Wednesday, December 24, 2014

M'sia Minta Interpol Tarik Balik Waran Tangkap Dr Yusuf Qardhawi?!


 

Yusuf_Qaradawi_ditahan_Interpol
Foto yang menunjukkan Presiden Kesatuan Ulama Sedunia, Dr Yusuf Al-Qaradawi ditahan oleh Interpol mula tersebar di laman sosial. Namun menurut The Rakyat Post, gambar tersebut difahamkan bertarikh 18 Februari 2011 ketika Yusof tiba di Mesir untuk memimpin solat Jumaat di Dataran Tahrir.

 
Dr Yusuf Al-Qardawi

KUALA LUMPUR: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menggesa Polis Antarabangsa (Interpol) menarik balik Notis Merah atau waran tangkap terhadap tokoh ulama Islam Mesir, Dr Yusuf Al-Qaradawi.

Ketua Pengarahnya, Datuk Othman Mustapha berkata terdapat pihak tertentu cuba mengenakan tindakan undang-undang terhadap Yusuf tanpa asas dan siasatan yang merupakan satu penganiayaan terhadap ulama.

Beliau berkata tindakan seumpama itu akan menyentuh sensitiviti umat Islam dan dikhuatiri akan mencetuskan kemarahan umat Islam seluruh dunia kerana Yusuf adalah tokoh ulama rujukan semasa bagi masyarakat Islam.

"Kita juga berpandangan tuduhan yang melabelkan beliau sebagai militan dan menyeru kepada keganasan adalah tidak berasas.

"Buktinya, pemimpin ulama sedunia berkenaan telah menyatakan pendirian beliau terhadap deklarasi kekhalifan Islam oleh ISIS pada 5 Julai 2014 yang lalu adalah melanggar Syariah malah setiap pandangan dan fatwa beliau mempunyai asas yang tidak boleh dipertikai," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurut laman web Interpol pada 5 Dis lalu, notis merah terhadap Yusuf, 88, dikeluarkan terhadapnya selepas dikehendaki pihak berkuasa kehakiman Mesir bagi pendakwaan dan sabitan hukuman kerana dituduh menghasut dan membantu pembunuhan antarabangsa, membantu banduan melepaskan diri dari penjara, aktiviti vandalisme dan kecurian.

Yusuf yang kini menetap di Qatar dituduh mempunyai kaitan dengan insiden kekecohan ahli kumpulan Ikhwan Muslimin di dalam penjara dan penentangan terhadap pemimpin diktator Mesir Hosni Mubarak.

Othman menyeru semua pihak mempertimbangkan ketokohan ilmu Yusuf kerana sumbangannya dalam dunia perundangan Islam, penulisan dan kefatwaan beliau yang bersifat kontemporari.

Katanya Malaysia pernah menobatkan Yusof sebagai penerima anugerah Tokoh Maal Hijrah Antarabangsa pada 2009 berdasarkan antaranya keilmuan beliau, keserderhanaan yang diamalkan beliau, dan termasuklah menghormati sistem demokrasi yang harmoni.

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Adakah  pandangan Jakim itu adalah pandangan kerajaan Malaysia? Bolehkah disebut Malaysia minta Interpol tarik balik waran tangkap Dr Yusuf Qardhawi?!

No comments:

Post a Comment