Saturday, May 24, 2014

RTM Tidak Bagi Laluan Kelantan Jelaskan Hudud


KOTA BHARU: Sehingga kini RTM tidak memberi sebarang jawapan bagi membolehkan kerajaan negeri menjelaskan mengenai perundangan hudud kepada masyarakat, kata Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, permintaan itu dibuat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan Dewan Undangan Negeri 10 Julai 1994 selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dibentang  24 Nov 1993.

“Kita pernah memohon supaya RTM siarkan penerangan mengenai hudud tetapi tidak dijawab oleh RTM. Biar pun begitu kita telah melalui proses yang begitu teliti sebelum enakmen dibentang di persidangan Dun. Malah sebelum dibawa ke persidangan Dun kita juga adakan seminar pada 17 Nov 1993 di Balai Islam.

“Telah banyak kali diadakan bengkel, kolokium, seminar sebelum enakmen dibawa ke persidangan Dun. Prosesnya yang hebat dan mendapat tempat dalam masyarakat yang tidak pernah berlaku pada enakmen lain,” katanya merasmikan seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di Putik hari ini. (Gambar atas)

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS  Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood.

Seminar julung kali dianjurkan Dewan Ulama PAS Pusat selepas diwujudkan Jawatankuasa Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Pesertanya datang dari seluruh negara. Ustaz Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata, selepas dilulus kerajaan negeri tidak dibenarkan melaksanakan Kanun Jenayah  Syariah melalui sepucuk surat yang dihantar Perdana Menteri ketika itu.

“Kita mendapat surat yang begitu mendukacitakan daripada Tun Dr Mahathir, malah beliau juga menuduh sebagai hudud PAS.
“Biar pun kita dihalang namun ia tidak mematikan usaha kita. Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai seminar lagi bagi  mencari jalan ke arah pelaksanaannya. Dan hasil daripada rumusan seminar 2012 ada pakar melihat Kelantan ada peluang untuk melaksanakan hudud.
“Dan sekarang kita berusaha untuk membawa private bill ke parlimen selepas dilihat ada sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya menteri dalam ucapannnya di parlimen memberi jaminan untuk menyokong mana-mana negeri yang hendak melaksanakan hudud dan ia perlu dibawa sendiri pembangkang.

“Maka Kelantan pada 2 April menyambut baik dan membuat keputusan untuk bawa private bill ke parlimen,” katanya.

Menurutnya juga pada tahun lepas kerajaan negeri memasukkan dalam bajet 2013 sebanyak RM1 juta untuk menyediakan prasarana ke arah pelaksanaan hudud di Kelantan. (HD)

Saudi, EAB, Laksana Perundangan Islam Tetap Didatangi Pelabur.

 


KOTA BHARU: Media-media tempatan terutamannya berbahasa Cina diharap memainkan peranan menjelaskan isu hudud bagi membolehkan masyarakat bukan Islam lebih faham.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, media sewajarnya memainkan peranan proaktif bagi menjelaskan segala kekeliruan yang timbul.

“Apa yang berlaku  sekarang didapati masyarakat bukan Islam kurang memahami apa yang dimaksudkan sebagai perundangan hudud.
“Keadaan tambah mengelirukan lagi apabila laporan media tidak jelas mengenai perkara itu. Sepatutnya kalau media tidak tahu mereka datang berjumpa kami.
“Editor perlu mendapat kefahaman yang lebih jelas,” katanya kepada media selepas program penjelasan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II kepada masyarakat bukan Islam di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Dr Mohamad Fadhli Hassan, Datuk Nassurudin Daud, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng. Selain itu Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Kelantan, Ooi Poh Chung, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Lee Sing Loong.

Lebih 100 masyarakat bukan Islam termasuk India dan Siam serta penghulu-penghulu tanpa mukim hadir pada program tersebut. Petang semalam difahamkan MCA turut menganjurkan program penerangan mengenai hudud di pejabat parti tersebut yang dihadiri kira-kira 50 ahli parti itu.

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan membawa private member’s bill ke parlimen bagi membolehkan Kelantan dapat melaksanakan perundangan hudud bagi masyarakat Islam di Kelantan. Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri sedia berbincang dengan sesiapa sahaja termasuk Umno bagi menjelaskan mengenai hukum hudud.

“Kami bersedia pada bila-bila  masa sahaja bagi menjelaskan perundangan tersebut kepada mana-mana pihak.
“Bagaimanapun penjelasan kepada masyarakat bukan Islam akan dipertingkat lagi memandangkan masih ramai masih keliru lebih-lebih lagi laporan media yang agak mengelirukan,” katanya.

Pada program itu beberapa wakil  masyarakat Tionghua mahu kepastian perundangan hudud benar-benar tidak dikenakan terhadap masyarakat  bukan Islam di Kelantan. Merungkai masalah itu Mohd Amar berkata, analogy yang mudah untuk difahami seperti juga dengan sembahyang dan puasa tidak dikenakan terhadap orang bukan Islam.

Bagaimanapun bagi orang beragama Islam yang didapati bersalah tidak akan terlepas dengan perundangan hudud kerana mereka menganut agama Islam. Dr Fadhli pula menjelaskan hanya  enam kes sahaja yang boleh dikenakan hukuman hudud iaitu mencuri, merompak,  berzina, menuduh orang berzina, minum arak dan murtad.

Menjawab soalan lain Mohd Amar berkata, pelabur tidak perlu gusar terhadap pelaksanaan perundangan hudud kerana keadaan negeri lebih aman dan sentosa daripada perlakuan jenayah.

