Tuesday, December 16, 2014

Konflik Perundangan Islam & Sivil Perlu Digarap -Dr Mujahid


 
KL: Kenyataan melalui surat terbuka yang ditandatangani oleh 25 individu warganegara terdiri daripada bekas pegawai tinggi kerajaan perlu diberi perhatian atas beberapa sebab, kata Pengerusi Gerakan Anti Perkauman (GAP), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa.

"Arus bawah kenyataan ini mengisyaratkan  permasalahan yang ditimbulkan tidak ditangani dengan tuntas oleh kerajaan hari ini," ujarnya dalam satu kenyataan.

Katanya, konflik perundangan Islam dan sivil perlu digarap melalui rangka perundangan dan pentadbiran negara dalam konteks siyasah syari’yah yang luas disiplinnya.        

Tambahnya, proses demokrasi negara ini tidak terelak daripada isu perundangan dan pentadbiran Islam yang berpotensi terdedah kepada kritikan awam dan dalam proses itu perlu dipertahankan dalam ketelusan dan keterbukaan.

Menurutnya lagi, mengkritik dan memberi pandangan isu pentadbiran dan perundangan Islam bukan sama mempertikaikan Islam dan kesucian teologinya.

"Dalam aspek syariat ada yang kekal tidak dipertikaikan dan ada yang tidak kekal boleh berubah-ubah. Kedua-duanya perlu ditentukan oleh pakar di bidang syariat Islam dan pentadbiran perundangan," ujarnya yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar.

Katanya lagi, saranan dalam surat terbuka 25 individu perlu diambil dalam semangat positif dan jangan dijadikan isu untuk ditungangi oleh agenda rasis kaum dan prejudis agama sehingga menafikan aspek Islah atau reform dalam melihat masalah konflik perundangan Islam dan sivil yang wujud.

"Pihak kami terbuka untuk melihat masalah yang diajukan selagi mana ia tidak bercanggah dengan prinsip Syariah dan terbina atas Maqasid Syari’yah," ujarnya.

Pihaknya juga mencadangkan wujudnya Suruhanjaya Reformasi Perundangan yang melibatkan semua pihak dalam mencari penyelesaian yang objektif dan berkekalan. - HARAKAHDAILY 15/12/2014

No comments:

Post a Comment