HALAMAN HIBURAN
INI kisah buat tiga selebriti popular, Aziz M. Osman, Heliza Helmi dan Fadzli UNIC melawat Syria seperti dilaporkan Kosmo Online.
Mereka bertolak pada 15 November dan selamat pulang ke tanah air pada 22 November lalu selepas menyertai Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Untuk Rakyat Syria, memberi kesempatan kepada mereka untuk berkongsi kisah di sana. Misi tersebut anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Muslim Care Malaysia, selaku pertubuhan yang sah mengendalikan misi bantuan.
Selama lapan hari, rombongan yang disertai lapan orang sukarelawan tersebut bertujuan membantu membangunkan Maahad Muslim Care di Rayhanli, yang terletak di sempadan Turki-Syria. Mereka turut menyumbangkan bantuan baju tebal dan kasut kepada penghuni kem pelarian yang kini berhadapan cuaca musim sejuk.
Pengalaman Aziz M. Osman:
Pengalaman pertama bagi pengarah terkenal Aziz M. Osman, kembara itu menjadi pengalaman pertama beliau merasai sendiri suasana berada di sebuah negara yang bergolak.
“Setibanya di sana, saya sedar ada sesuatu yang mengusik jiwa saya. Pengalaman itu memberi pengertian kepada senario sebenar yang berlaku di sana. Saya lihat dengan mata kepala sendiri ramai anak kecil yang tidak mempunyai ibu bapa, kemusnahan bangunan dan kediaman di sekeliling. Itu semua satu senario yang cukup mengesankan jiwa.
“Anda bayangkan, sewaktu kami tiba di sebuah bandar bernama Idlib, kami sangat terkejut kerana bandar tersebut umpama ‘bandar hantu’. Bangunan, kawasan perumahan, sekolah dan taman tema masih ada, tetapi tidak berpenghuni kerana semua penduduk telah lari menyelamatkan diri dan meneruskan survival hidup di kem-kem pelarian.
“Mana tidaknya, jika hari-hari berlaku peperangan, logiklah beberapa bandar di negara itu menjadi kosong dan sunyi daripada dihuni penduduk,” ujar pengarah berusia 52 tahun itu sayu membuka tirai perbualan.
“Setiap hari, lebih empat bunyi letupan bom kedengaran berhampiran dengan kedudukan kami. Apa yang lebih mendebarkan, pernah satu ketika, sewaktu kami semua sedang tidur, ada dua biji bom dirasakan melayang atas kepala dan jatuh berhampiran kami. Perasaan pada waktu itu tidak boleh saya bayangkan.
“Tangan menggeletar, jantung berdegup kencang dan fikiran berkecamuk. Seolah-olah nyawa sudah di hujung tanduk dan jika tidak bernasib baik, bila-bila masa sahaja boleh melayang di situ juga,” ujarnya bersungguh-sungguh menceritakan detik cemas itu.
Kata Aziz, dia mahu bertemu dan merasai sendiri penderitaan rakyat di sana. “Situasi negara mereka tidak sama dengan negara kita. Jika di sini, kita hidup aman damai tanpa ada peperangan. Di sana, setiap hari ada pertumpahan darah dan anak-anak kecil yang tidak berdosa menjadi mangsa.
PASUKAN Misi Bantuan Kemanusiaan Musim Sejuk Syria bergambar di Pejabat Muslim Care di Raihaniyyah, Turki.
Pengalaman Ahmad Fadzli Ab. Aziz:
Sama seperti Aziz, Ahmad Fadzli Ab. Aziz yang berasal dari negeri Cik Siti Wan Kemban juga punya cerita yang mahu dikongsi.
“Tidak hanya rakyat Syria, kami juga berharap semua negara Islam lain turut menjadi perhatian kita. Jika bukan kita yang membantu, siapa lagi kerana mereka juga saudara kita.
“Daripada pemerhatian kami, rakyat Syria sangat bijak dalam menguruskan kehidupan mereka. Bagilah apa sahaja bentuk sumbangan, mereka tahu bagaimana menguruskannya.
“Seperti contoh, jika mendapat bantuan dana dalam bentuk kewangan, duit itu digunakan untuk membuka perniagaan. Dengan cara itu, mereka mampu mendapatkan pulangan untuk jangka masa panjang,” ujar Fadzli yang mula menyertai kumpulan nasyid UNIC pada tahun 2005.
Fadzli yang juga merupakan seorang perunding motivasi itu menyimpan harapan yang menggunung tinggi. Dia berharap, pengalamannya itu boleh dijadikan disampaikan menjadi kisah yang bermakna kepada rakyat di negara ini.
“Pernah saya bertanyakan soalan kepada mereka di sana mengenai soal rezeki. Dengan tenang mereka menjawab, mereka hanya berserah kepada Allah. Mereka tiada pilihan lain kecuali terus tinggal di negara asal mereka.
“Sejak itu saya sedar, ia bagaikan satu petunjuk buat rakyat di negara ini untuk terus menghulurkan bantuan kepada mereka yang memerlukan,” tutur bapa kepada dua orang anak itu penuh pengharapan.
Pengalaman Heliza Helmi:
Sering berpeluang menyertai rombongan bantuan kemanusiaan ke negara-negara bergolak seperti Syria dan Palestin, Heliza ada kisahnya yang tersendiri. Mungkin pemergian tersebut merupakan pengalaman kali pertama buat Aziz dan Fadzli, namun tidak buat gadis berusia 28 tahun itu.
Acapkali ‘terpilih’ dan diberi peluang dan ruang untuk berbakti kepada rakyat di sana, anak kelahiran Kuala Terengganu, Terengganu itu mempunyai misi berjihad di jalan Allah.
“Tahun ini sahaja, dua kali saya diberi kesempatan untuk membantu rakyat di sana. Selepas saya pulang dari bumi para Anbiya itu sekitar bulan Mei lalu, baru-baru ini, saya berpeluang sekali lagi menjejakkan kaki ke sana.
“Perasaan saya tidak pernah berubah, malah semakin kuat untuk berjuang di bumi itu. Memang dalam hati, saya sudah tanamkan dalam jiwa, jika mahu berjihad di jalan Allah, jihadlah bersungguh-sungguh.
“Apa yang saya lihat di depan mata ketika berada di negara bergolak itu, hanya satu semangat yang ada. Saya mahu negara Syria dan juga Palestin bebas,” ujar gadis kelahiran program realiti Akademi Fantasia musim kelima itu bersemangat.
Melihat kesengsaraan yang dialami rakyat di negara Syria dan Palestin telah memuncakkan semangat juang yang ada dalam jiwa wanitanya.
“Saya tidak akan berhenti daripada terus membantu saudara kita di sana, walau dengan apa cara sekali pun, bantulah setakat yang mampu. Bagaimana kita masih mampu tidur dengan lena dan hidup dengan selesa, sedangkan rakyat di sana benar-benar menderita dan memerlukan pertolongan.
“Sebab itu, sekarang kami sedang giatkan usaha dengan menjalankan ceramah di beberapa lokasi terpilih seluruh negara selain mengumpul wang sumbangan. Aktiviti ini tidak akan berhenti dan berterusan sampai bila-bila kerana bantuan kemanusiaan seperti ini tidak bermusim,” tutur Heliza dengan mesra sebelum mengakhiri perbualan.
Terima kasih kepada tiga selebriti popular, Aziz M. Osman, Heliza Helmi dan Fadzli UNIC ini yang mencurahkan pengalaman mereka untuk dikongsi bersama. Begitu juga kepada Kosmo Online. (IH)
No comments:
Post a Comment