Monday, January 26, 2015

Polemik P'raya Tempatan & Hudud Jangan Ditunggangi -Dr Mujahid

PERTEMBUNGAN idea antara pimpinan PAS dan DAP mengenai pilihan raya tempatan dan hudud dianggap sebagai suatu 'proses kematangan dalam menilai tindak-tanduk ahli politik apabila sesuatu isu itu dibahaskan'.

Demikian menurut Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa Ahli Parlimen Malaysia, Pengerusi Gerakan Anti Perkauman (GAP), Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS, juga Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara (MKPN).

Polemik terkini menurut beliau, adalah tentang pilihan raya kerajaan tempatan adalah satu isyarat bagaimana rakyat sedang menilai hujah yang kita berikan, ini termasuklah hujah tentang perlaksanaan hudud di Kelantan serta isu lain yang telah menjadi perbualan rakyat sejak sekian lama seperti rasuah, kepincangan tata-kelola kewangan negara dan pembaziran.

Beliau memberikan 5 perkara..
  1. Polemik pilihan raya kerajaan tempatan muncul sebagai reaksi kepada isu hudud yang hendak dilaksanakan di Kelantan kerana kedua-dua isu tersebut adalah di dalam bidang kuasa kerajaan negeri di Kelantan dan Pulau Pinang. Ini sekaligus mengheret PAS dan DAP di arena balas membalas kenyataan.
  2. Isu hudud yang didakwa oleh DAP sebagai bukan dalam senarai agenda  persetujuan Pakatan Rakyat dibalas oleh rakan dari PAS dengan menyatakan pilihan raya kerajaan tempatan juga bukan agenda Pakatan. Ini membuatkan orang ramai tertanya apakah sebenarnya persetujuan bersama agenda Pakatan?
  3. Hujah kedua belah pihak lebih kepada kaedah satu peluru lawan satu peluru sehingga membawa kepada perbalahan antara rakan sekutu politik. Perbalahan ini menjejaskan fokus agenda besar manifesto Pakatan di mana rakyat telah memberikan mereka kepercayaan yang besar dalam pilihan raya umum yang lalu.
  4. Pihak Barisan Nasional secara strategi politiknya amat memerlukan perbalahan antara parti komponen Pakatan berterusan samada dalam isu hudud mahupun pilihan raya kerajaan tempatan mahupun isu-isu perkauman supaya masalah besar negara seperti keadaan ekonomi yang gawat, kelemahan BN menjadi kerajaan yang bertanggungjawab serta pengendalian tatakelola kewangan yang lemah dapat dialihkan tumpuan.
  5. Dalam polemik hudud vs pilihan raya kerajaan tempatan, isu perkauman sempit masih mendasari hujah dan sekaligus menafikan perbahasan yang sihat terhadap memperkukuhkan proses demokrasi di peringkat akar umbi, isu keperlembagaan dan ruang konsultasi rakyat serta dasar nasional yang bertujuan mengasaskan kesatuan dalam kepelbagaian.
Oleh itu, beliau mengingatkan supaya polemik tersebut tidak ditunggangi oleh golongan sempit yang melihat semuanya dari kacamata perkauman.  Ataupun melalui persepsi prejudis sehingga boleh menjejaskan perpaduan dan mengalihkan tumpuan kepada isu lebih besar yang melanda negara. Contohnya, seperti isu terjejasnya pendapatan negara akibat merudumnya harga minyak mentah dan susutnya nilai ringgit hari ini.

Pada saya, inilah jalan tengah yang dipersembahkan Dr Mujahid untuk menghentikan perang polemik antara parti-parti gabungan Pakatan, PAS-DAP.  Wallahu 'aklam.
Dari IBNU HASYIM Lihat sebelum ini..

No comments:

Post a Comment