Oleh
RAFIZI RAMLI
Saya
sedar bahawa keputusan mengosongkan kerusi Dun Kajang perlu dijelaskan
sebaiknya kepada rakyat. Saya juga mengingati pesan Dato’ Ambiga kepada
saya supaya berterus terang dengan rakyat.
Mohon maaf
Maka
sebaiknya saya perlu memohon maaf kepada rakyat Malaysia amnya dan
pengundi Kajang khususnya atas perkara ini. Pilihanraya Kecil (PRK) ini
sudah tentu akan membazirkan wang dan masa rakyat tatkala kita bersusah
payah dengan kemelut harga barang naik.
Tidak ada alasan yang
baik apabila wang rakyat dibazirkan kecualilah dengan memohon maaf.
Parti saya juga perlu bersedia dan pasrah sekiranya pengundi Kajang
mengambil pendirian menghukum kami.
Sebagai salah seorang yang
paling kuat menyokong serampang politik ini, sejujurnya saya memikul
tanggungjawab yang paling besar di atas keputusan tersebut.
Dinamik dalaman Umno, permainan perkauman dan agama
Namun,
atas kejujuran kepada diri sendiri dan rakyatlah kita harus mengakui
bahawa ada beberapa masalah dan cabaran di Selangor yang memerlukan
campur tangan segera.
Pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim yang
cemerlang selama enam tahun yang lepas memang membuatkan rakyat senang
dengan beliau. Pun begitu, masih banyak ruang yang boleh dibaiki
terutamanya mengambil kira dinamik dalaman Umno yang sedang berlaku.
Gerakan
dalam Umno untuk memecat Dato’ Seri Najib Razak sudah bermula. Sebagai
Pengarah Strategi parti, saya tidak menolak kemungkinan Dato’ Seri Najib
dipecat dan kepimpinan Umno jatuh ke tangan puak ultra yang
berkiblatkan Tun Mahathir Mohamad.
Permainan jahat melalui
serangan bertalu-talu yang berkisar kepada isu agama dan perkauman untuk
mengambil alih Selangor akan bermula sebaik sahaja Dato’ Seri Najib
yang lemah itu dipecat oleh Umno. Setakat ini pun, jelas bahawa
tangan-tangan Umno menjadi dalang kepada pelbagai kontroversi agama dan
perkauman di Selangor sejak beberapa bulan lepas.
Sekiranya Dato’
Seri Najib tumbang, wajarlah kita bersedia untuk berdepan dengan
manipulasi perkauman dan agama secara besar-besaran untuk mewujudkan
kebencian dan rasa tidak percaya kepada kerajaan Selangor.
Negeri contoh model ke Putrajaya
Pada
masa yang sama, walaupun pentadbiran Tan Sri Khalid Ibrahim telah
menjadi contoh dari segi amanahnya dan berjimatnya dalam menggunakan
wang rakyat, kita juga perlu menerima hakikat bahawa ada perkara-perkara
yang boleh ditambahbaik.
Kita perlukan penyelesaian radikal
untuk menangani masalah trafik yang meruncing; lebih banyak rumah mampu
milik perlu dibina segera. Perancangan depan yang lebih menyeluruh
diperlukan untuk memastikan kelangsungan khidmat bekalan air yang lebih
baik di Selangor. Kita perlu lebih tegas mempertahankan hak kumpulan
minoriti yang menjadi sasaran permainan politik Umno.
Sebagai
Ahli Parlimen, saya yakin kita boleh tawarkan khidmat yang lebih baik
kepada rakyat terutamanya bersabit kebersihan dan persekitaran hidup
rakyat. Kita mempunyai potensi menjadi negeri contoh yang mempunyai
jalanraya yang terbaik di seluruh negara.
Maknanya, Selangor
perlu tawarkan khidmat yang dua kali ganda lebih baik dari sekarang jika
kita mahu menjadikannya negeri contoh dan model ke Putrajaya. Seperti
mana Istanbul adalah loncatan Erdogan dan Jakarta bakal menjadi loncatan
Jokowi, Selangor boleh menjadi loncatan Pakatan untuk mengambilalih
Putrajaya.
Menguatkan kubu Pakatan di Selangor
Tugas
membela rakyat dan melangkah ke Putrajaya belum selesai dan kini kita
berdepan dengan satu lagi siri serangan adu domba dan permainan kotor
Umno untuk merampas Selangor.
