Kempen Cantik Di Mata bertujuan memberi kesedaran tentang menutup aurat.
HALAMAN HIBURAN
KL: Penyanyi Mizz Nina dan suaminya penyanyi Noh Salleh dilantik sebagai ikon bagi kempen yang bertujuan memberi kesedaran tentang menutup aurat. Lapor mStar Online sebentar tadi.
Mizz Nina berkata demikian ketika ditemui selepas pelancaran kempen Cantik Di Mata yang diadakan di Restoran Rebung, di sini, Rabu.
Mizz Nina atau nama sebenarnya Syazrina Azman, 35, berkata, dia kini menyambung pengajian di Yayasan Ta'lim dengan kerjasama Institut Arees, Texas, Amerika Syarikat dalam proses mendalami Islam.
"Sekarang saya banyak habiskan masa belajar di tempat yang sama dengan Natasha Hudson iaitu di Institut Arees.
"Selain itu juga, jika ada kelas agama berkaitan mengaji Al-Quran dan tajwid saya akan sertai," ujarnya.
Dalam pada itu, mengulas tentang kempen menutup aurat itu, Mizz Nina berkata, dia menganggap aktiviti tersebut sebagai salah satu cara untuk dia berdakwah. Katanya, tanggungjawabnya sebagai ikon bukan bertujuan memaksa setiap orang menutup aurat sebaliknya memberi inspirasi kepada orang ramai melalui penampilannya.
"Saya ditawarkan sejak sebulan lalu dan saya terima kerana ia sesuatu yang belum pernah saya lakukan sebelum ini.
"Tugas saya ialah untuk beri inspirasi kepada masyarakat tentang kehidupan disebalik berpenampilan tersebut," ujarnya.
Kempen yang bermula 14 Februari itu dianjurkan oleh Badan Bukan Kerajaan Islamic Aid Malaysia (AID) dengan kerjasama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Majlis turut dihadiri oleh Pengarah Media Jakim, Datuk Mustafa Kamal A. Razak dan Presiden Islamic Aid Malaysia (AID), Datuk Ismail Noor.
No comments:
Post a Comment