“Pelabur hanya akan berminat  datang untuk melabur apabila berlaku kestabilan politik dan keselamatan mereka terjamin.
“Hudud akan menjamin untuk melahirkan keamanan dalam negeri. Ini boleh dilihat di Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu dan Qatar yang melaksanakan perundangan Islam tetap didatangi pelabur-pelabur dari barat,” ujar Mohd Amar. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

Hakim Syarie Boleh Bersidang Di Mahkamah Tinggi



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan turut melihat rasionalisasi kesalahan kes hudud boleh bersidang di Mahkamah Tinggi sedia ada dengan penambahan bilangan hakim.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, dua hakim syarie boleh dibawa untuk duduk bersama hakim mahkamah tinggi sedia ada.

“Hakim syarie boleh bersidang di Mahkamah Tinggi yang ada sekarang.

Dua hakim syarie dan seorang hakim sivil bagi mengadili kes-kes berkaitan jenayah hudud.

“Lagi pun sekarang hukuman di bawah takzir suudah ada di bawah panel code yang diamalkan di negara kita,” katanya ketika membentang kertas kerja pada seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di Putik hari ini.

Pada sebelah pagi kertas kerja pertama dibentang bekas anggota Exco kerajaan Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah, manakala pengulasnya anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz. Kertas kerja Dr Fadzli diulang peguam Datuk Wan Mutalib Wan Embong dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dr Fadzli berkata, selain melaksanakan perundangan syariah bagi kesalahan jenayah, proses Islamisasi undang-undang yang ada sekarang juga boleh dilakukan. Menurutnya juga kerajaan negeri merancang bagi memperkasakan lagi institusi pendakwaan kes syarie dengan mewujudkan satu institusi yang berdikari.

Katanya bahagian pendakwaan boleh dicadang dipisahkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan. Wan Mutalib pula berkata, semasa PAS mentadbir Terengganu kerajaan negeri ketika itu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Fasal 3 dengan menjadikan syariah sebagai sumber rujukan negeri.

“Kena peruntukan syariah dalam perlembagaan itu sendiri bagi memudahkan pelaksanaan perundangan syariah,” katanya ketika mengulas kertas kerja tersebut.

Beliau juga meluahkan rasa bimbang apabila kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Hudud Kebangsaan akan menyebabkan perundangan tersebut tidak dapat dilaksanakan di Kelantan.

“Kalau ditengok kepada pengalaman lampau apabila kerajaan mewujudkan sesebuah jawatankuasa bagi mengkaji sesuatu bermakna tidak jadilah apa yang hendak dilaksanakan.
“Saya juga mencadangkan selepas sudah 21 tahun enakmen hudud diluluskan di Kelantan beberapa jawatankuasa perundangan perlu diwujudkan. Begitu juga prasarana perundangan perlu disiapkan lagi,” ujarnya.

Nik Abduh berkata, selepas runtuhnya Khalifah Islamiah di Turki kira-kira 90 tahun lalu, perundangan hudud tidak lagi berjalan di kebanyakan Negara umat Islam. Katanya, selepas penjajah datang hukum Islam hanya berjalan dalam soal nikah kahwin sahaja, manakala kesalahan jenayah menggunakan perundangan ciptaan barat.

Dr Mohd Khairuddin pula berkata, halangan politik dan ugutan daripada Perdana Menteri menghalang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dilaksanakan.

“Kelantan telah cuba berusaha mengikut kemampuan maksimum sehingga  ditubuh Jawatankuasa Teknikal sebagai langkah ke hadapan bagi melaksanakan perundangan syariah.
“Ini bukan soal perangkap kerana wajib bagi kita melaksanakan perundangan hudud syariah di mahkamah,” katanya. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

2 Pengembara Warga Emas Berbasikal Malaysia Ke Makkah.


Ramli Yusuf (kanan) dan Abdul Karim Salleh.

BALING: Dua pengembara warga emas yang kini sedang melakukan ekspedisi berbasikal dari Malaysia ke Tanah Suci Makkah. Demikian dilaporkan mStar hari ini.

Abd Karim Salleh, 64, bekas anggota komando Angkatan Tentera Malaysia (ATM), dan pesara guru Ramli Yusoff, 63, dari Semenyih, Selangor kini berada di India selepas memulakan kayuhan dua bulan lepas.

Mereka memulakan kayuhan ke Makkah dua bulan lalu dari Semenyih dan telah diberikan sambutan pelepasan di Kompleks Imigresen Pengkalan Hulu untuk ke Thailand oleh Persatuan Veteran Komando ATM Malaysia pada 11 April lalu.

Kedua-dua warga emas itu berhasrat untuk menunaikan umrah. (IH)

Awas, Coklat Ini Disahkan Mempunyai DNA Babi.


Dr Noor Hisham



PENGGUNA
PETALING JAYA: Dua sampel coklat Cadbury yang dianalisis Kementerian Kesihatan Malaysia (KMM) telah disahkan mempunyai DNA babi (porcine). Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata ia dikesan setelah kementerian menjalankan siasatan dan analisis 'porcine' terhadap tiga sampel produk coklat keluaran syarikat tersebut.

"Keputusan analisis mendapati dua sampel telah dikesan mengandungi DNA khinzir iaitu Coklat Susu dengan Kacang Hazel - Cadbury Dairy Milk Hazelnut dan Coklat Susu dengan Buah Badam - Cadbury Dairy Milk Roast Almond.
"Satu lagi sampel coklat susu Cadbury Dairy Milk Chocolate tidak dikesan DNA khinzir," menurut kementerian itu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, Sabtu.

