Friday, January 09, 2015

Budaya Barat Menjajah Lagi. Perlunya Revolusi..


"KEJATUHAN rejim Taliban di Afghanistan pada tahun 2001 merupakan titik permulaan kehidupan baharu kepada rakyat negara itu. Jika dahulu mereka agak konservatif, kini segala-galanya berubah.

"Rata-rata lebih terbuka dari sudut gaya, corak hidup, budaya dan pergaulan hingga tiada lagi nilai-nilai Islam yang menjadi amalan mereka selama ini. Campur tangan tentera Amerika Syarikat (AS) di Afghanistan berjaya melumpuhkan pejuang Taliban yang memerintah negara itu dari tahun 1996 hingga 2001."

Demikian tulis Kosmo!Online di bawah tajuk 'Budaya Barat jajah Afghanistan' hari ini.

Budaya Barat apa yang menjajah itu?

Menurut Kosmo! lagi..

1. Potong jambang

“Sejurus tentera AS menceroboh Afghanistan pada tahun 2001, ramai dalam kalangan lelaki yang mempunyai jambang dipaksa beratur di sini. Tentera menganggap lelaki yang menyimpan jambang mempunyai kaitan atau penyokong Taliban. Di situ bermulanya jati diri kami hilang.
“Selama tiga minggu saya terpaksa mencukur janggut mereka sehingga licin. Pada ketika itu kedai masih beroperasi walaupun selepas pukul 11 malam,” kata pemilik kedai gunting rambut di bandar Kabul yang dikenali sebagai Farhad.

Di salunnya terpampang deretan poster artis terkenal Hollywood dan Eropah antaranya Brad Pitt dan Elijah Wood. Farhad berkata, dia kini terpaksa memantau gaya artis Hollywood kerana golongan lelaki belia di negara itu mahukan potongan rambut sama seperti artis pujaan masing-masing.

“Sewaktu Taliban memerintah dahulu, tugas penggaya rambut mudah. Ia umpama membuang dahan dan daun rosak pada bahagian pokok. Gaya rambut tidak penting asalkan selesa,” katanya sambil melayan pelanggan di salunnya.

Afghanistan merupakan negara bergunung-ganang dan mempunyai cuaca ekstrem musim sejuk bersalji dan musim panas kering.

Menyusuri bandar Kabul tiada lagi kelihatan golongan lelaki muda yang menggayakan shalwar kameez iaitu pakaian yang sering digayakan dalam kehidupan seharian dan keramaian. Golongan wanita pula semakin berani mengenakan aksesori dan menata rias wajah berbanding memakai burqa yang hanya menampakkan sepasang mata mereka. Ketika Taliban berkuasa, golongan lelaki tanpa jambang akan ditahan dan didenda. Sebaliknya kini, sukar untuk menemui golongan lelaki yang berjambang dengan wajah maskulin.

“Anak muda di bandar seperti Kabul dan Herat gemar menggayakan seluar mengikut potongan kaki, jaket bersulam dan potongan rambut yang lebih moden serta bergaya. Gel rambut menjadi keutamaan mereka.
“Jenama Levi’s sangat popular dalam kalangan belia di sini,” kata seorang lelaki yang juga pemilik butik jenama mewah Tommy Hilfiger dan Ralph Lauren.

Terdapat hanya dua buah kedai aiskrim dan yogurt di Kabul. Wajah Kim Kardashian menghiasi premis itu setelah Kim dilantik sebagai duta aiskrim Kabul. Tanpa selendang menutupi rambutnya, baju nipis menampakkan susuk tubuh, masyarakat Muslim di situ semakin terbuka dengan eksploitasi kecantikan wanita.

2. Media sosial

Keterbukaan ini didorong oleh akses internet dan kewujudan laman sosial seperti Facebook dan Twitter. Bandar utama seperti Herat, Kandahar, Mazar-i-Sharif, Jalalabad, and Khost merupakan bandar yang menerima rangkaian teknologi komunikasi generasi ketiga (3G).

Sehingga kini terdapat empat syarikat telekomunikasi yang menyediakan perkhidmatan 3G, sekali gus menyediakan pelbagai pakej pada harga yang rendah. Twitter dan Facebook semakin mendapat perhatian selepas golongan pemimpin, parti politik dan pihak berkuasa Afghanistan menggunakan laman sosial itu sebagai penyampaian dan perkongsian informasi.

“Para pelajar saya tidak pernah memeriksa e-mel mereka sebaliknya hanya berkomunikasi melalui Facebook,” kata Faisal Karimi, pensyarah media dalam talian dan kewartawanan di Universiti Herat.
“Saya menghantar tugasan dan pemarkahan para penuntut di laman web rasmi kelas kemudian menghubungkan alamat itu ke Facebook. Ia lebih mudah dan pantas,” katanya.

Ironinya, golongan wanita di negara itu tidak berminat dengan Facebook. Bagaimanapun mahasiswa seperti Gazele Zaheer memerlukan laman sosial itu kerana seluruh keluarganya mempunyai akaun tersebut.

“Golongan wanita jarang menggunakan Facebook kerana ada perkara yang tidak boleh kami kemas kini di Facebook tetapi saya memerlukannya untuk memudahkan saya berhubung dengan keluarga yang menetap jauh,” kata penuntut kejuruteraan perisian Universiti Heart itu.

Revolusi Afghanistan Semakin Pantas.

Namun begitu, Akaun Twitter Taliban kerap mengeluarkan kenyataan dan tuntutan serangan di seluruh negara. Melalui Twitter mereka bebas bersuara tanpa sebarang sekatan. Stesen televisyen di Afghanistan dilarang menyiarkan sebarang berita mengenai Taliban.

“Selepas sedekad, baru kini kami mempunyai pilihan untuk menyuarakan apa sahaja yang diinginkan. Oleh sebab itu revolusi di Afghanistan semakin pantas,” kata Hamdrad.

Ketua Masjid Kabul Barat, Mullah Abdul Latif antara individu yang kuat menentang penularan budaya Barat.

“Pengaruh Barat tiada ruang di negara Islam ini,” tegasnya yang melahirkan kerisauan terhadap kecenderungan pemuda Afghanistan mencacah tatu anggota tubuh mereka.

3. Mencacah tatu
AKTIVITI mencacah tatu semakin berleluasa di Afghanistan sejak tahun 2001.

“Mencacah tatu dilarang dalam Islam. Ramai yang memandang ringan hukum ini,” tegasnya.

Reza Yousifi, 19, mengelap percikan peluh yang mengalir di dahinya. Bertugas di ruang yang sempit dan tersorok dalam sebuah salun milik rakan baiknya, Reza merupakan seorang pencacah tatu. Reza hanya membawa peralatan mencacah sekiranya terdapat permintaan daripada pelanggan.

“Mencacah tatu perbuatan yang haram dalam Islam,” jelasnya yang menyedari hukum larangan perbuatan itu dalam Islam.
“Golongan yang mempunyai tatu di bahagian lengan mereka perlu menyembunyikan tatu tersebut. Bukan sahaja agama melarangnya, malah pihak berkuasa juga menangkap individu yang mempunyai tatu,” ujarnya.

Namun, sejak tahun 2001 semakin ramai anak muda Afghanistan mendapatkan tatu sebagai refleksi kehidupan mereka sepanjang di bawah pemerintahan Taliban dan pencerobohan tentera AS. Tuturnya lagi, majoriti pelanggannya terdiri daripada lelaki yang percaya mencacah tatu adalah kaedah mereka menyuarakan keinginan, impian dan mahu bebas daripada tekanan hidup. Kebanyakan rekaan membabitkan emosi, kesedihan hidup dan potret insan yang disayangi.

“Kami menasihatkan pelanggan bahawa tatu ini kekal. Mereka perlu nekad kerana tatu ini tidak boleh hilang hingga mereka mati,” terangnya.

Di sebuah gimnasium di bawah tanah, Basir membiarkan tatu pada bahagian lengannya terdedah. Dengan penuh bangga dia mengangkat besi sambil matanya memerhatikan tatu rekaan burung yang sedang terbang.

“Ia lambang kepada kebebasan,” jelas Basir ringkas lantas menyambung rutinnya.

Gimnasium menjadi satu-satunya lokasi golongan yang mempunyai tatu berkongsi cerita di sebalik setiap tatu yang mereka miliki. Mereka tidak perlu berasa takut untuk mendedahkan tatu yang terletak di anggota dan badan apatah lagi khuatir dengan kehadiran pihak berkuasa.

“Saya sering memakai baju lengan panjang di khalayak. Pemberontak sanggup memotong jari penyokong kerajaan, saya khuatir lengan saya dipotong gara-gara mengikut budaya Barat,” jelasnya.

Rumusan.

Negara Afghan kini diserang-jajah oleh budaya Barat. Antaranya, melalui 3 perkara di atas. Hal seperti inilah yang dilakukan oleh penjajah barat di Tanah Melayu dulu. Hanya Islam yang mampu menjadi bentengnya. Di situ perlunya sebuah revolusi di Afgfanistan, bukan lagi evolusi.

Kalau di Malaysia, bagaimana?  (IH)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails