daripada lapan minit sahaja untuk mencuit hati anggota perwakilan satu persidangan di ibu negara India dengan kata-kata spontan dan ucapannya yang berterus-terang. 

Bekas Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu adalah antara lebih 10 penceramah pada sambutan ulang tahun peringatan ke-125 “Nehru’s Worldview and his Legacy: Democracy, Inclusion and Empowerment.” (Pandangan Dunia Nehru dan Legasinya: Demokrasi, Penglibatan dan Pemerkasaan)  

Sebelum itu, anggta perwakilan kelihatan kepenatan ketika Shahrizat ke pentas untuk memulakan ucapan beliau. 

"Selepas makan tengah hari yang hebat dan dengan tidak kurang daripada 10 penceramah... rasanya macam nak 'buat' anak. Nampak saja mudah, tetapi percayalah, bukan senang nak melahirkannya. Oleh itu, harap Tuan dapat bersabar dengan saya," katanya kepada pengerusi sesi itu, yang menyebabkan para anggota perwakilan ketawa. 

Dengan kata-kata pembuka bicara yang menarik itu, beliau meneruskan ucapannya: "Namun, saya perlu mengingatkan anda semua bahawa nama saya ialah Shahrizat iaitu versi Melayu bagi nama Parsi, Sha-ha-ra-zat. Bagi anda yang tidak tahu, Shah-ha-ra-zat boleh bercerita sehingga 1001 malam. Jadi, nampaknya anda tidak akan pulang awal." 

Setelah anggota perwaklan kembali cergas, Shahrizat memperkatakan mengenai Jawaharlal Nehru, perdana menteri pertama India yang memberi sumbangan besar kepada dunia termasuk memperkasakan wanita. 

"Saya dapati Encik Nehru mahukan wanita supaya memainkan peranan mereka sebagai warganegara yang saksama dalam pembangunan negara. Tidak seperti di Barat, wanita di India mendapat hak untuk mengundi pada masa yang sama dengan lelaki.

   
"Sama juga bagi wanita Malaysia yang bertuah kerana Perdana Menteri pertama negara Tunku Abdul Rahman berkata 'Sebelum kita berjuang untuk kemerdekaan negara, kita mesti berjuang untuk kebebasan wanita kita'." Shahrizat berkata sesuai dengan semangat Nehru, wanita di Malaysia telah dapat menceburi pelbagai sektor.
"Wanita juga adalah rakan pintar bagi lelaki dalam membangunkan negara, seperti mana yang berlaku di India. Kami di Malaysia mengamalkan demokrasi inklusif yang memperkasakan terutamanya golongan muda dan wanita,"kata Shahrizat sambil disambut dengan tepukan gemuruh daripada anggota perwakilan wanita.
Naib Presiden Kongres Kebangsaan India, Rahul Gandhi, turut memuji ucapan Shahrizat. "Saya lihat anggota perwakilan wanita memberi tepukan gemuruh. Saya berharap anda mendapat banyak sokongan dalam segala-galanya (yang anda lakukan). Jika mereka tidak (berikan sokongan), anda boleh datang ke sini," katanya dalam nada seloroh.
     
Pada akhir sesi itu, para anggota perwakilan bergilir-gilir memuji Shahrizat. Seorang anggota perwakilan berkata: "Ucapan anda menyegarkan... hilang rasa mengantuk kami."
Seorang lagi anggota perwakilan pula berkata: "Saya akan menjemput anda menghadiri perhimpunan pilihan raya saya yang akan datang."
- Bernama

No comments:

Post a Comment