Siasatan KKM dibuat selepas isu pengesanan DNA babi dalam produk coklat susu dengan kacang hazel - Cadbury Dairy Milk tersebar luas di media sosial pada Jumaat. Dr Noor Hisham berkata sampel produk yang dikesan mempunyai DNA babi itu bernombor kelompok (batch no.) 200813M01H I2 yang bertarikh luput 13 November 2014 dan nombor kelompok (batch no.) 221013N01R I1 yang bertarikh luput 15 Januari 2015.

"KKM menasihatkan orang ramai supaya membaca nombor kelompok (batch no.) pada label produk sebelum membeli atau memakannya.
"Sekiranya pengguna mempunyai sebarang persoalan, pengguna boleh mengemukakan kepada KKM melalui laman web Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM)
http://fsq.moh.gov.my atau www.facebook.com/bkkmhq," tambah kenyataan itu.

Dalam pada itu, Cadbury Confectionery Malaysia Sdn Bhd telah memberi jaminan akan memanggil balik produk-produk yang terbabit dari pasaran dengan serta-merta.

Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Makanan 1985 adalah bertujuan untuk melindungi orang awam daripada bahayanya dari segi kesihatan dan penipuan pada penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan dan perkara-perkara berkaitan dengannya. (mStar)

2 Staf Bogel Lakukan Seks Ketika Sidang. Mahkamah Tak Bermoral!



Genoa: SEORANG hakim dalam satu persidangan di Itali terpaksa menghentikan satu kes perbicaraan melibatkan pembunuhan apabila menyedari terdapat dua staf persidangan sedang melakukan hubungan seks ketika persidangan dijalankan. Kedua staf itu sedang melakukan hubungan seks di atas ruang sidang.

Menurut sumber menceritakan, kedua staf yang mengambil kesempatan dan melakukan hubungan seks itu mengira-ngira perbuatan mereka tidak terlihat dari luar. Namun Hakim Anna Ivaldi masih dapat melihat keduanya dari ruang pengadilan Palazzo di Giustizia.

Kemudian Hakim Ivaldi dengan segera menghentikan perbicaraan dimana ketika itu seorang pengacara, Sabrina Monteverde sedang memberikan hujah dalam persidangan tersebut. Hakim segera memerintahkan pemeriksaan atas insiden yang memalukan itu.

‘Ketika persidangan perdana dimulakan, hakim secara tiba-tiba telah mendengar ‘suara pelik’. Kemudian dia memanadang ke atas ruang sidang dan ternampak dua tubuh sedang bertelanjang’,.. kata seorang dari sumber persidangan...

Selepas pemeriksaan dijalankan, ternyata kedua staf yang melakukan hubungan seks itu adalah kakitangan dari pejabat pengadilan yang sememangnya dikenali....

Bagaimanapun nama dari kedua staf tersebut tidak diumumkan oleh pihak pengadilan demi memelihara Institusi penghakiman dari mata umum. Namun masaalah ini dianggap pelik, kerana salah seorang dari kaitangan pengadilan tersebut sudah pun berumahtangga...

Copy & Edit/Independent/22 Mei 2015 

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Kes perbicaraan melibatkan pembunuhan pun boleh tertangguh kerana stafnya yang tidak bermoral. Rupa-rupanya, mahkamah yang diagung-agungkan di barat pun sudah menuju zaman penurunan dan kejatuhan. Negara umat Islam, kembalilah kepada zaman keagungan mahkamah Islam..

PRK T/Intan: DAP Tolak Hudud UMNO Patut Malu. -N/Aziz

Oleh DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT

Teluk Intan : Pandangan Saya

1. Pagi ini saya sekali lagi berhalangan untuk menyampaikan kuliah di Medan Ilmu. Hasrat saya untuk mengulas tentang PRK Teluk Intan di sana, namun kesihatan yang tidak mengizinkan menyebabkan saya terpaksa meminta ia digantikan dengan kuliah yang lain.

2. Berhubung pilihan raya kecil Teluk Intan, ramai yang bertanya pendirian saya berhubung isu hudud setelah calon DAP dikatakan membuat kenyataan menolak hudud. Saya tegaskan bahawa hudud merupakan satu kewajipan. Mana-mana orang Islam wajib menerima hukum ini sebagaimana mereka menerima kewajipan bersolat dan berpuasa. Pas tidak pernah lari dari kewajipan ini bahkan konsisten mempertahankannya semenjak dari hari ia ditubuhkan lagi.

3. Di Teluk Intan, kerusi tersebut ialah kerusi DAP yang merupakan rakan tahaluf siyasi Pas. Bersama-sama DAP dan juga PKR, Pas telah bekerjasama membentuk Pakatan Rakyat dan sama-sama memperjuangkan keadilan dan membanteras rasuah. Sehingga hari ini DAP belum pernah menzalimi Pas sebagaimana yang dilakukan Umno sebelum ini.

4. Justeru, apabila calon DAP dikatakan menolak hudud, ia tidak mengejutkan kerana itulah perbezaan Pas dengan DAP. Dalam hal ini, Pas sewajibnya berusaha lebih gigih memberikan kefahaman kepada DAP agar kebaikan dan keindahan hukum Islam ini dapat difahami dan diterima. Sebab itu, saya sentiasa menaruh harapan agar satu hari nanti DAP menerima hasrat Pas ini hasil dakwah berterusan yang tidak henti-henti.

