KUALA LUMPUR: Dengan suasana ekonomi yang tidak menentu dengan kejatuhan mendadak nilai Ringgit, harga minyak, bursa saham, harga getah dan sawit, sudah sampai masa rakyat mendesak kerajaan untuk menangguhkan perlaksanaan cukai barangan dan perkhidmatan (GST).
Naib Presiden PAS, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, GST tidak wajar dilaksanakan dalam keadaan ekonomi tidak menentu kerana tiada yang dapat menjangkau impaknya pada kehidupan seharian dan ekonomi negara, lebih-lebih lagi dalam krisis ekonomi.
Katanya, kerajaan tidak harus memperjudikan nasib negara dan rakyat di 2015 dengan perlaksanaan GST yang bakal melonjakkan inflasi di dua tahun pertama perlaksanaannya sebagaimana yang berlaku di China, Singapura dan juga Australia berdasarkan laporan “2H2014 Economic Outlook: External Positives Amidst Domestic Challenges”.
Menuutnya, perniagaan dan rakyat perlu diberikan ruang yang lebih selesa dan menentu untuk menghadapi krisis ekonomi yang kian nyata.
"Solusi jangka pendek boleh diwujud dengan menangguhkan perlaksanaan GST," ujarnya dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, ujar beliau rakyat perlu mendesak Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak untuk memanggil satu sidang parlimen tergempar untuk memperincikan semula Bajet 2015 yang diluluskan berdasarkan pendapatan negara yang tidak menepati realiti semasa masa kini.
Tambahnya, antara butiran yang penting yang perlu diperincikan termasuklah:
1. Pengurangan pendapatan Petronas dan sumbangannya kepada kerajaan
2. Penurunan nilai Ringgit dan kesannya pada hutang negara
3. Pengurangan pendapatan daripada sumber eksport sawit dan getah
4. Langkah-langkah pengurangan kos – termasuklah pengurangan lawatan ke luar negara oleh para menteri kabinet.
5. Ke manakah wang yang diperuntukkan untuk subsidi minyak akan digunakan memandangkan subsidi minyak sudahpun ditarik balik.
6. Menjawab segala pertuduhan mengenai 1MDB.
"Di sidang tergempar ini, diharap kerajaan akan memberikan ruang kepada Tun Dr Mahathir Mohamad untuk hadir bersama dan memberikan pendapat," ujarnya.
Beliau menambah, pengalaman Mahathir menangani krisis kewangan pada tahun 1999 boleh dijadikan panduan sebelum terlambat.
Tegasnya, rakyat perlu bersatu mendesak kerajaan melakukan sesuatu.
"Jika tidak, percayalah Najib akan terus berpekak seperti bisunya beliau dalam isu 1MDB yang dibangkitkan oleh Pakatan Rakyat mahupun Dr Mahathir," katanya lagi. - HARAKAHDAILY 17/12/2014
No comments:
Post a Comment