KUALA LUMPUR:
Isu pemberian bonus secara tidak adil dalam kalangan ahli lembaga
pengarah Felcra yang didedahkan Jawatankuasa Kira-Kira Negara (PAC)
baru-baru ini membuktikan pendedahan Badan Bertindak Peserta Felcra
(Bapa) sebelum ini berasas.
Justeru, bagi memastikan isu tersebut
disiasat secara telus, Bapa mengambil langkah membuat laporan ke
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Kuala Lumpur, hari ini.
Pertemuan
itu diharapkan dapat membuka ruang kepada SPRM untuk menyiasat isu
tersebut selaras dengan pendedahan yang dilaporkan PAC.
Pertemuan
itu diketuai Pengerusi Bapa, Haji Razman Zakaria selain turut diiringi
Pengerusi Pertubuhan Anak Peneroka Felda Kebangsaan (Anak), Mazlan
Aliman, di pejabat agensi itu, di Jalan Cochrane.
Ketika ditemui
selepas pertemuan tersebut, Razman memaklumkan pihak SPRM meminta beliau
untuk membuat laporan polis berhubung kerana agensi itu beranggapan isu
tersebut membabitkan kesalahan jenayah dan bukannya rasuah.
"Selaras
dengan cadangan pegawai SPRM tadi, maka Bapa akan membuat laporan polis
di Ipoh, esok berhubung isu itu, selain meminta Bapa di peringkat
negeri juga berbuat demikian," tegas beliau ketika ditemui di luar
bangunan SPRM Kuala Lumpur.
Bagaimanapun, katanya pihak SPRM tetap memberikan jaminan untuk menyiasat perkara tersebut.
Dalam
masa sama, Pesuruhjaya PAS Perak itu turut mengharapkan SPRM bersedia
bekerjasama untuk meneliti semua laporan-laporan berhubung penyelewengan
yang berlaku di Felcra, yang sebelum ini didedahkan Bapa.
Sebelum
ini, PAC yang diketuai Datuk Nur Jazlan Mohamed, dalam laporan PAC
menyatakan pemberian bonus kepada ahli lembaga pengarah Felcra dibuat
tanpa kelulusan Kementerian Kewangan.
Bonus tersebut diluluskan
Felcra untuk diberikan kepada lembaga pengarah Felcra, termasuk tiga
timbalan menteri iaitu Timbalan Menteri Pertaanian dan Asas Tani, Datuk
Tajuddin Abdul Rahman, yang sebelum ini merupakan bekas Pengerusi
Felcra, Timbalan Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri Ismail Abdul
Muttalib, dan Timbalan Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan
Kerjaan Tempatan, Datuk Halimah Siddique. – HARAKAHDAILY 8/12/2014
No comments:
Post a Comment