Thursday, February 19, 2015

Sambut Tahun Baru Cina Satu Kemestian Bagi Cina Muslim (MACMA)






Mereka yang memakai pakaian berwarna merah dan emas bersama isteri dan anak-anak berkumpul di sebuah kediaman di Taman Sri Ampang di sini bagi menyambut perayaan Tahun Baharu Cina.
Kebiasaannya, orang Cina akan makan besar pada pukul 7 petang namun bagi anggota persatuan MACMA yang ditemui di sini, mereka tidak lupa untuk menunaikan solat Maghrib terlebih dahulu sebelum acara tersebut.

Timbalan Pengerusi MACMA Mohd Hafiz Ng Abdullah, 49, ketika ditemui Bernama berkata istimewanya tahun ini, selain acara makan besar, sambutan Tahun Baharu turut diisi dengan pelbagai aktiviti berfaedah.

"Antaranya turun padang bagi membantu orang Cina yang kurang berkemampuan dan kurang bernasib baik supaya mereka tidak merasa terpinggir daripada menyambut perayaan ini. Kita mahu menyatakan kepada mereka bahawa Islam itu bersaudara," katanya.

Imbas Mohd Hafiz lagi, budaya menyediakan segala kelengkapan baharu yang dilakukan sejak kecil berterusan walaupun mereka sudah memeluk Islam. Begitu juga dengan adat lain seperti makan besar bersama keluarga pada malam Tahun Baharu, membakar mercun dan memberi angpau, jelas beliau yang juga Pegawai Mubaligh Jabatan Agama Islam Perak.

Hafiz yang memeluk Islam pada usia 20 tahun, berkata beliau sekalipun tidak pernah terlepas daripada menyambut Tahun Baharu bersama keluarganya, terutama ketika majlis perjumpaan makan malam.

"Ya, memang dahulu mendapat tentangan sedikit daripada keluarga malah saya terpaksa menyembunyikan status agama saya daripada keluarga lebih lima tahun.
"Tetapi apa yang penting sekarang ialah kami dapat berkumpul bersama kerana mengikut kepercayaan orang Cina, mereka yang makan bersama akan kekal bersama selamanya," ujarnya yang amat mementingkan semangat kekeluargaan.

Sementara itu, bagi Mohd Fuad Lew Abdullah, 42, tahun ini lebih meriah sambutannya kerana beliau menjadi tuan rumah pada malam makan besar sehari sebelum perayaan.

Menurut Rosmina Muhamad, 41, Mohd Fuad turut memasang empat tanglung di halaman rumah mereka sedangkan sudah 20 tahun suaminya itu tidak berbuat demikian.

"Dia gembira sangat, dia balik kerja sahaja terus cakap tahun ini mahu pasang tanglung. Iyalah, kata suami selalu buat pendawaian di rumah orang, pasang tanglunglah, lampulah, jadi tahun ini dia pula nak buat bagi meriahkan suasana rumah," katanya yang dianugerah empat cahaya mata.

Dalam pada itu, Mazni Koh Abdullah, 46, berkata walaupun sudah memeluk Islam, aktiviti bersama keluarga tetap utuh dan terjalin rapat sehingga hari ini.

"Masa dulu-dulu memang saya akan bawa mak berjalan-jalan pergi jumpa saudara mara. Jadi walaupun status agama saya sudah lain, saya sentiasa menjaga hati mak saya.
"Jadi jika dia mahu pergi jumpa saudara yang lain, saya akan cuba untuk bawa dia," katanya yang memeluk Islam pada 1995 selepas mendengar kebaikan agama itu melalui rakannya.

Persatuan MACMA Cawangan Ipoh ditubuhkan pada Julai 2007 bagi membantu dan memberi pendidikan agama Islam kepada saudara baharu dan juga sesiapa yang ingin mendalami agama itu. (mStar)

1 comment:

  1. Islam bukanlah anti budaya, malah Islam memperbaiki budaya. CNY adalah perayaan budaya dan bukannya perayaan berasaskan agama

    ReplyDelete