Justeru, walaupun tindakan
membazirkan wang rakyat dengan memaksa satu PRK menimbulkan kemarahan
rakyat, duduk menunggu serangan Umno tanpa berbuat apa-apa adalah satu
pengabaian amanah rakyat yang dosanya lebih besar.
PKR dan
Pakatan perlu menguatkan kubu kita di Selangor supaya kita boleh
mempercepatkan pelaksanaan reformasi pro-rakyat dan pada masa yang sama
mematahkan serangan politik dan adu domba Umno. Kita perlukan seberapa
ramai pimpinan utama Pakatan di sekitar Selangor untuk mempertahankan
negeri mahkota ini.
Atas dasar itulah keputusan untuk mencalonkan
Dato’ Seri Anwar bertanding di kerusi Kajang dibuat bertujuan
mewujudkan satu pilihan politik yang boleh dilaksanakan segera sekiranya
ada keperluan.
Adakah ini bermakna kerajaan Selangor akan
mendapat Menteri Besar baru? Mungkin ya, mungkin tidak. Persoalan itu
tidak timbul sekarang. Tetapi jika keperluan itu timbul, Pakatan
mempunyai pilihan segera untuk menggunakan keseluruhan tenaga pimpinan
kita untuk melawan Umno.
Yang penting adalah mewujudkan pilihan
itu terlebih dahulu. Adanya pilihan bermakna kita ada ruang untuk
mengambil langkah politik yang menyekat permainan politik Umno,
terutamanya yang bersabit isu perkauman dan agama.
Elakkan pengalaman Kedah
Saya
tahu bahawa penerangan ini tidak akan berjaya memadamkan kemarahan
rakyat pada ketika ini. Saya hanya memohon supaya kami diberikan masa
untuk menerangkan rasional dan ruang untuk melakukan yang perlu demi
kepentingan Pakatan di Selangor.
Saya juga perlu memohon maaf
bagi pihak parti saya kerana perbezaan pendapat di kalangan kami sering
merunsingkan rakyat. Kami sedang berusaha sebaiknya untuk menyelesaikan
perbezaan itu kerana melengahkan penyelesaian perbezaan dalaman akan
mengheret kita mengulangi perkara sama di Kedah yang berakhir dengan
kekalahan. Kami faham bahawa sebarang perbezaan dalaman perlulah
diselesaikan segera kerana parti perlu utuh menghadapi Umno.
Serampang Kajang selangkah ke Putrajaya
Pemimpin
yang baik tidak selalunya popular. Saya sayu melihat bagaimana nama
baik Dato’ Seri Anwar Ibrahim terheret di dalam perkiraan ini dan
menjadi sasaran kemarahan rakyat. Namun, kesanggupan beliau mengambil
amanah ini walaupun pahit terus meyakinkan saya akan nilai pengorbanan
beliau sebagai seorang pemimpin.
Sejak beberapa hari yang lalu,
saya meyakinkan diri saya bahawa Winston Churchill (Perdana Menteri
Britain) juga terpaksa mengharungi kemarahan rakyat Britain apabila
terus menggesa bermusuh dengan Nazi pada ketika sentimen popular adalah
untuk berbaik dengan Nazi. Di kemuncak kuasa Nazi, Churchill berdiri
keseorangan menentang Nazi pada ketika keseluruhan Eropah tunduk kepada
Nazi.
Keyakinan untuk terus mempertahankan tindakan yang betul,
walaupun dikritik hebat dan berdepan kemarahan umum, adalah ciri-ciri
seorang pemimpin yang jujur.
Saya mengucapkan terima kasih kepada
pimpinan utama Pakatan yang memahami keputusan ini. Saya berterima
kasih kepada rakan saya dalam kepimpinan pelapis Pakatan yang terus
memberi sokongan moral dan politik untuk melaksanakan tindakan ini.
Saya
harap satu hari kelak apabila kita di Putrajaya, kita boleh mengingati
hari-hari sukar ini yang saya anggap “Serampang Kajang” sebagai loncatan
terbaik melangkah ke Putrajaya.
Saya mungkin budak mentah dan
ditertawakan atas kurangnya pengalaman bersilat politik, tetapi
sekurang-kurangnya saya berlaku jujur dengan menerangkan perkara
sebenarnya kepada rakyat.
Sama-sama kita melihat ke hadapan ke arah Putrajaya dengan semakin ukuhnya Pakatan Rakyat selepas PRK Kajang ini.
Penulis ialah Pengarah Strategi PKR.