SELAMAT Datang Aliza Kim kepada Islam dan kesejahteraan. Kamu pilih Ramadhan yang menunggumu.
KL: Dulu dia gemar mengunjungi parti sosial dan bergambar
seksi sesuai dengan statusnya sebagai bekas model antarabangsa, tetapi
siapa sangka gadis jelita yang juga anak seorang paderi ini beroleh
hidayah untuk memeluk Islam sejak tahun lalu.
Itulah kehidupan baru Aliza Kim, 20-an, model kelahiran Oklahoma,
Amerika Syarikat berdarah Thailand yang kini menetap di negara ini sejak
enam tahun lalu.
Sebagai anak tunggal dan dibesarkan dengan ajaran Kristian sempurna oleh
bapa bergelar paderi, Aliza berkata, dia perlu mengambil berat perasaan
kedua-dua ibu bapanya sebelum mengumumkan menganut Islam.
Berikutan itu, dia mengambil masa setahun untuk membuktikan kasih sayang
sebagai anak kepada ibu bapa sebelum mengisytiharkan pengislamannya
kepada masyarakat dan keluarga, Januari lalu.
“Sebelum memaklumkan mereka mengenai status Islam, terlebih dulu saya
memberitahu bahawa diri sedang mempelajari Islam dan tiada sebarang
bantahan daripada mereka.
“Bapa seorang lelaki yang baik dan taat kepada agama, pernah terlintas
di fikiran saya bahawa sukar untuk berterus-terang kepadanya. “Temujanji
antara anak dan bapa di Melaka, tahun lalu, memberi peluang kepada saya
untuk membuktikan diri masih anak yang mereka sayangi sejak kecil.
Kasih sayang itu tidak akan berubah.
“Semestinya pengakuan saya membuatkan mereka bersedih, namun bapa berfikiran terbuka dan mereka menerimanya dengan hati terbuka.
“Pesanan mereka sekiranya Islam memberi ketenangan dan harapan, saya
diberi kebebasan untuk meneruskan pilihan itu,” kata Aliza ketika
ditemui pada majlis Hijab Event 2014, Taman Tasik Titiwangsa, sempena
Hari Hijab Sedunia, semalam.
Wanita ini mengakui memiliki alasan kukuh merahsiakan dulu status
pengislamannya, termasuk persediaan menjadi Muslimah sejati secara
luaran mahupun dalaman dan penerimaan ibu bapanya.
“Sebelum saya umumkan kepada khalayak ramai, saya perlu membuat persediaan awal.
“Saya ingin memakai pakaian menutup aurat, berhijab bukan sekadar menutup rambut, bahkan hati dan fikiran saya.
“Perjalanan saya bergelar Muslimah bermula dengan pembacaan dan kajian
untuk mencari ketenangan sebenar dalam hidup. “Jika saya mengumumkan
pengislaman ini lebih awal namun tidak memiliki ciri-ciri wanita
Muslimah sama ada pemakaian, pemikiran mahupun percakapan, mungkin ada
yang menganggap ia mainan dan penghinaan kepada Islam sendiri.
“Saya ingin menjadi Muslimah sejati, di dalam mahupun di luar,” katanya
yang kini giat menghasilkan buku panduan Islam kepada saudara baru
dengan cara lebih mudah.
Berkongsi cerita penghijrahannya, Aliza yang kini aktif menghadiri kelas
agama setiap hujung minggu ini mengakui perjalanan mencari kebenaran
bermula apabila kehidupan peribadinya berdepan krisis besar, termasuk
gemar menyertai parti sosial dan bergambar seksi dalam dunia fotografi.
“Selepas enam bulan hidup dengan cara itu, saya mula bosan dan
kekosongan jiwa belum diubati. Kemudian, saya menyesal dan berhasrat
untuk kembali kepada ajaran agama.
“Saya tinggalkan semua aktiviti itu dan mendekatkan diri kepada Tuhan dengan harapan dapat menemui ketenangan sebenar.
“Berniat mencari agama dan ajaran sebenar, saya mengunjungi banyak gereja serta membuat kajian mendalam sejak 2012.
“Namun pencarian itu belum memenuhi kekosongan jiwa. Lantas saya mula
mengkaji agama dan ajaran yang dibawa golongan nabi termasuk Muhammad,
Isa dan Musa.
“Saya percaya nabi tidak akan sekali-kali melakukan kesilapan,” katanya sambil mengakui teman menyarankan supaya mengkaji Islam.
Sepanjang pembacaannya mengenai Islam terutama kisah nabi, Aliza
mengakui lebih mudah memahami kerana dia turut mempelajarinya dalam
Bible.
Aliza berkata, dia tertarik dengan sistem dan penstrukturan Islam dalam
aspek kehidupan seperti bersolat, makan, pakaian mahupun bercakap.
“Apabila kita ikhlas mencari Allah, Dia akan datang kepada kita.
Kemudian, saya mencari kebenaran mengenai satu Tuhan, bukan saja Islam,
Kristian mahupun Yahudi, bahkan agama lain.
“Saya membaca 12 buku dan setiap buku itu membawa saya kepada pencarian dan pengetahuan baru mengenai kebenaran.
“Saya berasakan ia adalah aturan sempurna ditetapkan Allah untuk saya melihat kebenaran.
“Apabila difikirkan semula, secara ikhlas saya yakin sebenarnya
kebenaran yang menemui saya,” kata lulusan Sarjana Perniagaan
Antarabangsa ini.
Disoal masih merindui dunia peragaan, Aliza berkata, pekerjaan itu
dilakukan bukan untuk mengejar populariti, sebaliknya mencari pendapatan
menampung kehidupannya. (IH)
Lagi tentang Aliza Kim..