KL: Ramai telah memberi komen dan teguran
terhadap pendirian saya dan beberapa pimpinan PAS dalam persoalaan fatwa
yang mengharamkan Sisters in Islam (SIS) dan menuduh mereka pelopor
fahaman Liberalisme dan Pluralisme. Sebahagian menyokong dan sebahagian
lain menolak. Dari golongan yang menolak tindakan saya, ramai yang tidak
faham mengapa saya dan beberapa rakan bersuara berhubung isu ini. Saya
jelaskan sebabnya di sini.
KENAPA TIDAK BERDIAM SAHAJA?
Saya
merupakan salah seorang pemimpin pada sebuah parti Islam yang ingin
mentadbir Negara ini berdasarkan ajaran Islam. Bagi mencapai cita-cita
ini, saya dan parti saya perlu meyakinkan masyarakat, Islam dan bukan
Islam, bahawa pentadbiran Islam adalah adil dan tiada penindasan mahupun
kezaliman dibenarkan berlaku terhadap individu atau kumpulan. Oleh itu
setiap yang dilakukan di atas nama Islam perlu diambil perhatian demi
menjamin keyakinan terhadap keadilan Islam tidak terjejas. Dan di sini
terdapat masalahannya.
Bagaimana kami boleh yakinkan masyarakat
akan keadilan pentadbiran Islam sekiranya seseorang boleh dijatuhkan
hukuman tanpa diberi peluang membela diri? Sedangkan hak membela diri
adalah salah satu prinsip utama demi menjamin keadilan.
Cuba
gambarkan sebuah mahkamah yang menjatuhkan hukuman ‘bersalah’ terhadap
seseorang tanpa dikemukakan sebarang bukti atau penjelasan dari mahkamah
tersebut. Tidak juga dipanggil yang tertuduh membela diri. Namun,
tiba-tiba tertuduh bangun satu pagi dan membaca dalam akhbar bahawa
dirinya didapati bersalah! Apa anda akan katakan terhadap mahkamah
tersebut?
Walaupun saya memahami, ini bukanlah mahkamah, namun
prinsip yang digunakan oleh mahkamah adalah juga releven kerana di sini,
hukuman dijatuhkan terhadap sebuah kumpulan tanpa sebarang bukti atau
penjelasan.
Hujjah dan bukti mesti dikemukakan bersama semasa
menjatuhkan hukuman. Ini adalah satu-satunya cara untuk menyakinkan
masyarakat bahawa keadilan telah terlaksana. Prinsip “keadilan bukan
sekadar mesti terlaksana tetapi juga dilihat terlaksana” adalah prinsip
yang amat selari dengan tuntutan Islam. Oleh itu ketelusan mesti
diamalkan apabila ingin mentsabitkan kesalahan terhadap seseorang.
MENSABITKAN KESALAHAN
Semua
tahu membunuh itu salah. Tetapi untuk mensabitkan kesalahan membunuh
terhadap seseorang mesti ada buktinya. Mahkamah mesti jelaskan secara
terperinci tertuduh disabitkan atas bukti yang tertentu. Bukan sekadar
“didapati bersalah”, nokhta.
Begitu juga berhubung tersesatnya
fahaman Liberalisme dan Pluralisme. Semua yang membaca berhubung fahaman
ini maklum bahawa mereka adalah fahaman yang terkeluar dari Islam,
tetapi untuk mensabitkan seseorang atau sesuatu kumpulan atas kesalahan
berpegang kepada fahaman Liberalisme atau Pluralisme perlu dikemukakan
bukti. Bukan sekadar “berpegang kepada fahaman Liberalisme dan
Pluralisme”, nokhta.
Bukti ini termasuklah petikan dari tulisan
atau ucapan mereka serta kalau lebih baik, penjelasan dari pertemuan dan
perbincangan dengan mereka. Ini adalah kerana kadang-kadang yang
ditulis oleh penulis tidak bermaksud sepertimana yang difahami oleh
pembaca. Atau yang dicakap oleh penceramah tidak bermaksud sepertimana
yang difahami oleh pendengar. Itulah sebabnya perlu berjumpa dan
diadakan muzakarah dan temu bual. Bukan dihukum dari jauh, nokhta.
LIBERALISME DAN PLURALISME
Saya
ada minta supaya takrif yang jelas berhubung Liberalisme dan Pluralisme
yang terkeluar dari Islam dinyatakan oleh pihak Majlis Fatwa. Ini
adalah kerana bukan setiap yang menggunakan perkataan ‘Liberal’ adalah
membawa erti ‘Liberalisme’ dan bukan setiap yang menggunakan perkataan
‘plural’ adalah ‘Pluralisme’. Sebagai contoh, apabila seseorang
menyatakan “polisi ekonomi Negara seharusnya mengambil kira masyarakat
Malaysia yang bersifet plural”, maka tidak bererti dia menganjurkan
pendekatan ‘Pluralisme’. Atau apabila dikatakan “kita seharusnya
melaksanakan dasar import yang lebih liberal terhadap barangan
elektronik” tidak juga dimaksudkan seseorang mendokong ‘Liberalisme’.
Takrif
ini penting untuk mengelak kekeliruan dan berlakunya tuduh menuduh
sehingga ke tahap kafir-mengkafir yang semua ingin elakkan. Untuk
memudahkan, saya cadangkan di sini takrif yang termudah sebegini.
LIBERALISME
Liberalisme
adalah satu fahaman/kepercayaan/falsafah yang menganggap manusia,
berbekalkan akal, perasaan hati kecil (conscience) dan pengalaman, mampu
mencapai kehidupan yang adil dan bermakna di atas dunia ini. Oleh itu
manusia perlu diberikan kebebasan dan tidak terikat dengan sebarang
halangan yang diada-adakan, kecuali untuk mengelak kecederaan kepada
yang lain, di dalam sebarang urusan mereka untuk mencapai kebahagian dan
kejayaan di dunia ini. Agama adalah hanya berhubung persoalan alam
ghaib seperti syurga dan neraka dan bukan untuk urusan dunia. John Locke
dianggap bapa fahaman Liberalisme dan ianya dipaksikan kepada tanggapan
manusia sebagai makhluk bersifat ‘prudent’.
PLURALISME
Pluralisme adalah satu
fahaman/kepercayaan/falsafah yang menganggap semua agama adalah sama dan
walau apa agama sekalipun yang dianuti, ianya mengajar untuk menyembah
Tuhan yang sama. Tiada agama yang benar kerana semua agama adalah benar.
Tuhan akan menerima ibadah yang dilakukan selagimana ianya ikhlas dan
jujur dalam urusan terhadapNya dan terhadap manusia sekeliling walau apa
pun agama yang dianuti.
Maka, jelas kedua-dua fahaman adalah terkeluar dari Islam mengikut takrif sepertimana yang saya berikan di atas.
SIS, LIBERALISME DAN PLURALISME
Dari
apa yang telah saya jelaskan di atas, kedua-duanya ‘isme’ merupakan
sistem kepercayaan atau falsafah. Persoalannya ialah adakah benar SIS
berpegang kepada kepercayaan dan falsafah ini? Sekiranya benar, maka
dikemukakan buktinya.
Ianya isu kepercayaan dan bukan amalan atau
tindakan. Tidak memakai tudung dan menutup aurat adalah berdosa, tetapi
ianya tidak semestinya sabit bahawa yang tidak menutup aurat adalah
berpegang kepada fahaman Liberalisme dan oleh itu terkeluar dari Islam.
Mungkin ianya atas kejahilan sehingga beranggapan ianya sesuatu yang
tidak wajib atau tidak penting. Maka adalah menjadi tugas SEMUA,
terutamanya pihak yang berkuasa untuk mendidik dan mengusahakan
kesedaran bukan mengkafirkan orang atas apa jua alasan.
PERANAN SISTERS IN ISLAM
Setahu
saya, Sisters in Islam membuat usaha pembelaan terhadap wanita Islam
yang dilihat dinafikan hak mereka. Ini termasuk yang diceraikan tetapi
tidak menerima nafkah untuk anak-anak yang dibawah tanggungan dari bekas
suami. Atau wanita yang didera suami tetapi tidak diberi pembelaan dan
ditolak permohonan cerai. Setahu saya mereka tidak terlibat dalam
penyebaran fahaman atau falsafah dalam kerja mereka. Biasanya perbalahan
mereka dengan pihak berkuasa adalah lebih dalam persoalan perlaksanaan,
bukan kepercayaan.
Dalam menjalankan usaha kebajikan mereka,
termasuk khidmat undang-undang, mereka terpaksa berhujjah untuk
memenangkan anak guam mereka. Hujjah mereka sering berlandaskan ayat
Al-Quran dan Hadith Rasulullah (SAW) tetapi dengan tafsiran yang diambil
dari sumber-sumber yang tidak semesti kesemuanya muktabar. Saya sendiri
sering berhujjah dengan mereka atas tafsiran mereka yang dilihat
berbeza dari kebiasaan. Sebahagian hujjah saya mereka terima dan ada
juga yang mereka tolak. Dalam soal ini sudah ada perubahan dalam sikap
mereka berbanding dengan awal tahun 2000.
Hakikat bahawa mereka
tetap bersandarkan hujjah mereka kepada ayat Al-Quran dan Hadith bererti
mereka tidak mudah disabitkan dengan tuduhan Liberalisme mahu pun
Pluralisme. Hanya mereka tersilap oleh kerana tidak merujuk kepada
rujukan yang lebih muktabar. Mungkin mereka terpengaruh dengan tulisan
‘Islam Liberal’ atau sebagainya. Sekiranya begitu maka cabarannya adalah
untuk memperbetulkan kefahaman mereka sambil membantu mereka dalam
usaha membantu wanita Islam yang teraniaya.
KESIMPULAN
Oleh
itu saya cadangkan supaya fatwa terhadap SIS dikaji kembali dengan lebih
teliti mengikut lunas keadilan. Panggil mereka, bincang dan berikan
penerangan serta teguran di mana silap mereka. Kalau sekiranya hasil
dari pertemuan dan perbincangan itu memang sah mereka berpegang kepada
fahaman yang terkeluar dari Islam maka hukum mereka berdasarkan bukti
dan hujjah dan nyatakan kepada umum bukti dan hujjahnya. Ini adalah
seperti yang telah dilakukan dalam fatwa berhubung Al-Arqam.
Saya
tidak bertujuan mencabar mana-mana pihak atau menyanggah fatwa
tersebut. Apa yang saya nyatakan adalah sekadar cadangan untuk pembaikan
dan bukan untuk menghasilkan kerosakan.
WaLlahu 'Alam
KHALID SAMAD