Monday, December 01, 2014

Chinatown Kolkata Akan Wujud Di India.

TERDAPAT kaum Cina yang memilih untuk setia bersama India walaupun hak mereka sebagai rakyat India sering dinafikan.

Dilema kaum Cina di Kolkata
DISYAKI menjadi perisik dan menyokong kerajaan China, seorang kanak-kanak India berumur sembilan tahun, Monica Liu ditahan bersama keluarganya sebelum dibawa menaiki gerabak kereta api ke pusat tahanan yang terletak di gurun Rajasthan, India.

Monica bersama kira-kira 3,000 tahanan berketurunan Cina yang mempunyai status warganegara India ditahan tanpa sebarang perbicaraan ketika India dan China berperang merebut kawasan sempadan pada tahun 1962.

Sepanjang lima tahun, Monica menetap di kem Deoli yang dibina British pada tahun 1800-an. Memorinya masih utuh selepas terpaksa melalui suasana siang dan malam yang panas, dinafikan peluang pendidikan dan tangisan ibunya sepanjang malam sehingga hening pagi.

Namun, saat yang tidak boleh dilupakan adalah ketika dia bersama keluarga dibebaskan tanpa sebarang dakwaan oleh pemerintah India.

“Pada waktu itu, kami langsung tidak mempunyai wang,” kata Monica yang menetap di timur Kolkata.

Dia bercerita, pondok menunggu bas menjadi tempat mereka berteduh dan tidur setiap hari. Sejarah nenek moyang keturunan Cina di India bermula di Kolkata sehingga ke timur laut India kerana aktiviti pesat dalam sektor perniagaan dan perdagangan.

Namun, pada bulan November 1962 iaitu kira-kira 52 tahun lalu, kaum Cina di India terpaksa menanggung kesan daripada perang dalam menetapkan sempadan kedua-dua buah negara itu. Sejak beberapa dekad lalu, dua negara Asia ini melakukan pelbagai usaha dan perbincangan untuk menyelesaikan masalah sempadan sepanjang 3,225 kilometer (km) di kedua-dua negara.

Namun, sehingga kini, isu itu masih gagal diselesaikan walaupun Presiden China, Xi Jinping berkunjung ke New Delhi, India bagi mengadakan perbincangan dengan Perdana Menteri India, Narendra Modi pada September lalu. Di sebalik lawatan Jinping, askarnya langsung tidak berganjak daripada mengawal sempadan India-China itu.

Komuniti Cina di Kolkata semakin berkurangan saban hari. Kebanyakan mereka ditindas namun, berdiam diri kerana khuatir ditahan semula dan menarik perhatian pemerintah India. Hanya beberapa kelompok yang berani menyuarakan hak dan mahu pemerintah India mengakui kesilapan mereka menahan kira-kira 3,000 warganegara India berketurunan Cina sejak 52 tahun lalu.

“Luka ini tidak akan sembuh. Penyeksaan yang kami lalui selama ini hanya sembuh jika pemerintah India mengaku tindakan menahan kami adalah tidak adil.
“Kami tidak mempunyai senjata. Saban hari melakukan pekerjaan seperti rakyat yang lain. Secara tiba-tiba, tepat pada pukul 12 tengah malam, pihak berkuasa India datang menahan kami ketika kami sedang tidur,” kata Presiden Pertubuhan Cina-India Kolkata, Paul Chung.


CHINA dan India sering bertelagah untuk memiliki kawasan sempadan sepanjang 3,225km.

Perasaan marah

Monica yang mempunyai beberapa restoran masakan Cina di Kolkata berkata, masa lampaunya itu hanya sejarah tetapi perasaan marahnya tidak pernah hilang.

“Kami berusaha keras untuk meneruskan kehidupan. Kami bukan ahli politik dan perisik. Kami menetap di India dan tidak mempunyai sebarang hubungan dengan kerajaan China. Kenapa kami perlu diseksa?

Pemerintah India sebelum ini meletakkan kawalan keselamatan yang ketat di kem itu. Satu-satunya penulis yang menembus masuk ke pusat itu ialah S.N.M Abdi.

“Tidak akan wujud sebarang permohonan maaf daripada pemerintah India terhadap kumpulan malang ini,” kata Abdi yang kini dalam proses menghasilkan sebuah buku mengenai kem Deoli.

Katanya, kerajaan menganggap kewujudan kem itu adalah sebagai langkah bernas dan pembebasan tahanan kem tersebut sebagai pengakhiran pengalaman pahit tahanan di situ. Kebanyakan bekas tahanan menerima arahan pengusiran ke China semata-mata untuk bebas dari kem Deoli.

Bagaimanapun, ratusan lagi tahanan mahu menetap di India kerana tidak mahu mengikut konsep pemerintahan komunis di China. Secara beransur-ansur, mereka dibebaskan dan kembali ke kediaman sendiri di India. Kumpulan itu terpaksa memulakan kehidupan dari bawah sehingga mampu memperoleh tempat kediaman.

Selain pulang ke China, ramai dalam kalangan anak muda yang berusaha menyambung pengajian ke luar negara seperti Kanada, Australia dan Amerika Syarikat. Mereka bertekad untuk tidak kembali ke India dan membina kehidupan baharu di sana.

Satu masa dahulu, populasi keturunan Cina-India mencecah sehingga puluhan ribu selepas mereka tiba di India sekitar tahun 1700-an. Kumpulan itu menjadi pedagang, membangunkan kilang gula dan bergelar tukang kayu.

Menurut Chung, populasi terkini kaum Cina di Kolkata hanya 4,000 orang. Walaupun berada dalam tekanan dan penafian hak, kaum Cina masih mampu mempertahankan budaya mereka di Kolkata.
Buat masa ini, akhbar harian berbahasa Cina masih boleh ditemui. Rumah ibadat sedia ada diperbaiki dan menjadi lokasi komuniti berkumpul serta menjalankan aktiviti harian.

Berita baik buat penduduk Kalkota apabila pemerintah India mahu membina Chinatown Kalkota dengan mengekalkan budaya dan asal usul kaum Cina tetapi ia masih di peringkat cadangan. – AFP
Kolkata

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-7: Menuju Cina Town Di Riau
E-Buku IH-7: Menuju Cina Town Di Riau
E-Buku IH-35: Cina Malaya & Malaysia..
E-Buku IH-35: Cina Malaya & Malaysia..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails