Hubungan
baik Malaysia dengan kerajaan Hamas, seperti dibuktikan melalui
pertemuan Najib dengan Ismail (kanan) di Gaza dilihat menimbulkan rasa
tidak senang Israel.
SHAH ALAM - Pendirian tegas Malaysia dalam menyokong pejuang Palestin
untuk mendapatkan semula hak mereka yang dirampas negara haram Israel
nampaknya semakin membuatkan rejim Zionis itu tidak senang duduk.
Terbaharu, The Jerusalem Post, iaitu media Israel yang digunakan untuk
menghebahkan propaganda kerajaan Zionis semalam mendakwa seorang tentera
Hamas dari unit Al-Qassam bersama sembilan anggota lain menjalani
latihan di Malaysia pada 2012 tentang cara melakukan serangan merentasi
sempadan menggunakan payung terjun.
Pendedahan tersebut kononnya dibuat oleh seorang komander Hamas kepada
agensi keselamatan Israel, Shin Bet dalam siri soal siasat selepas
beliau ditahan di Khan Yunis, Gaza pada 21 Julai lalu.
Anggota Hamas itu didakwa mendedahkan bahawa beliau menerima latihan
dalam serangan menggunakan payung terjun serta cara menculik askar
sebagai sebahagian daripada persediaan untuk menentang serangan darat
tentera Israel di Gaza.
"Suspek menyertai Hamas pada 2007 dan menjadi sebahagian daripada unit tentera Hamas, Al-Qassam.
"Beliau menjadi cekap dalam penggunaan senapang automatik Kalashnikov
dalam pelbagai posisi menembak," menurut The Jerusalem Post.
Namun, laporan itu tidak menyebut pihak di Malaysia yang didakwa menyediakan latihan itu kepada anggota Hamas tersebut. Sementara itu, laporan Astro Awani semalam menyebut, Hamas menafikan tuduhan Shin Bet itu. Menurut pemimpin kanan Hamas, Dr Khaled Qadoumi, rejim Zionis mengolah
propaganda itu untuk menutup kelemahan dan kekejaman di Gaza.
“Israel sedang mengalami kekalahan moral yang teruk dalam operasi
ketenteraannya kali ini di Gaza dan mereka cuba menjejaskan sokongan
sebuah negara Islam yang proaktif dan kuat terhadap warga Palestin,”
kata Khaled seperti dilaporkan Astro Awani.
Hamas juga menyifatkan Malaysia menjadi sasaran penipuan Tel Aviv
kerana peranan luar biasa kerajaan dan rakyat negara ini dalam
memperjuangkan Palestin di pentas global.
“Israel adalah penipu besar. Kenapa tuduh Malaysia? Kerana Malaysia
sebuah negara Islam yang bebas serta berani sentiasa berada di sisi
rakyat Palestin di Gaza yang terus sengsara,” tegas Dr Khaled yang turut
menyeru semua pihak di Malaysia tidak terpengaruh dengan penipuan dan
permainan propaganda Israel.
Sokongan berterusan Malaysia terhadap perjuangan rakyat Palestin di
Gaza menjadi perhatian dunia terutamanya apabila Perdana Menteri Datuk
Seri Najib Tun Razak membuat lawatan rasmi ke wilayah tertindas itu dan
bertemu dengan pemimpin Hamas yang juga Perdana Menteri Gaza, Ismail
Haniyeh pada Januari 2013.
Lawatan Najib itu mendapat perhatian luar biasa dan liputan meluas
media terutama di Amerika Syarikat kerana beliau merupakan pemimpin dari
luar negara Arab yang pertama melawat Gaza. Pertubuhan Kebudayaan Palestin Malaysia (PCOM) menganggap lawatan itu sebagai langkah berani dan bersejarah oleh Najib.
"Malaysia sentiasa menerajui sokongan terhadap isu Palestin melalui
pertubuhan badan bukan kerajaan (di negara ini). Kami menggesa semua
kerajaan yang adil untuk menuruti langkah Malaysia," menurut PCOM semasa
mengulas lawatan itu. (SH)