Friday, February 13, 2015

Belasungkawa Nik Aziz - Perginya Legenda Politik Sejati

Semasa pengkebumian jenazah Nik Aziz di Pulau Melaka.



PADA malam Jumaat, penghulu segala hari bertarikh 12 Februari 2015 telah ditakdirkan seorang tokoh agamawan, ilmuan dan ahli politik yang disegani ramai dijemput menemui penciptaNya.

Allahyarham Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menghembuskan nafas terakhirnya kira-kira pukul 9.40 Khamis malam sebaik sahaja tiba di rumahnya di Pulau Melaka, Kota Baru, Kelantan selepas dibenarkan pulang daripada Hospital Universiti Sains Malaysia, Kubang Kerian.

Nik Abdul Aziz meninggal pada usia 84 tahun. Beliau dilahirkan pada 10 Januari 1931 di Kampung Pulau Melaka.
Pemergian Nik Abdul Aziz buat selama-lamanya sudah pasti meninggalkan kesan besar kepada negara.

Sejak 1967, beliau dipilih sebagai Ahli Parlimen (MP) Kelantan Hilir (kini Pangkalan Chepa) berikutan kematian Ahmad Abdullah pada 1969.

Beliau menyandang jawatan MP Pengkalan Chepa selama 19 tahun sebelum berpindah untuk bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Semut Api (kini Chempaka) pada 1986.

Dalam sejarah politiknya sebagai MP, Nik Abdul Aziz pernah menjadi wakil tunggal PAS di Parlimen iaitu antara 1983 hingga 1986.

Kepimpinan Ulama

Pada mulanya pelantikan Nik Abdul Aziz yang berpendidikan agama sebagai Menteri Besar Kelantan pada 1990 dianggap perkara biasa.

Ia berikutan beliau bukanlah pemimpin berlatarbelakangkan agama yang pertama diangkat mengetuai sebuah kerajaan negeri.

Untuk rekod, ketika PAS menguasai Kelantan pada 1959, Menteri Besarnya, Allahyarham Datuk Ishak Lotfi Omar ialah seorang yang mendapat didikan agama di Makkah.

Bagaimanapun Nik Abdul Aziz berjaya mewujudkan era 'kepimpinan ulama' yang luar biasa di Kelantan.


Nik Abdul Aziz melihat koleksi dinar emas miliknya untuk lelongan amal pada Muktamar PAS ke-59.

Imejnya yang lebih selesa berjubah dan gaya hidupnya yang sederhana mencerminkan keperibadian tokoh agama terkenal itu.

Malah selama 23 tahun mentadbir Kelantan, Nik Abdul Aziz memilih untuk tidak berpindah ke kediaman rasmi Menteri Besar di JKR 10, Kampung Sirih, Kota Baru, sebaliknya beliau lebih selesa untuk tinggal di rumah asalnya di belakang masjid Pulau Melaka.

Lebih menarik, walaupun menggalas tugas besar sebagai ketua sebuah kerajaan, Nik Abdul Aziz tidak pernah berhenti melakukan tugasnya sebagai pendakwah.

Bekas guru yang pernah mengajar di Ma'ahad Muhammadi di Kota Baru itu tidak pernah berhenti memberi kuliah dan menyampaikan ceramah agama.

Walaupun memikul tanggungjawab yang besar, Nik Abdul Aziz tetap memilih untuk menjadi pendakwa sepenuh masa.

Kontroversi

Ketika hayatnya, Allahyarham yang juga bekas Menteri Besar Kelantan paling lama berkhidmat iaitu sejak 1990 hingga 2013 tidak pernah lekang dengan pelbagai kontroversi.

Sama ada ucapan, kenyataan media, serta komen-komen Nik Abdul Aziz yang lebih senang dipanggil 'Tok Guru' sering ditunggu-tunggu oleh kawan dan lawannya dalam politik.

Menariknya, ahli politik berimej ulama itu ternyata mempunyai cara tersendiri untuk menguruskan kontroversi yang diciptanya sendiri.
Nik Abdul Aziz sentisa menjadi tumpuan pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai isu politik semasa.

Sekadar mengimbas kembali beberapa kenyataanya yang sering menghangatkan dunia politik negara, Nik Abdul Aziz pernah mengemukakan kiasan "Tak salah berkawan dengan syaitan" bagi menjustifikasikan kerjasama politik antara PAS dan DAP.

Bukan itu sahaja, Nik Abdul Aziz pernah mengeluarkan kenyataan bahawa 'Tuhan pun mencarut' serta mendakwa 'Umno menolak ajaran Islam'.

Bagaimanapun politikus hebat yang mengabdikan diri dalam dunia politik sejak 1967 itu amat 'berseni' mengilas hujah dan kritikan terhadapnya.

Walaupun ada kalanya kenyataan kontroversi yang diungkapnya meletakkan PAS dalam situasi yang merumitkan, Nik Abdul Aziz sangat tenang mematahkan hujah dan kritikan lawan politiknya.

Sikap dan kebijaksanaan beliau itu ternyata sentiasa dipandang tinggi oleh penyokongnya.

Tegas

Dalam kelembutannya berbicara, Nik Abdul Aziz merupakan pemimpin PAS paling 'pantang' mendengar idea kerajaan perpaduan antara parti itu dengan Umno.

Idea kerajaan perpaduan BN-PAS mula timbul selepas Pilihan Raya Umum ke-12 pada 2008 apabila menyaksikan Barisan Nasional (BN) hilang majoriti dua pertiga di Parlimen.

Ketegasan Nik Abdul Aziz itu kian memuncak apabila pada 19 Jun 2009, beliau mendesak supaya Timbalan Presiden PAS ketika itu, Nasharudin Mat Isa meletakkan jawatan.

Bagaimanapun desakan berkenaan ditarik balik tiga hari selepas itu apabila polemik kerajaan perpaduan berjaya dihentikan segara menerusi kenyataan media bersama pimpinan pakatan pembangkang di Parlimen menolak idea berkenaan.

Nik Abdul Aziz bersama Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalan Mursyidul PAS, Datuk Dr Haron Din.

Namun ia tidak terhenti di situ apabila pada 23 Oktober 2009, Mursyidul Am PAS itu mencadangkan PAS mengadakan muktamar khas bagi membincangkan isu 'dua tiga kerat pemimpin bermasalah' dalam PAS.

Kali ini 'sasarannya' ialah Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Desakan Nik Abdul Aziz itu dibuat ekoran kemarahannya terhadap beberapa lagi pemimpin parti, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali dan bekas Pesuruhjaya PAS Selangor, Datuk Dr Hassan Ali berhubung isu kerajaan perpaduan.

Pengganti

Pemergian Tok Guru sukar diganti. Idea, nasihat serta komen-komennya sudah pasti akan dirindui.

Buktinya walaupun sudah melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar Kelantan selepas Mei 2013, Nik Abdul Aziz tetap menjadi sasaran pihak media untuk mendapatkan pandangan mengenai situasi politik semasa.

PAS sendiri kini kehilangan seorang Mursyidul Am yang begitu banyak memainkan peranan dalam urusan pentadbiran dan hala tuju parti itu khususnya 'tahaluf siyasi' atau kerjasama politik parti itu dengan DAP dan PKR.

Ternyata Nik Abdul Aziz ibarat lagenda politik yang tiada galang ganti dan tentunya terlalu awal untuk meletakkan anak lelakinya, Nik Mohamad Abduh yang juga MP Pasir Mas sebagai pemimpin yang mampu menyamai kepimpinan ayahnya.

Di Kelantan sendiri, penggantinya Datuk Ahmad Yakob sebagai Menteri Besar masih belum teruji sepenuhnya.

Harus diingat, 'faktor Nik Aziz' sejak sekian lama berjaya mengekalkan penguasaan PAS di negeri itu, manakala nasib PAS di Kelantan di tangan Ahmad hanya akan diuji pada PRU-14 akan datang. Yang pasti, legasi yang dipahat pemimpin bernama Nik Abdul Aziz ini terlalu besar dan tidak keterlaluan jika dikatakan sukar ditandingi barisan kepimpinan sedia ada. (mStar Online)

Lihat sebelum ini..
E-Buku IH-100: Nik Aziz, Pemimpin Dunia Dari P/Melaka..
E-Buku IH-100: Nik Aziz, Pemimpin Dunia Dari P/Melaka..

No comments:

Post a Comment