Friday, December 05, 2014

Sambungan Tunjuk Perasaan Perkauman Kembali Gegar AS

SEKUMPULAN penunjuk perasaan berarak di sebuah lebuh raya di Manhattan di New York, Amerika Syarikat bagi membantah keputusan jemaah juri yang membebaskan seorang anggota polis yang mencekik seorang lelaki kulit hitam sehingga mati. 

NEW YORK – Beribu-ribu penunjuk perasaan membanjiri beberapa lokasi utama di bandar raya ini kelmarin bagi membantah keputusan jemaah juri enggan mendakwa seorang anggota polis kulit putih yang mencekik leher seorang lelaki kulit hitam sehingga mati.

Ribuan penunjuk perasaan berkenaan berhimpun di Pusat Rockefeller dan di Dataran Times Square di sini sambil melaungkan slogan ‘Tiada keadilan, tiada keamanan’. Beberapa penunjuk pe­rasaan turut ditangkap selepas mereka cuba melakukan protes sambil duduk di Pusat Rockefeller manakala seramai 50 penduduk lagi berbaring di Terminal Pusat Utama sebagai tanda bantahan.

Tunjuk perasaan serupa turut tercetus di Harlem, Dataran Union dan Lingkaran Colombus di sini dengan protes sama serta turut dilaporkan di Washington. Dalam perkembangan berkaitan, Pesuruhjaya Polis New York, Bill Bratton berkata, pihaknya telah menahan seramai 30 penunjuk perasaan.

Susulan keputusan jemaah juri tersebut, Peguam Negara Amerika Syarikat (AS), Eric Holder memberitahu, Jabatan Keadilan AS akan menyiasat sama ada hak asasi mangsa, Eric Garner telah dicabuli. Garner, 43, mati selepas dicekik dari belakang oleh seorang anggota polis, Daniel Pantaleo ketika ditahan kerana menjual rokok seludup di Pulau Staten, di sini pada 17 Julai lalu.

Doktor memberitahu, Garner mati akibat tekanan pada leher dan dadanya ketika ditahan oleh anggota polis berkenaan tetapi menolak kejadian itu sebagai kes pembunuhan susulan penyakit lelah serta obesiti turut menyumbang kepada kematiannya.

Keputusan juri tersebut menyemarakkan lagi kemarahan penduduk terhadap sistem keadilan negara itu dan layanan pihak polis terhadap penduduk berkulit hitam yang dianggap berat sebelah.
Pada minggu lalu, AS digegarkan dengan bantahan ganas selepas jemaah juri enggan mendakwa seorang anggota polis berkulit putih yang menembak mati seorang remaja kulit hitam, Michael Brown di Ferguson. – AP

Lihat juga..

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails