Saturday, December 27, 2014

Mati Lemas: Facebook Palsu Kaitkan Presiden PAS


KUALA LUMPUR: Pihak admin laman sosial facebook Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang memaklumkan tentang fb palsu mengaitkan tulisan beliau kononnya satu keluarga mati lemas di Kuala Krai.

"(Gambar) ini adalah FB palsu Tuan Guru Presiden, kami tidak ada kena mengena dengan fb ini, kecelaruan amatlah dikesalkan. Terima Kasih," jelasnya.

Sementara itu, Bernama melaporkan bahawa Polis Kelantan menafikan khabar angin yang disebarkan menerusi media sosial kononnya 10 orang dipercayai mati lemas akibat terperangkap di dalam rumah di Guchil, Kuala Krai akibat banjir.

Ketua Polis Kelantan Datuk Mazlan Lazim turut menyifatkan sebagai berita palsu kononnya 40 pesakit di Hospital Kuala Krai mati akibat ketiadaan bantuan oksigen.

"Mesej-mesej (melalui aplikasi) WhatsApp yang tidak betul ini tidak sepatutnya diviralkan kerana ianya akan memburukkan lagi keadaan. Sepatutnya mereka ini membantu mangsa-mangsa berkenaan," katanya kepada Bernama.

Beliau berkata polis akan mengambil tindakan sewajarnya terhadap mereka yang membuat fitnah dan cerita bukan-bukan itu.

"Pihak polis memantau perkara ini supaya ianya tidak menjadi masalah semasa banjir ini," katanya.

Mazlan berkata pihaknya penyebaran maklumat tanpa memetik sumber sah merupakan kesalahan di bawah Akta Kanun Keseksaan. - HARAKAHDAILY 27/12/2014

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails