Friday, March 13, 2015

2 Polis AS Ditembak, Lagi Tunjuk Perasaan Perkauman

BEBERAPA anggota polis berkawal di luar ibu pejabat polis Ferguson, di Missouri semalam.

FERGUSON, Missouri – Dua anggota polis ditembak semasa satu tunjuk perasaan di luar ibu pejabat polis Ferguson, dalam negeri Missouri awal semalam, kata polis.

“Dua anggota polis St. Louis ditembak sejurus selepas tengah malam. Keadaan mereka masih tidak diketahui,” kata Jabatan Polis St. Louis dalam mesej di laman Twitter.

Terdahulu, akhbar tempatan, St. Louis Post-Dispatch me­laporkan ketua polis Ferguson, Leftenan Kolonel Al Eickhoff sebagai berkata, beliau percaya dua anggota polis itu bukan daripada jabatannya tanpa mengulas lanjut.

Beberapa puluh penunjuk perasaan melarikan diri selepas mereka mendengar bunyi tembakan sekitar tengah malam dengan sebahagiannya menjerit, “Mereka menembak polis,” me­nurut seorang jurugambar agensi berita Reuters di lokasi kejadian.

Berpuluh-puluh penunjuk perasaan berhimpun di luar ibu pejabat polis Ferguson malam kelmarin, beberapa jam selepas ketua polis bandar itu, Thomas Jackson mengumumkan peletakan jawatannya.

“Penembak itu berada di puncak sebuah bukit,” kata seorang aktivis yang menyertai protes tersebut, Deray McKesson.

Kumpulan penunjuk perasaan mendesak supaya Jackson meletak jawatan sejak insiden seorang remaja kulit hitam, Michael Brown, 18 mati ditembak oleh anggota polis kulit putih, Darren Wilson pada 9 Ogos 2014.

Pembunuhan itu mencetuskan bantahan di seluruh Amerika Syarikat, manakala Wilson tidak dikenakan sebarang pendakwaan. – Reuters

Lihat juga..

No comments:

Post a Comment