5. Usia Pakatan Rakyat baru sahaja lima tahun. Dalam masa lima tahun, adalah satu perkara yang logik jika DAP masih belum memahami hasrat Pas dalam isu ini. Pihak yang patut malu ialah Umno yang telah setengah abad bersahabat dengan parti-parti komponen bukan Melayu dalam BN, namun hingga sekarang masih gagal memberikan kefahaman tentang Islam. Bahkan ada ahli Parlimen Umno sendiri secara terang-terangan mengeluarkan kenyataan untuk mengundi menolak hudud di Parlimen nanti.

6. Saya kira Umno perlu menilik wajah di cermin sebelum mentohmah Pas kononnya menggadaikan prinsip. Jerawat, kurap dan panau di badan sendiri masih bertompok merata tiba-tiba jari lurus menuding kononnya orang lain itulah pesakit kusta! Sedarkah Umno bahawa parti Gerakan itulah yang menjanjikan rantai manusia bagi menghalang hudud dibentang?

7. Saya ingatkan sekali lagi, elakkanlah menjadikan isu hudud sebagai bahan kempen di Teluk Intan. Dalam pertarungan DAP dan Gerakan ini, tiada untungnya isu ini ditimbulkan. Pada saya, harapan saya tetap ingin melihat PR menang di Teluk Intan dan hudud akhirnya berjaya dilaksanakan!

Salam hormat.

DATUK NIK ABDUL AZIZ NIK MAT,
Kampung Pulau Melaka, Kota Bharu.
23 Rejab 1435H

T/Presiden PKR, Azmin Ali Menang Setakat 11 Mei.


Persaingan pemilihan timbalan presiden PKR menyaksikan penyandangnya, Azmin Ali, semakin jauh ke depan berdasarkan kepada keputusan rasmi sehingga 11 Mei lalu.

Menurut keputusan rasmi itu, 
  • Azmin mendapat 14,676 undi, meninggalkan dua pencabarnya, 
  • Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim yang mendapat 10,318 undi, dan 
  • Datuk Saifuddin Nasution Ismail meraih 7,306 undi.
Bagi jawatan naib presiden pula, 
  • penyandangnya, Nurul Izzah Anwar masih mendahului dengan 17,725 undi. 
  • Seorang lagi penyandang jawatan itu, Tian Chua di tempat kedua dengan 15,664. 
  • Pengarah strategi PKR, Rafizi Ramli pula di tempat ketiga dengan 13,170 undi,  diikuti
  • Shamsul Iskandar Mohd Akin (11,060), 
  • Baru Bian (10,898), 
  • Dr Xavier Jayakumar (10,364), 
  • Fuziah Salleh (9,099) dan 
  • Lee Chin Cheh (8,001).

Bagi pemilihan jawatan ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), 
  • ADUN Batu Cave, Amiruddin Shari mendahului persaingan dengan 2,666 undi manakala
  • ADUN Seri Setia, Nik Nazmi Nik Ahmad (2,255) dan 
  • seorang lagi calon mendapat Mohd Nazree (1,631).

Bagi naib ketua pula menyaksikan persaingan sengit. 
  • Mohd Radzlan Jalaludin mendahului dengan mendapat 2,803 undi, 
  • Raymond Ahuar (2,767), 
  • Sangetha Jayakumar (2,768), 
  • Mohd Saifullah Mohd Zulkifli (1,939), 
  • Nor Hizwan Ahmad (1,891), 
  • Ginie Lim (1,848), 
  • Sri Sanjeevan a/l Ramakrishnan (1,716), 
  • Carol Oolmela (1,549) dan 
  • Rajevigneswaran a/l Maniraju (1,070).

Bagi jawatan ketua Wanita, keputusan rasmi sehingga 11 Mei, menunjukkan 
  • Zuraida Kamaruddin mendapat 4,936 undi, 
  • manakala seorang lagi calon Rodziah Ismail memperolehi 4,558 undi.

Persaingan bagi timbalan ketua wanita pula didahului oleh 
  • Haniza Mohamed Taha (4,809), 
  • Prof Madya Rusnah Aluai (3,795) dan 
  • Tengku Intan Tengku Abdul Hamid (710).

Bagi jawatan naib ketua pula didahului oleh 
  • Dr Daroyah Alwi (5,137), 
  • Noorsham Abu Samah (4,759), 
  • Gan Pei Nei (4,311), 
  • Tan Poh Lai (4,222), 
  • Sivamalar a/p Genapathy (3,800) dan 
  • Johair Matlani (3,705).

Bagaimanapun, keputusan rasmi sehingga 11 Mei itu tidak termasuk pemilihan semula di 35 Cabang PKR. Cabang-cabang berkenaan akan mengadakan pemilihan semula itu mulai 31 Mei ini dan dijangka berakhir pada 22 Jun depan. (MK)

Dr Jamal Abdul El-Sattar Pemimpin Ikhwan Sambut Bantuan PAS



Salahuddin (kanan) menyampaikan sumbangan PAS kepada Dr Jamal sambil diiringi Dr Syed Azman (kiri) dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nasaei Ismail.

KUALA LUMPUR: Air mata mengalir deras di pipi pemimpin Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Jamal Abdul El-Sattar ketika menerima sumbangan PAS untuk saudara se-Islam yang kini ditindas regim tentera Mesir.

Sumbangan yang disampaikan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub itu diharap dapat membantu membeli ubat-ubatan, pakaian, makanan, membiayai anak-anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya.

"Kepimpinan PAS di bawah Ustaz Abdul Hadi telah banyak membantu kami di waktu senang dan susah.
"Kami amat menghargai sokongan dan dokongan yang tidak berbelah-bahagi dari PAS kepada Ikhwan. Kami akan terus  membuktikan sifat toleransi dan kesabaran yang tinggi walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan ujian," kata Dr Jamal dalam kunjungan singkatnya di ibu negara, semalam.

Pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir itu menyifatkan sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi PAS kepada Ikhwan telah memberi semangat yang kuat kepada sahabat-sahabat di Mesir bagi meneruskan agenda perubaha secara aman walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan ujian yang amat berat.

Menurut beliau, ramai di kalangan pemimpin Ikhwan yang dibunuh secara kejam dan ribuan  kini ditahan di penjara seluruh Mesir sebaik selepas rampasan kuasa (kudeta) tentera yang menggulingkan Presidan Mohamad Morsi. Beliau juga mengharapkan ahli PAS sentiasa mendoakan kesabaran kepada anggota Ikhwanul Muslimin yang sedang menghadapi ujian.

"Kami sudah biasa di penjara dan diseksa dengan kejam oleh rejim yang ganas. Hanya kesabaran dan keyakinan kepada janji-janji Allah SWT menjadi senjata kami.
"Kami yakin dengan janji-janji Allah SWT, detik-detik kemenangan akan pasti datang dengan kesabaran dalam ujian yang amat mencabar ini. Doakan kesabaran kami dalam menghadapi ujian ini," ujar beliau.

Sementara itu, Salahuddin sekali lagi mengulangi penegasan PAS untuk berdiri teguh bersama Ikhwan Muslimin bagi memperjuangkan masyarakat Islam yang adil dan saksama secara demokratik dan aman.

"Sumbangan yang kecil ini adalah sedikit rasa perkongsian kesedihan dan tangisan umat Islam seluruh dunia terhadap ujian besar yang dihadapi oleh rakyat Mesir selain doa dan munajat yang dipanjatkan setiap hari untuk kesejahteraan mereka di sana," katanya.

Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad, mengharapkan setiap ahli PAS serta rakyat Malaysia terus membantu rakyat Mesir serta mendoakan kesabaran kepada Ikhwanul Muslimin yang sedang menghadapi ujian yang amat berat.

"PAS tidak akan sekali-kali meninggalkan tanggung jawab membantu sahabat-sahabat di Mesir di waktu mereka sedang di uji dengan ujian yang amat mencabar ini," katanya.

Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Mesir boleh disalurkan ke akaun Maybank 5640 7070 3248 atas nama Parti Islam Se-Malaysia. - HARAKAHDAILY, 23/5/2014

4 Didakwa Sokong, Galak Keganasan


ANGGOTA polis Bahagian Antikeganasan mengiringi Mohd. Armie Fatihah (berkopiah putih kanan) dan Mohd. Hafiz (berkopiah putih kiri) masuk ke Mahkamah Majistret Taiping, Perak semalam. 

Empat didakwa sokong keganasan
ANGGOTA polis mengiringi tertuduh di Mahkamah Majistret Port Dickson.

KUALA LUMPUR – Empat individu termasuk seorang wanita didakwa di tiga Mahkamah Majistret berasingan atas tuduhan menggalakkan aktiviti keganasan dan memberi sokongan terhadap kegiatan pengganas semalam.

Di Mahkamah Majistret di sini, tertuduh, Azizah Md. Yusof, 55, didakwa atas dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa memberi sokongan terhadap berlakunya perbuatan pengganas melalui Facebook ‘Wan Jah’ yang mempunyai laman web http://www.facebook.com/wan.jah.184?fref=ts.

Mengikut pertuduhan kedua, dia didakwa melakukan kesalahan sama melalui Facebook ‘Azizah Yusof’ di alamat http://www.facebook.com/azizah.yusof.714?fref=ts.

Ibu kepada lima anak itu didakwa melakukan perbuatan itu di Bahagian E8, Cawangan Khas, Tingkat 24, Menara 2, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini pada 2 petang, 24 April lalu.

Wanita bertubuh kecil memakai tudung merah, baju berlengan tangan panjang dan berseluar jeans hanya mengangguk mengakui bahawa dia memahami pertuduhan apabila ia dibacakan kepadanya. Tiada pengakuan direkodkan. Azizah telah ditangkap di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 pada 28 April.

Dia berdepan menghadapi hukuman penjara seumur hidup atau sehingga 30 tahun penjara, denda atau rampasan mana-mana aset yang digunakan untuk aktiviti-aktiviti pengganas jika disabitkan kesalahan. Timbalan Pendakwa Raya Muhamad Iskandar Ahmad menggesa majistret untuk mempercepatkan prosiding untuk mendapatkan kes yang dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Majistret Erry Shahriman Nor Aripin kemudian menetapkan 30 Mei untuk sebutan kes. Peguam K.C. Suzalena Salleh dan Nadzarih Wok Nordin dilantik menjadi penguam bela kes ini. Selepas itu, Azizah dilihat mengucapkan selamat tinggal kepada ahli keluarga ketika dalam perjalanan ke lokap mahkamah. Demikan menurut beberapa sumber. (IH)

Forum Memali Saksi Hidup: Kertas Putih Pembohong.


