Saturday, March 14, 2015

1MDB, Ini Kaitan Dengan Kekayaan PM.. -Dr Mahathir

 
Dr Mahathir Mohamad hari ini meneruskan kritikan pedasnya pada isu 1Malaysia Development Bhd (1MDB), termasuk mengaitkannya dengan kekayaan keluarga perdana menteri.

Bekas perdana menteri mempersoalkan kekayaan keluarga Datuk Seri Najib Abdul Razak, termasuk anak tirinya Riza Aziz yang mampu membeli hartanah mewah dan membikin filem di Amerika Syarikat.

Bekas presiden Umno juga mempersoalkan sumber kekayaan tersebut, termasuk projek filem 'The Wolf of Wall Street' oleh Riza.

"Pada mulanya duit Riza dikatakan warisan harta kekayaan dari keluarga Tun Razak (Hussein). Kemudian dakwaan ini dinafi.
"Soalannya jika tidak dari keluarga Tun Razak dari mana datang wang yang banyak ini. Apakah ia hasil dari perniagaan?
"Jika ya, apa perniagaan, di mana? Sudahkah cukai pendapatan dibayar? Kepada kerajaan mana?
"Pelaburan ratusan juta untuk filem 'The Wolf of Wall Street' oleh Riza [...] datang dari mana? Filem ini tidak memberi keuntungan.
"Tidak mungkin filem ini membiayai rumah mewah yang dibeli dengan ratusan juta ringgit atau dolar Amerika," katanya di blognya hari ini.
"Semua perkara-perkara ini tidak akan terdapat dalam akaun 1MDB. Tetapi rakyat ingin tahu kerana melibatkan Jho Low.
"Dan Jho Low disebut-sebut berkenaan dengan pengurusan AS$700 juta daripada 1MDB."

Bagaimanapun 1MDB dan Jho Low menafikan sebarang salah laku dalam urus niaga mereka.

Perdana menteri juga menafikannya dan bercadang menyaman akhbar PAS Harakah atas dakwaan, antaranya, anak tirinya mendapat dana 1MDB.

Sebelumnya, dalam artikel yang panjang dan bernada terus terang itu, Dr Mahathir berkata tuduhan-tuduhan terhadap syarikat itu - lembaga penasihatnya dipengerusikan oleh Najib - tidak sembarangan tetapi disertaikan juga "fakta yang jelas."

"1MDB bukan buat hutang biasa seperti kerajaan yang biasanya berjumlah hanya ratusan juta (ringgit) sahaja. 1MDB telah hutang berbilion ringgit.
"Walaupun 1MDB bukan kerajaan tetapi ia adalah badan yang ditubuh dan dimiliki oleh kerajaan sepenuhnya dengan modal sebanyak RM1 juta.
"Ada juga jaminan oleh kerajaan terhadap beberapa hutang 1MDB. Oleh itu kerajaan tidak boleh mendakwa bahawa ini masalah syarikat dan bukan masalah kerajaan.
"Kerajaan sudah melantik ketua audit negara untuk memeriksa akaun 1MDB. Tetapi ini tidak akan menjawab banyak soalan yang telah dikemukakan dan dibincang oleh rakyat," katanya.
"Dakwaan-dakwaan yang dibuat terhadap 1MDB bukan berbentuk tuduhan melulu. Ia disertai dengan fakta yang jelas iaitu jumlah hutang, siapa yang mengurus, siapa yang menerima wang berbilion ringgit, pelaburan yang dibuat, di mana wang ini disimpan, dalam bentuk apa.
"Nama Jho Low disebut berkali-kali. 


Demikian juga nama-nama syarikat miliknya. Tuduhan dibuat berkenaan dengan pembelian rumah mewah olehnya di London, New York dan Hollywood.

"Lepas itu rumah dijual kepada anak tiri perdana menteri dengan harga ratusan juta ringgit. Sudah tentu ini tidak disebut dalam akaun 1MDB yang akan diperiksa oleh ketua aduit negara (AG)."

No comments:

Post a Comment