MEMILIH kehidupan semula sebagai seorang wanita Muslimah, pada 3 Julai tahun lalu menjadi detik sejarah dalam kembara hidup bekas model majalah Playboy yang kini selesa dipanggil Rara atau nama Islamnya, Raisyyah Rania Yeap, 28.
Majalah Playboy yang dinaungi oleh Hugh Hefner terkenal dengan gambar-gambar wanita beraksi sensual tatkala ditembak lensa kamera. Diterbitkan pertama kalinya pada tahun 1953 di Amerika Syarikat (AS), edisi tersebut menampilkan figura Marilyn Monroe tanpa pakaian dengan latar belakang baldu merah.
Bergolak dengan kisah lampau, gadis anggun kelahiran Ipoh, Perak itu mengakui, kehidupan sosialnya kini berubah secara total selepas memeluk Islam. Malah, Rara lebih selesa dengan penampilan sopan dan menutup aurat.
Berbicara mengenai perayaan Tahun Baru Cina yang turut sinonim dengan agama anutan keluarganya iaitu Buddha, Rara memberitahu, dia menyambut perayaan tersebut hari ini buat pertama kalinya selepas memeluk agama Islam tetapi meletakkan batas-batas syariat tertentu.
"Perayaan tahun baru lebih kepada adat dan budaya, bukannya bersifat keagamaan. Justeru, tidak menjadi satu kesalahan untuk menyambut perayaan tersebut selagi perbuatan itu tidak bertentangan dengan Islam." Demikan seperti dilaporkan Kosmo! Online hari ini.
Cuma yang sedikit berbeza pada sambutan kali ini, Rara meraikan tahun baru buat pertama kalinya sebagai seorang Islam. Namun, dia menegaskan, ia sekadar mengukuhkan ukhuwah bersama keluarga dan sahabat handai.
“Saya akan menyambut perayaan ini seperti tahun-tahun sebelumnya. Kami sekeluarga akan menziarahi rumah nenek dan datuk di Perak serta berkumpul bersama sanak saudara yang lain di sana.
“Bagaimanapun, pada perayaan kali ini saya mengambil inisiatif untuk menyediakan baju raya yang masih mengekalkan unsur kaum Cina kepada mereka. Namun, dengan potongan labuh dan menutup aurat. Pasti ia menjadi amat bermakna kerana keluarga begitu penting kepada saya,” ujarnya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Rara masih mengamalkan budaya 'makan besar' bersama keluarga yang menjadi adat ketika Tahun Baru Cina. Hal ini kerana dia ingin menghormati keluarganya dan tidak mahu menghadirkan jurang selepas memeluk agama Islam.
“Saya kini lebih menghargai nilai kekeluargaan dan persahabatan kerana dalam Islam juga amat menitikberatkan silaturahim sesama manusia. Sambutan tahun baru ini juga akan digunakan sebaik mungkin dengan meluangkan masa sepenuhnya bersama mereka.
“Perkara itu mampu membuang ‘racun’ dalam fikiran yang sebenarnya Islam tidak membuang keluarga malah memandang perkara ini penting sebagai pemangkin hubungan kekeluargaan,” jelasnya.
Rara tidak putus-putus mengucapkan Alhamdulillah tanda bersyukur kerana dikurniakan keluarga yang begitu memahami apabila dia telah disediakan peralatan dapur untuk digunakan bagi memasak menu halal sepanjang berada di kampung. (IH)
Lihat ini..
E-Buku IH-43: Kisah-kisah Saya Pilih Damai... Islam
No comments:
Post a Comment