KL: Apakah pengajaran kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di sebalik perbualan ramai mengenai misteri jet kerajaan yang didapati mengelilingi dunia sejak dua minggu lalu tetapi tidak diketahui siapa menggunakannya?
Demikian pertanyaan yang dilontarkan penulis Shahbudin Husin dalam blognya.
Bagi beliau, jawapannya hanya satu iaitu sebagai Perdana Menteri, beliau harus bersikap telus, sesuai dengan dunia langit terbuka yang ada sekarang.
"Sebagai Perdana Menteri, jadilah betul-betul macam Perdana Menteri, bukan lari-lari, sembunyi-sembunyi dan macam pencuri," tulisnya.
Tulisan penuh beliau seperti di bawah.
Apakah pengajaran kepada Perdana Menteri, Najib Razak di sebalik perbualan ramai mengenai misteri jet kerajaan yang didapati mengelilingi dunia sejak dua minggu lalu tetapi tidak diketahui siapa menggunakannya?
Jawapannya hanya satu iaitu sebagai Perdana Menteri, beliau harus bersikap telus, sesuai dengan dunia langit terbuka yang ada sekarang.
Jika ketika bercuti ke Hawaii sebelum sambutan Krismas dulu, Najib tidak merahsiakan pemergiannya dan memberitahu salah satu acaranya ialah bermain golf dengan Barack Obama, sudah tentu tiada siapa kisah apabila gambarnya dengan Presiden Amerika itu tersebar luas.
Jika setelah banjir semakin menggila dan beliau kemudian membuat keputusan kembali ke dalam negara, beliau pulang dengan pesawat yang sama yang membawanya bercuti ke Hawaii, sudah tentu juga tiada siapa mahu sibuk-sibuk menjejaki di mana pesawat rasmi itu berada.
Tetapi tentulah agak menghairankan apabila pesawat itu ditinggalkan di Amerika sedangkan Najib sebagai "tuan yang berhak" menggunakannya sudah berada di dalam negara.
Itulah yang akhirnya mendedahkan bahawa Najib menaiki pesawat komersial daripada Amerika ke Hong Kong sebelum dijemput oleh jet TUDM ke Kota Bharu. Hanya setelah timbul banyak persoalan kenapa jet itu ditinggalkan di Amerika, barulah kemudian ada penjelasan bahawa ia mengalami masalah teknikal.
Tetapi apabila dikesan melalui FlightRadar24, pesawat itu bergerak di antara Hawaii - Indianapolis - Los Angelas dan New York, bukan saja penjelasan mengenai masalah teknikal sudah tidak bermakna, bahkan menyebabkan keghairahan orangramai untuk mengetahui siapa penggunanya jadi semakin membara.
Jika setelah beberapa hari menghabiskan masa dengan mangsa banjir di seluruh negara, Najib juga memberitahu semua media bahawa beliau akan pergi ke Thailand bertemu dengan rakan sejawatnya di sana, sudah tentu juga tiada siapa mengaitkannya dengan "kebetulan" pesawat 9M-NAA itu turut berlabuh di Bangkok pada waktu yang sama.
Tetapi sekali lagi, sebagaimana bercuti ke Hawaii dilakukan secara sembunyi-sembunyi, pemergian Najib ke Thailand juga seperti seorang yang ada kekasih hati tapi takut bini.
Dan jika Najib memberitahu bahawa selepas bertemu dengan Perdana Menteri Thailand, beliau juga bertemu kembali dengan keluarganya yang ditiinggalkannya di Hawaii sebelum ini, tiadalah juga sesiapa yang berminat mahu bercakap tentang pemergiannya itu dan mengambil gambar isterinya sedang membeli-belah di kota Bangkok.
Malangnya, bukan saja pertemuan dengan Perdana Menteri Thailand dirahsiakan, malah bagaimana isterinya boleh sampai ke Bangkok juga tidak diberitahu secara rasmi. Nasib baiklah ada FlightRadar 24 yang memberitahu bahawa jet kerajaan itu menjelajah beberapa kota besar dunia dan berada di Bangkok ketika Najib juga berada di sana.
Malam tadi, jet 9M-NAA itu akhirnya kembali ke dalam negara secara rasmi. Sekali lagi, Najib juga pulang secara sembunyi-sembunyi.
Jika sebelum ini, setiap kali Najib berlepas dan kembali ke dalam negara, ramai yang menyambut, meraikan dan mencium tangannya, semua itu tidak berlaku lagi kali ini.
Sebagaimana beliau pergi ke Hawaii dan Thailand macam pencuri, kembalinya juga macam pencuri. Semuanya dilakukan secara sembunyi dan ingin dirahsiakan.
Dalam dunia langit terbuka yang Najib sendiri antara pengagumnya dengan begitu aktif menyebar-luaskan aktiviti, menghebahkan maklumat dan memuat-naik gambar-gambarnya melalui laman sosial miliknya, adalah begitu ganjil beliau bersikap sebaliknya kali ini.
Di ketika beliau juga kerap menyatakan bahawa internet dan media sosial adalah medium penyebaran maklumat yang penting sekarang, adalah ganjil juga apabila Najib merasakan seolah-olah Utusan, Berita Harian dan TV masih berkuasa.
Dalam dunia langit terbuka dan hanpir semua orang sudah memiliki gajet pintar dalam genggaman, sesiapa saja adalah wartawan dan pemberita sebenarnya. Penyebaran berita tidak lagi menunggu media rasmi menghebahkannya.
Sesuai dengan itu, Najib juga seharusnya bersikap telus dan terbuka. Sebagai Perdana Menteri yang menjadi hak kepada mana-mana rakyat memperkatakan tentang setiap jalur kehidupannya, Najib tidak seharusnya cuba bersembunyi-sembunyi lagi kerana banyak kamera tidak rasmi sedang berada di sekelilingnya sepanjang masa.
Lagi beliau cuba berahsia, lagilah pemberita tidak bergaji ini makin aktif mengejarnya.
Sebagai Perdana Menteri, jadilah betul-betul macam Perdana Menteri, bukan lari-lari, sembunyi-sembunyi dan macam pencuri. (IH)
No comments:
Post a Comment