KL:Bekas Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mahu berkongsi apa
yang Nabi Shu‘aib nyatakan kepada kaumnya tentang punca kemusnahan
ekonomi sesuatu umat.
Beliau menyatakan tidak mahu mengulas bajet secara detil menerusi tulisan dalam facebooknya, sebagaimana di bawah.
Saya
tidak mahu mengulas bajet secara detil. Biarlah hal itu dilakukan oleh
pakar-pakarnya. Saya sekadar mahu berkongsi apa yang Nabi Shu‘aib
nyatakan kepada kaumnya tentang punca kemusnahan ekonomi sesuatu umat.
Nabi
Shu’aib merupakan seorang nabi yang yang diutuskan kepada Kaum Madyan.
Beliau terpaksa menghadapi kerenah penyelewangan pengurusan ekonomi dan
harta yang mereka lakukan. Kaum Madyan dicatatkan sebagai kaum yang awal
mengenakan cukai kepada orang yang lalu-lalang dalam kawasan mereka.
Al-Quran merakamkan ucapan-ucapan Shu’aib bagi mengingatkan sesiapa yang
terlibat dengan harta orang lain tentang asas-asas penting dalam
menguruskan harta. Bahasa Nabi Shu’aib a.s. bahasa asas yang dapat
difahami oleh semua peringkat.
Penipuan Harga
Penipuan
harga adalah antara ibu penipuan dalam urusan ekonomi. Meletak harga
bohong pada sesuatu adalah kezaliman. Penipuan ini boleh berlaku samada
dengan cara menipu ukuran ataupun timbangan. Dalam kerangka
projek-projek kerajaan bererti meletakkan harga yang tidak sepadan
dengan nilai yang sepatut. Sehingga projek-projek itu dibayar oleh
kerajaan dengan harga yang tinggi melebihi ‘sukatan’ ataupun ‘timbangan’
yang sepadan. Wang awam menjadi mangsa dan negara menjadi korban. Ini
semua kerana ada pihak yang mengambil kesempatan untuk memakan harta
secara tidak sepatutnya. Inilah yang Nabi Shu‘aib tegaskan dalam
seruannya.
Firman Allah: (maksudnya)
- “dan kepada penduduk Madyan Kami
utuskan saudara mereka Syu’aib, dia berkata: "Wahai kaumku! Sembahlah
Allah! Tiada tuhan bagi kamu selain dariNYA, dan janganlah kamu
mengurangi sukatan dan timbangan. Sesungguhnya aku melihat kamu berada
dalam kemewahan; dan sesungguhnya aku bimbang, kamu akan ditimpa azab
hari yang meliputi.” (Surah Hud ayat 84).
Menipu timbangan
ataupun sukatan bukan bererti tidak langsung menimbang ataupun menyukat,
tetapi sukatan dan timbangan secara tipu. Inilah punca kemusnahan
kehidupan penduduk Madyan kerana ada pihak yang menipu dalam berurusan
dengan pihak yang lain. Justeru, negara yang baik hendak mempratikkan
‘good monetary policy’ yang dapat menyelamat harta awam dari ditipu
ataupun dirompak secara ‘lulus di atas kertas’. Kebanyakan penipu silam
dan moden memperlihatkan seakan mereka jujur pada mata yang tertipu,
tetapi hakikatnya mereka penipu. Hal ini akan menyebabkan negara yang
zahirnya kaya, tetapi rakyatnya susah sebab timbangan dan sukatan mereka
sudah ditipu. Nampak banyak, hasilnya sedikit.
Mengurangi Hak
Ingatan Nabi Shu’aib yang lain ialah: (maksudnya)
- “Jangan kamu kurangkan manusia apa yang menjadi hak-haknya (Surah Hud: 85).
Dalam
konteks negara, jika kita membicarakan tentang hak, maka hak rakyat
menikmati kekayaan bagi setiap negara tidak sama. Ia bergantung kepada
latar kekayaan negara tersebut. Jangan samakan Malaysia dengan negara
yang lebih miskin dari kita ataupun sebaliknya.
Sebab itu
al-Quran apabila menyebut tentang mut’ah yang suami patut berikan kepada
isteri yang diceraikan, Allah memerintahkan agar kadarnya ditentukan
oleh kemampuan masing-masing. Allah menyebut:
- “..hendaklah kamu memberi
"mut'ah" (pemberian saguhati) kepada mereka (yang diceraikan itu), iaitu
suami yang senang (hendaklah memberi) menurut ukuran kemampuannya; dan
suami yang susah pula menurut ukuran kemampuannya, sebagai pemberian
saguhati menurut yang patut, lagi menjadi satu kewajipan atas
orang-orang (yang mahu) berbuat kebaikan”. (Surah al-Baqarah, ayat 236).
Suami
yang kaya tidak boleh memberikan saguhati ataupun mut’ah itu seperti
kadar yang diberikan oleh suami yang miskin. Dia tidak boleh bandingkan
hak isterinya dengan isteri orang tidak sekaya dirinya. Demikian hak-hak
rakyat dalam setiap negara itu berbeza berdasarkan kekuatan kekayaan
negara berkenaan. Tidak boleh mana-mana kerajaan yang kaya menyamakan
hak rakyat di negaranya dengan rakyat di negara yang lebih miskin
daripadanya. Lebih buruk lagi jika sebahagian ‘bangsawan’ dan ‘atasan’
menikmati kekayaan sesebuah negara secara berlebihan sementara
sebahagian rakyat hanya menjilat lebihan kuah yang tumpah ke lantai
sahaja.
