Friday, January 23, 2015

Jom Kreatif, Mobile Book Cafe Sedang Cari Rakan Niaga.


Mobile Book Cafe merupakan kedai buku bergerak pertama di Malaysia. - Foto Ihsan mobilebookcafe.com.
IBARAT mini perpustakaan bergerak, itulah yang dapat disimpulkan mengenai mobilebookcafe, perniagaan yang diusahakan dua sahabat karib, Muhammad Ali  dan Muhammad Azam Nor Anwar yang baru beroperasi beberapa bulan lalu. 

Lapor mStar Online.

Van bergerak ini mampu memuatkan buku sebanyak 1,000 naskah di atas rak, sementara 1,500 naskah lagi stok yang disimpan di bahagian dalam van pada satu-satu masa.

Van ini mampu memuatkan 1,000 naskah buku di rak.

Pelbagai genre buku turut dijual oleh mobilebookcafe, antaranya buku ilmiah, novel, masakan, karya sastera, komik mahupun buku agama. Mengambil inspirasi daripada kedai buku bergerak milik Penguin Books di Amerika Syarikat, mobilebookcafe kini sudah beroperasi hampir tiga bulan yang lalu.

Menurut Muhammad, 55 pada asalnya beliau ingin membuka kedai buku, namun kerana kos menyewa bangunan yang terlalu tinggi menyebabkan dia terpaksa mengubah niat asalnya itu dan akhirnya mendapat idea untuk mewujudkan kedai buku bergerak seperti yang ada sekarang.

Pelajar USIM berminat dengan buku yang dijual mobilebookcafe.

Bercerita lanjut, Muhammad berkata tumpuan utama mereka ialah pelajar sekolah kerana mereka ini gemar membaca terutamanya bahan bacaan ringan.

"Harga yang ditawarkan sama sahaja tetapi untuk pelajar mereka tidak kisah sangat mengenai diskaun. Diskaun minimum yang diberikan ialah 10 peratus daripada harga asal buku. Dari segi jualan pula, sangat mengalakkan.
"Bagi jualan di sekolah secara purata kita boleh memperoleh, sekitar RM5,000 bagi satu lawatan. Paling tinggi jualan kita pernah mencecah RM18,000, ini kerana pihak sekolah menempah buku untuk bahan bacaan di pusat sumber sekolah," katanya kepada mStar Online ketika ditemui di Pesta Buku yang diadakan di Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) baru-baru ini.

Untuk menarik lebih ramai pengunjung, Muhammad berkata pihaknya sering mengajak penulis buku serta mengadakan bengkel penulisan mahupun mewarna ketika mengadakan lawatan di sekolah mahupun tempat awam.

Dua sahabat baik, Muhammad Ali , (kiri) dan Muhammad Azam Nor Anwar merupakan pemilik mobilebookcafe. Mereka bercadang mencari rakan niaga agar dapat  mengembangkan perniagaan mobilebookcafe.


Running Man merupakan komik yang paling laris jualannya.
Bagi pelajar universiti pula, Muhammad berkata, mereka lebih suka mencari buku ilmiah serta buku motivasi karya tokoh terkenal seperti Hamka dan kisah sirah Nabi. Selain mudah untuk bergerak ke mana-mana sahaja, beliau berkata kawasan pinggir bandar dan pedalaman juga sering memberikan jualan yang memberangsangkan kepada mereka.

"Lokasinya juga perlu sesuai, seperti di kawasan pasar tani, tempat letak kereta, karnival mahupun berhampiran perpustakaan," katanya. 

Bukan sekadar menjadi penjual buku, malah Muhammad juga merupakan seorang penulis yang telah menghasilkan beberapa buku, antaranya 50 Jawatan Dalam Kerajaan, Kerjaya Dalam Bidang ICT dan Buat Duit Dengan Foto.

"Selepas itu saya menghasilkan dua lagi buku genre pengembaraan, iaitu Travelog Jepun dan Travelog UK. Buku ini saya terbitkan sendiri dan menjualnya secara atas talian," katanya.  

Sedang Mencari Rakan Niaga

Bercerita mengenai perancangan jangka panjang, Muhammad berkata, beliau bercadang mencari rakan niaga di seluruh negara.

"Kami sedang mencari rakan niaga di setiap negeri, dan berharap ia akan dapat dilaksanakan tahun hadapan. Modal awal yang diperlukan ialah sekitar RM50,000 bagi membuat pengubahsuaian terhadap van dan membeli stok buku.
"Setakat ini sudah ada peniaga yang berminat, dan masih mencari beberapa orang lagi untuk menjadi rakan niaga mobilebookcafe," katanya.

Selain menjual buku secara online, ayah kepada enam cahaya mata lelaki ini berkata, mobilebookcafe akan menjual buku menggunakan e-book untuk membolehkan buku mereka dijual di seluruh dunia. (IH)


Nor Fahrahin gemar dengan konsep mobilebookcafe, kerana ia memudahkan pelajar seperti mereka mendapatkan buku rujukan.
Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)

E-Buku IH-68: Kisah-kisah Jom Kreatif (3)

No comments:

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails