Sunday, February 15, 2015

IS Tawan Bandar Al-Baghdadi, Siar Video 17 Tawanan Kurdis.

SEORANG pejuang Kurdis kelihatan ketakutan ketika berada dalam kurungan di Hawija, selatan Kirkuk, Iraq baru-baru ini.
KIRKUK, Iraq – Kumpulan militan Islamic State (IS) kelmarin me­nyiarkan satu video menunjukkan 17 orang tawanan yang terdiri daripada pejuang Kurdis dan didakwa akan turut dibakar hidup-hidup seperti nasib seorang juruterbang Jordan baru-baru ini.

Walaupun tidak dinyatakan lokasi sebenar dalam video berdurasi selama empat minit itu, perarakan membawa tahanan berkenaan di dalam sebuah kurungan besi dipercayai berlaku di daerah Hawija, hampir 50 kilometer ke selatan Kirkuk yang telah jatuh ke tangan militan IS baru-baru ini.

Video tersebut menunjukkan beberapa lelaki berbaju oren me­nundukkan kepala mereka ketika diusung di dalam kurungan sambil dikelilingi anggota militan dan penyokong IS. Mereka kelihatan ketakutan selain diejek dan dihina oleh anggota IS, manakala gambar mereka dirakam menggunakan telefon pintar.

Rakaman itu dipercayai bagi membalas dendam perbuatan pasu­kan pejuang Kurdis yang meng­heret mayat-mayat pemberontak IS di bandar ini beberapa hari lalu. Beberapa komen di media sosial mendakwa, IS berniat untuk membakar pejuang-pejuang Kurdis yang ditawan itu seperti juruterbang Jordan, Leftenan Muath al-Kaseasbeh yang dibakar hidup-hidup awal bulan ini.
Penyebaran rakaman itu dibuat selepas IS dilaoprkan berjaya menawan bandar Al-Baghdadi dalam wilayah Anbar di barat Iraq, kira-kira lapan kilometer dari pangkalan udara Al-Asad di mana lebih 300 tentera Amerika Syarikat sedang melatih tentera Iraq. – Agensi.

No comments:

Post a Comment