Keberkatan
Intipati yang penting
dalam penghayatan amalan ekonomi yang jujur ialah mencari keberkatan
yang diperolehi melalui harta yang terhasil dari sumber yang halal.
Shu’aib a.s: (maksudnya)
- “Baki (yang halal) Allah kepada kamu lebih baik
bagi kamu jika betul kamu orang-orang yang beriman, dan aku bukanlah
orang yang mengawasi kamu". (Surah Hud, ayat 86).
Inilah asas
jiwa insan yang jujur dalam pengurusan ekonomi. Jiwa yang memadai dengan
yang halal dengan tidak mengambil harta orang lain atau pun
mengurangkan hak mereka. Memadai dengan apa yang tinggal dari pengurusan
yang halal itu lebih baik dan diberkati Tuhan. Dilimpahkan kedamaian
dan kebaikan dari pelbagai sudut dalam kehidupan. Kebahagiaan bukan
hanya diukur dengan jumlah harta tetapi kurniaan keberkataan limpahan
Tuhan kepada kehidupan ini.
Keberkatan adalah elemen yang ditekankan
dalam pengurusan ekonomi Islam yang tiada dalam sistem ekonomi yang
lain. Keberkatan itu seperti kata Al-Asfahani (meninggal 425H) bermaksud
kelangsungan kebaikan ilahi kepada sesuatu. (Al-Asfahani, Mufradat
Alfaz al-Quran m.s 119, Damsyik: Dar al-Qalam)
Lihatlah bila keberkatan hilang maka orang yang kaya-raya pun hidup
tanpa bahagia. Pencuri-pencuri harta awam hendaklah faham hakikat ini.
Pengurus harta awam juga hendaklah faham. Justeru itu kita kena sedar
bahawa jumlah jenayah dan keadaan tekanan hidup yang sedang meningkat
dalam negara kita adalah antara tanda hilangnya keberkatan kehidupan.
Good Governance
Good
governance atau urus tadbir baik adalah istilah yang digunapakai pada
hari ini bagi menggambarkan bagaimana institusi awam yang mengendalikan
urusan dan harta awam ditadbir. Ia menggambarkan urustadbir yang
bertanggungjawab lagi baik. Beberapa anasir diletakkan oleh pelbagai
pihak seperti UN, IMF, World Bank dan lain-lain dalam menetapkan
characteristics sesuatu urus tadbir yang baik. Sesiapa yang mengkaji
tentang international development boleh mendetilkannya.
Apapun,
nasihat-nasihat Nabi Syu’aib adalah kunci kepada urustadbir harta yang
baik. Para pemerintah hendaklah insafi diri masing-masing ketika
menguruskan harta negara. Sekali lagi saya ulangi apa yang Syeikh
al-Islam Ibn Taimiyyah r.h (meninggal 728H) dalam kitabnya
As-Siyasah
asy-Syar’iyyah fi Islah ar-Ra’i wa ar-Ra’iyyah sebut:
- “Tidak boleh para
pemerintah membahagikan harta negara mengikut nafsu mereka seperti mana
seorang pemilik harta membahagikan harta miliknya. Sebaliknya, para
pemerintah hanyalah pemegang amanah, wakil dan utusan. Mereka bukan
pemilik harta.
Ini seperti yang Nabi s.a.w sabda:
- “Aku –demi Allah-
tidak boleh memberi (harta awam) ataupun menghalang seseorang. Aku hanya
pembahagi yang meletakkannya di mana sahaja aku diperintahkan”. Ini
diriwayatkan oleh al-Bukhari daripada Abu Hurairah r.a.”
- “Inilah
rasul Tuhan semesta alam yang memberitahu bahawa dia tidak mempunyai hak
menghalang dan memberi dengan kehendak dan pilihannya seperti mana
seorang pemilik harta yang boleh berbelanja dengan hartanya, dan seperti
raja-raja yang memberikan kepada sesiapa yang mereka suka. Sebaliknya
dia (Rasulullah s.a.w) hanya seorang hamba Allah, membahagikannya
mengikut arahan Allah. Dia meletakannya di mana yang Allah perintahkan”.
Sambung
Ibn Taimiyah lagi:
- “Demikian apabila seseorang berkata kepada
(Khalifah) ‘Umar bin al-Khattab: “Wahai Amir al-Mukminin! Andainya
engkau tambah peruntukanmu dari harta Allah ta’ala (harta negara). Jawab
‘Umar: “Tahukah engkau apakah bandingan antara aku dan rakyat? Ia
umpamanya satu kaum yang berada dalam satu perjalanan, lalu mereka
menghimpunkan harta mereka kemudian mereka menyerahkannya kepada
seseorang untuk membelanjakannya untuk mereka. Apakah halal untuk lelaki
itu mengutamakan dirinya dengan menggunakan harta mereka?.” [m/s 51-52.
Kuwait: Dar al-Arqam (1406H)]