SEORANG penternak ayam, Tan Yong menggemparkan penduduk di sebuah perkampungan di Danjiangkou di wilayah Hubei, China. Lelaki berusia 44 tahun itu muncul secara tiba-tiba dari dalam tasik takungan bersama kapal selam buatan sendiri yang berwarna jingga.
Tan Yong keluar dari isi perut kapal seberat dua tan yang diinpirasikan menerusi watak kartun Happy Lamb itu. Kapal tersebut mengambil masa selama sembilan bulan untuk disiapkan dan mampu berada di kedalaman lapan meter. Dia mewarisi kehebatan penduduk kampung yang memiliki bakat untuk mencipta produk binaan sendiri dengan menggunakan bahan terbuang.
Alat pengesan magnitud dan tekanan udara diletakkan pada dinding kabin di atas paip plastik manakala semua tulisan tangan arahan operasi hanya dilekatkan menggunakan pita pelakat dalam kapal elektrik itu. Kabel elektrik dan tong gas pula diletakkan di permukaan lantai.
“Ia merupakan pam udara yang digunakan untuk menimbul dan menenggelamkan kapal selam ini,” kata Tan Yong yang turut memberitahu bahawa dia masih belum memasang sebarang ciri-ciri keselamatan dalam ciptaannya itu.
Idea pembinaan kapal selam itu tercetus dua tahun lalu sebelum melancarkan prototaip pada Mac lepas.
“Saya tidak menuntut di mana-mana universiti, idea hanya berdasarkan imaginasi semata-mata,” ujar Tan Yong mengenai kapal selam yang mampu berada dalam air selama 45 minit itu.
Kapal selam yang dijanakuasakan dengan lima bateri kereta itu melakukan demonstrasi di tasik takungan Danjiangkou sambil dihadiri rakan-rakan dan orang ramai. Meskipun mendapat tepukan gemuruh daripada orang ramai, acara bersejarah itu tidak dihadiri oleh ibu Tan Yong.
“Saya tidak sanggup melihat kerana terlalu takut dengan keselamatannya,” ujar Wang Mingfeng, 65.
Inovasi
Dia memberitahu, Tan Yong mempunyai minat yang mendalam dalam pembinaan barang-barang inovasi sejak kecil lagi seperti bot, senjata dan alat permainan. Tan Yong merupakan salah seorang pereka amatur di China yang sejak kebelakangan ini membina banyak inovasi baharu termasuk kapal terbang, helikopter dan kereta kebal yang hampir kebanyakannya tidak mengikut prosedur pembinaan asal.
- Selain Tan Yong, seorang pendandan rambut dari wilayah Zhejiang antara yang mencipta inovasi mengejutkan iaitu sebuah kapal terbang kecil dengan satu tempat duduk menggunakan tayar kerusi roda elektrik dan tempat duduk daripada kereta go-kart terpakai.
- Pada tahun 2012 pula, seorang petani dari wilayah Hebei mendapat liputan meluas apabila membina sebuah rumah bulat yang diperbuat daripada kaca fiber.
- Tahun ini, petani berusia 32 tahun, Jian Lin tampil dengan ciptaan sebuah kereta kebal buatan sendiri di wilayah Sichuan.
- Seorang pemuda dari wilayah Anhui, Tao Xiangli pula mencipta kapal selam buatan sendiri pada tahun 2010 sehingga dipamerkan dalam satu pertunjukan inovasi di Shanghai.
Masyarakat di kawasan pedalaman yang terletak di bawah penguasaan rejim Komunis kebiasaannya hidup berkelompok dan saling membantu antara satu sama lain.
“Kemunculan ramai ‘Petani Da Vinci’ itu juga memberikan bayangan bahawa kreativiti mereka mula mendapat tempat dan perhatian di China serta di peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Bagaimanapun, perjalanan kapal selam Tan Yong tidak terlepas daripada masalah kerana dia pernah berdepan situasi genting ketika berada di kedalaman lapan meter buat pertama kalinya.
“Tekanan udara menyebabkan beberapa panel besi rosak sehingga mengeluarkan bunyi menyeramkan,” katanya.
Namun, dia yakin kapal selamnya itu mampu selamat berada dalam air sehingga di kedalaman 10 meter. Ketika melakukan demonstrasi itu, kapal selam Tan Yong menghadapi masalah apabila tidak sampai beberapa minit berada di dalam air, permukaan luarnya pecah.
Penceraian
Dia melakukan kerja-kerja pembinaan itu di ladang milik ibu bapanya. Kos kapal selam tersebut dianggarkan berjumlah RM17,167 dan Tan Yong mengakui, sepanjang proses pembinaan kapal selam itu, rumah tangganya hampir berakhir dengan penceraian.
“Jika saya berpeluang membina sebuah lagi kapal selam, saya yakin dapat berada di kedalaman 30 hingga 50 meter tanpa sebarang masalah. Hanya perlu menebalkan permukaan besi pada kapal selam itu,” katanya.
Namun, anak lelakinya, Tan Junfeng, 8, skeptikal dengan kemampuan bapanya itu.
“Keluarga kami tidak mempunyai wang yang cukup kerana banyak dibazirkan oleh ayah. Jadi, saya tidak rasa dia mampu membina sebuah lagi kapal selam,” ujar Junfeng. – AFP
Komen Weblog Ibnu Hasyim: Bolehkah suasana kreatif begini diwujudkan di kalangan rakyat Malayisa? Perlu sokongan dari kerajaan?
Lihat sebelum ini...
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)
1 comment:
Boleh juga selam. Sedihnya Scorpene x leh selam.
Post a Comment