Monday, December 01, 2014
Masih Kurang 30% Beras, Beri Tumpuan Hasilkan Secukupnya.
KUALA LUMPUR: Kerajaan sepatutnya memberi tumpuan yang lebih dalam menghasilkan makanan yang secukupnya supaya tidak terlalu bergantung dengan negara-negara lain.
Ahli Parlimen Batu Gajah, V Sivakumar berkata, pergantungan yang keterlaluan terutamanya untuk mengimport makanan adalah tidak baik untuk masa hadapan negara.
"Lebih banyak kawasan pertanian padi harus dibuka di negeri-negeri potensi tinggi menghasilkan sumber makanan ini," ujarnya dalam satu kenyataan.
Katanya, kerajaan juga harus mendorong anak-anak muda tanpa mengira agama dan bangsa untuk menceburi bidang pertanian terutamanya dalam menghasilkan makanan ruji. Tambahnya, dalam mengejar arus pembangunan ke arah teknologi dan perindustrian dengan niat mencapai taraf negara maju pada tahun 2020, kita tidak boleh membelakangkan sektor pertanian yang menjadi tulang belakang negara kita sehingga hari ini.
Menurutnya, kalau dibandingkan dengan anggaran perbelanjaan tahun 2014, anggaran perbelanjaan mengurus untuk Kementerian Pertanian Dan Industri Asas Tani telah berkurangan sedikit iaitu daripada RM4.36b kepada RM4.28b pada tahun 2015.
"Manakala perbelanjaan pembanguanan pula ditambahkan dari RM1.66b kepada RM1.78b pada tahun 2015. Ini merupakan satu trend yang baik dan perlu dikekalkan," ujarnya.
Katanya lagi, peruntukan untuk sektor ekonomi terutamanya untuk mengembangkan usaha-usaha pertanian dalam negara harus ditingkatkan lagi pada tahun-tahun hadapan kerana pertanian merupakan sektor utama pembekal makanan.
"Saya berpendapat Tahap Sara Diri (SSL) beras negara tidak patut dikekalkan pada 70%. Kementerian harus mengambil langkah-langkah yang berpatutan untuk meningkatkan SSL lebih daripada 70%," kata beliau.
Untuk itu, beliau merasakan peruntukan harus ditambahkan untuk melaksanakan segala usaha dan tindakan yang diambil untuk meningkatkan produktiviti beras negara. Ini juga, tamba beliau akan mengurangkan kadar pengantungan negara kita kepada beras yang diimport.
Pada hari ini, katanya 2.16b tan metrik beras dikeluarkan oleh negara kita setiap tahun. Justeru beliau bertanya apakah rancangan-rancangan kerajaan untuk meningkatkan produktiviti padi dalam jangka pendek dan jangka panjang.
Beliau telah membangkitkan isu itu dalam perbahasan Dewan Rakyat peringkat Jawatankuasa menimbangkan Rang Undang-undang Perbekalan Tahun 2015 berhubung dengan Kementerian Pertanian dan Industri Tani.
"Kerajaan patut memberi tumpuan yang lebih dalam menghasilkan makanan yang secukupnya supaya tidak terlalu bergantung dengan negara-negara lain," ujarnya lagi. - HARAKAHDAILY 1/12/2014
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment