Monday, January 19, 2015

Kegagalan Di Kuching, Bukti Badminton Negara Tenat.

LIEW Daren masih belum mampu untuk menggantikan tempat Chong Wei bagi menggalas cabaran negara di pentas antarabangsa.

SUKAN
SUKAN badminton negara sudah ada petanda kemerosotan. Kegagalan barisan pemain negara melangkah ke final Grand Prix Emas Yonex-Sunrise Malaysia Masters 2015 yang berakhir di Kuching, Sarawak semalam sudah cukup untuk dijadikan bukti.

Ia membuktikan prestasi pemain negara sekarang agak tenat dan memerlukan sentuhan baharu untuk memulihkannya. Demikian jelas bekas jaguh perseorangan negara, Muhammad Hafiz Hashim yang mengaku kecewa selepas tiada seorang pun wakil negara layak ke pusingan akhir kejohanan berprestij itu.

Menurut Hafiz, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) selama ini telah mengabaikan usaha-usaha melahirkan lebih ramai pemain berkualiti tinggi kerana terlalu bergantung kepada Datuk Lee Chong Wei sahaja.

“Kali ini, ketiadaan Chong Wei telah menutup peluang Malaysia untuk menyerlah dalam kejohanan tersebut. Ini membuktikan pemain yang ada sekarang belum mampu menggantikan pemain No. 2 Dunia itu.
“Sepatutnya inilah masa terbaik mereka untuk membuka mata semua pihak bahawa kita tidak ketandusan pemain.
“Mereka seharusnya berfikir positif dan menggalas tanggungjawab tersebut sebaik mungkin.
“Kalau nak dikata tiada pengalaman, tidak mungkin kerana sebahagian besar pemain ini pernah beraksi dalam pelbagai kejohanan antarabangsa termasuk Piala Thomas.
“Keadaan ini sepatutnya mengundang panik kepada BAM memandangkan pemain pelapis sekarang terus tenggelam,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Menurutnya, pemain tidak perlu menjadikan alasan ketiadaan Chong Wei sebagai faktor kekalahan sebaliknya menggunakan kebijaksanaan untuk menghidupkan kembali maruah badminton Malaysia.
“Mentaliti perlu diubah kerana saya merasakan para pemain sekarang tiada ciri-ciri seorang juara. Justeru, pemain BAM seperti Chong Wei Feng mahupun Liew Darren perlu keluar daripada zon selesa untuk memajukan diri.
“Jika situasi ini berterusan, saya yakin pesaing kita sudah tidak ada perasaan gentar dengan pemain negara kerana kita sudah tidak memiliki sikap untuk bergelar juara,” ujar Hafiz.

Biarpun mengakui masih terlalu awal untuk menilai keseluruhan prestasi pemain negara, namun beliau tidak menolak kegagalan ini memberi sedikit bayangan yang agak suram kepada badminton negara.

Jelasnya, prestasi pada awal musim ini yang ditunjukkan para pemain negara begitu mengecewakan dan kem badminton Malaysia seperti ditimpa bencana berpanjangan memandangkan kemelut dalaman BAM sendiri pun belum selesai.

“Apa yang saya harapkan ialah pemain selepas ini tampil dengan watak untuk menjadi juara,” jelas Hafiz yang pernah muncul juara Seluruh England pada 2003 serta memenangi pingat emas Sukan Komanwel 2002 di Manchester. (IH)

2 comments:

Anonymous said...

Jaguh-jaguh itu kini bertebaran di sekolah-sekolah di seluruh pelosok negara.

Bukan hanya anak lelaki rosmah je satu-satu yang layak jadi jaguh badminton.

Anonymous said...

bubarkan BAM JEE... SERAHKAN KEBIJAKSANAAN KELORGE HJ.SIDEK (NUSA MAHSURI)

LinkWithin

Related Posts with Thumbnails