BALING: Saksi-saksi hidup dalam peristiwa berdarah Memali 1985 mendakwa, kebanyakan fakta yang dimuatkan dalam kertas putih yang dibentang di parlimen berkait peristiwa itu adalah tidak benar.

Sanggahan itu dibuat melalui satu forum khas bertajuk 'Tragedi Memali: Pembetulan fakta sejarah menolak pembohongan kertas putih Kerajaan Malaysia' di Kampung Memali petang tadi. Forum itu diadakan sempena program Himpunan Keadilan Untukmu Memali anjuran PAS Pusat yang berlangsung hari ini.

Sembilan saksi ditampilkan dalam forum ini iaitu Bekas Senator Datuk Mohammad Yusof Husin, Azmi Salim, Zaman Mahmud, Zakaria Abdul Rahman, Ramli Che Mit, Osman Salleh, Radziah Rozali, Aisyah Ahmad dan Tuan Guru Abdul Wahab Hassan. Kesemua mereka adalah antara mangsa yang ditahan selepas berlakunya peristiwa hitam itu, serta balu-balu kepada mereka yang terkorban dalam insiden itu.


Mohammad Yusof, yang merupakan orang kanan kepada Allahyarham Ustaz Ibrahim Mahmud atau Ibrahim Libya, berkata fakta dalam kertas putih sengaja dibuat bagi menjustifikasikan tindakan pihak berkuasa yang telah menyebabkan 14 orang terkorban dalam insiden itu.

"Seramai 161 saksi diminta membuat kenyataan menggambarkan bahawa Ustaz Ibrahim Libya adalah seorang pengganas, mengajar ajaran sesat dan ingin menjatuhkan kerajaan secara revolusi bersenjata," katanya yang namanya disebut sebanyak 16 kali dalam kertas putih.

Beliau yang juga lebih mesra dengan panggilan Pak Ucop, turut dituduh sebagai ketua mujahidin, dan timbalan ketua gerakan revolusi dalam kertas putih itu.

Menurut Pak Ucop, punca sebenar peristiwa Memali berlaku adalah kerana ketegasan Ustaz Ibrahim Libya yang menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang disifatkan sebagai akta zalim dan bercanggah dengan perinsip keadilan Islam.

"Dia pernah kata, dia tak redha ditanggkap di bawah ISA. Dia sanggup serah jasad tanpa nyawa," katanya lagi.

Mengulas dakwaan dalam kertas putih, kononnya rumah Ustaz Ibrahim Libya menjadi tempat menyimpan senjata untuk tujuan revolusi, beberapa saksi lain turut menyanggah. Radziah berkata, beliau mendapat maklumat bahawa pihak polis bertindak mengumpul parang dari seluruh rumah di kampung itu selepas kejadian itu berlaku, dan bukan parang yang terdapat di rumah Ustaz Ibrahim.

Dakwaan bahawa terdapat lebih 100 orang di rumah Ustaz Ibrahim ketika hari kejadian dengan bersenjata parang juga turut disanggah.

"Orang kampung, bila dengar lembu kena langgar, penuh orang keluar tengok.
"Ini pula orang nak ambik tok guru kita, tentu la kita datang nak tengok, bagaimana mereka nak ambik.
"Mereka ini ada kerja menebas, jadi mereka datang dari tempat kerja sambil pegang parang" katanya.

Pak Ucop kemudiannya menjelaskan, ketika kejadian tak lebih dari 40 orang berada di kawasan rumah Ustaz Ibrahim dan bukan seperti dilaporkan di dalam kertas putih itu. Dalam kertas putih tersebut, Ustaz Ibrahim Libya juga didakwa memakai azimat dan mengamalkan ajaran khurafat kononya bagi tujuan ilmu kebal dan pelindung diri.

"Kalau pakai azimat, tak mati la. Tapi semua yang kena tembak itu mati.
"Maknanya tuduhan itu tak betul," kata salah seorang dari mereka.

Forum yang berlangsung di Madrasah Islahiah Memali petang tadi itu turut dihadiri lebih 1000 hadirin. Malam ini pula akan berlangsung ceramah perdana oleh pemimpin PAS termasuk Presiden Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang. - HARAKAHDAILY 23/5/2014

Hudud: Benarkah Ini Kata Mufti K'tan Seperti Lapor Bernama?





MENURUT lapor Bernama hari ini..  (Berhati-hati beri pendapat mengenai hudud, bimbang akidah terjejas).

Umat Islam perlu berhati-hati mengeluarkan pendapat mengenai hudud kerana dikhuatiri jika tersilap lafaz ia boleh menjejaskan akidah dan syahadah mereka.

Mufti Kelantan Datuk Mohammad Shukri Mohammad (gambar) berkata seseorang Islam tidak boleh berkata beliau menolak hudud atau pelaksanaannya kerana hudud merupakan undang-undang Allah yang wajib dilaksanakan.

"Jika dia berkata dia tidak menolak hudud tetapi menolak pelaksanaan hudud sekali pun, ia tidak boleh. Sebaliknya katakanlah bahawa hudud itu akan dilaksana tetapi dengan ruang-ruang dan perbincangan antara sekutu sehingga ia boleh dilaksanakan dengan persetujuan semua.
"Dalam konteks negara kita yang berbilang kaum ini, hudud itu dikatakan tidak sejajar dengan perlembagaan tetapi ia perlu jua dilaksanakan apabila ada ruang persetujuan antara pihak berkenaan nanti," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohamad Shukri berkata hukuman hudud bagi orang Islam adalah wajib seperti solat, haji dan puasa, namun katanya atas sebab-sebab tertentu ada juga yang tidak mengamalkan solat, puasa atau haji.

"Ada juga orang Islam yang tak solat, tetapi dia tak tolak solat. Ada yang tak buat haji walaupun dia mampu tapi dia tak tolak haji.
"Begitu juga hudud, pelaksanaannya juga tidak boleh ditolak sebaliknya terus dibincang sehingga boleh dilaksanakan," katanya.

Mohamad Shukri juga menasihatkan agar umat Islam negara ini berhati-hati ketika membincangkan tentang hudud sama ada di laman sosial atau sebagainya untuk mengelak akidah terkena 'virus' atau menjejas syahadah.

"'Virus' itu maksudnya kita semacam termakan apa yang orang kata tentang hudud kononnya zalim dan sebagainya sedangkan mereka tidak faham apa itu hudud. Manakala syahadah pula pendirian kita terhadap Islam dengan lafaz dua kalimah syahadah, itu perlu dijaga jangan sampai terjejas," katanya.

Katanya perbincangan tentang hudud sepatutnya diserahkan kepada pihak yang pakar mengenainya dalam usaha memberikan pemahaman terutama kepada orang bukan Islam.

"Kalau sakit jantung, biar pakar jantung yang rawat, begitu juga persoalan hudud, tidak usah kita sama-sama bincang, bimbang akidah terjejas, biar yang pakar selesaikan" katanya.

Mohamad Shukri turut meminta anggota-anggota politik termasuk calon pilihan raya mengelak menggunakan isu hudud sebagai bahan untuk kempen mereka.
Katanya agama dan politik adalah dua perkara yang tidak seharusnya dicampur adukkan apatah lagi sebagai bahan kempen.

"Bawalah apa sahaja bahan, tetapi bukan agama, bukan hudud. Bila dah cakap banyak pasal, ada yang mungkin tidak sedar akidah terjejas.
"Kita faham, kalau bukan Islam hudud memang mereka tolak, tetapi jika yang bercakap itu orang Islam, dia atas tiket politik, mereka perlu berhati-hati, elakkan," katanya.
 (– Bernama, 23 Mei, 2014. Sila rujuk The Malaysian Insider)

Komen Weblog Ibnu Hasyim:  Betulkah ini kata-kata seorang Mufti?
  1. 'meminta anggota-anggota politik termasuk calon pilihan raya mengelak menggunakan isu hudud sebagai bahan untuk kempen mereka. '  
  2. 'agama dan politik adalah dua perkara yang tidak seharusnya dicampur adukkan'.
  3. 'Bawalah apa sahaja bahan, tetapi bukan agama..'
Pertanyaan:
  1. Perjuangan menegakkan negara Islam dan hudud' ada dalam perlembagan parti dah pun diluluskan, bagaimana tak boleh kempen (isi perlembagaan)? Kecuali kalau untuk strategi PRK Teluk Intan.
  2. Tak mungkin seorang Mufti memahami agama cara sekuler begitu.
  3. Adakah perkara dalam duni ini yang tiada kaitan dengan agama atau hari akhirat? 
(IH)

Friday, May 23, 2014

Wardina Berkempen Untuk PRK Teluk Intan?



KUALA LUMPUR: “Melihat kepada rancak kempen pilihan raya, saya jadi termangu-mangu,” tulis selebriti Wardina Safiyyah menerusi facebook.

Justeru, beliau sangat mengharapkan agar kedua-dua kem dapat berkempen secara sihat.

“Tidak perlu character assassination untuk menunjukkan kalian lebih baik daripada yang lain,” tulisnya lagi.

Berikut tulisan penuh beliau.

Petang tadi, saya sempat menonton berita Edisi 7. Ada kisah tentang pilihan raya kecil Teluk Intan. Dalam footage berita, banyak dimuatkan video beberapa tempat tersohor di situ. Antaranya pasar kering dan basah, Menara Condong, Pejabat Tanah dan Daerah, laluan hadapan mahkamah dan beberapa kawasan di tepian sungai.

Teluk Intan, atau orang lama di situ mengenalinya sebagai Teluk Anson. Ia kota kecil yang manis dan anggun dari segi sejarah dan peradaban. Sederhana, namun mewah dari kaca mata saya.

Banyak kenangan manis, pahit dan getir yang saya lalui di situ, sewaktu saya bertugas pasca perpindahan dari Pulau Pinang. Setiap lokasi yang ditunjukkan, nyata menyimpan pelbagai kenangan jatuh bangun dan jerih payah saya.

Saya tinggal di situ dengan seorang teman yang merupakan seorang doktor perubatan. Orangnya cantik, namun ulahnya juga gila-gila seperti saya. Pernah, kami makan durian di bawah sinki pada waktu tengah malam, dek mengidam yang bersangatan. Mengapa di bawah sinki? Sebab, kami bersembunyi daripada intipan jiran sebelah yang suka menjenguk melalui cermin tingkap dapur. Heheh...

Melihat kepada rancak kempen pilihan raya, saya jadi termangu-mangu. Saya sangat mengharapkan agar kedua-dua kem dapat berkempen secara sihat. Tidak perlu "character assassination" untuk menunjukkan kalian lebih baik daripada yang lain.

Sungguh, dengan memburukkan orang lain, dengan mengeji perjalanan kehidupan orang, dengan mengoyakkan maruah dan keperibadian yang mahu diselindungkan, tidak akan menjadikan kalian lebih mulia dan terkehadapan.

Simpanlah umpatan dan caci maki ke dalam guni, kemudian ikat dengan tali kemas-kemas, humban ke laut lepas. Tiada untung saat maruah orang lain diperhitung buat tatapan umum.

Menjadi pemimpin yang sopan dan tahu akal budi, serta tahu menghargai, akan menjadikan kalian tampak anggun berseri.

Kita tidak mampu menghalang kemaraan orang. Biarkan bintang mereka bergemerlapan. Jika kita mahu bintang kita ikut bersinar, usahalah dengan jalan paling baik, tanpa melukakan dan mencarikkan perasaan orang. Tuhan pasti bersama-sama dengan kalian yang berusaha menggunakan jalan halal, dan natijahnya adalah kemenangan. - HARAKAHDAILY 23/5/2014

Muslim New York Ini, Solat Di Atas Bonet Taksi




MELAKUKAN kewajiban seorang muslim untuk menunaikan ibadah solat boleh di mana saja, seperti yang dilakukan seorang pemandu teksi di New York, Amerika Syarikat ini.  

Tanpa malu dan khusyuk, lelaki yang tidak disebutkan identitinya itu sembahyang di atas teksi, tepatnya pada bahagian belakang bagasi yang bersalut sejadah.  

Teksi itu diletakkan di pinggir jalan. Beberapa orang pejalan kaki tak henti-henti membawa pandangan ke pemandu teksi yang sedang solat. Mereka kelihatan kagum. Di tengah kesibukan bekerja, pemandu tidak meninggalkan kewajipan sebagai muslim.  

Di bandar yang tak pernah tidur ini, diketahui penduduk umat Islam mencapai 800 ribu jiwa. Mereka berasal dari pelbagai negara Islam, seperti Pakistan, India, Bangladesh, Indonesia, banyak yang menjadi pemandu teksi. (IH)
 


Panda Didahulukan Rakyat Dibelakangkan, T/kasih BN.




KUALA LUMPUR: Selama berbelas-belas tahun penduduk Sepang menunggu janji kerajaan Barisan Nasional (BN) untuk mendirikan hospital tetapi masih tidak ditunaikan.

“Kami penduduk daerah Sepang amat terkilan kerana hanya dengan perancangan mengambil masa dua tahun sahaja kerajaan dapat mengeluarkan dana jutaan ringgit membawa dan menyediakan infrastruktur hanya untuk dua ekor panda.
“Sedangkan saya dan penduduk daerah Sepang sudah belasan tahun menanti janji-janji kerajaan bagi mendirikan Hospital Daerah Sepang,” tulis seorang pembaca Harakahdaily yang menggelarkan Zahar KLIA2.

Beliau menambah, terbukti panda didahulukan dan rakyat dibelakangkan, terima kasih BN.

Pasangan panda gergasi Fu Wa (jantan) dan Feng Yi (betina) tiba di Kompleks MASkargo, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 7.53 pagi Rabu lalu. Dua ekor panda itu berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Chengdu, China kira-kira jam 3.40 pagi (waktu tempatan) dengan pesawat khas jenis Airbus 330-200 MASkargo MH6462.

Kedua-dua binatang itu dibawa dari Dujiangyang, Chengdu menerusi Program Perjanjian Kerjasama Konservasi Antarabangsa Giant Panda di antara Malaysia dengan Republik Rakyat China yang ditandatangani pada tahun 2012. - HARAKAHDAILY 23/5/2014

LGBT Menjadi-jadi, Selesaikan Segera, Tak Semudah Panda.


Khutbah Jumaat di masjid-masjid di Wilayah Persekutuan hari ini menyatakan kebimbangannya terhadap masalah sosial yang didakwa makin menjadi-jadi, termasuk gejala lesbian, gay, biseksual, transgender (LGBT).

Ia antara masalah yang disenaraikan bersama pelacuran, rogol pembuangan bayi, dadah, arak oleh teks khutbah kelolaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) itu.

“Keadaan ini diburukkan pula dengan wujudnya segelintir umat Islam yang hilang integriti, jati diri dan tersasar dari landasan yang sebenar,” menurut khutbah itu lagi.

Mimbar justeru mengingatkan, masalah sosial pelbagai bentuk itu menghendaki umat Islam bekerja dengan lebih gigih dengan menyusun strategi dakwah mengikut situasi semasa.

Khutbah itu juga membuat kesimpulan, akhlak kurang baik umat Islam kini turut berpunca daripada solat yang tidak khusyuk, menyebabkan perbuatan keji tidak dapat dihindari.

”Maka mimbar amat yakin pelaksanaan solat yang khusuk berupaya menjadi benteng, mengukuhkan kekuatan akidah dan akhlak anak-anak kita dalam menghadapi serangan gejala sosial ini,” katanya.

Khutbah Jumaat hari ini bertemakan peristiwa Israk Mikraj yang mana Nabi Muhammad menerima kewajiban solat selepas bertemu Allah SWT di Sidratul Muntaha. (MK)

Komen Weblog Ibnu Hasyim: Masalah LGBT, bukan masalah orang Islam semata-mata, bahkan masalah semua manusia dan semua agama. Ia perlu dicari jalan selesai segera, apalagi ulama-ulama, perlu memainkan peranannya. Tak semudah kes 2 ekor panda, yang sekarang berada di zoo..

Lihat ini, ada kaitan..