Aksi Dyana untuk mengutip dana yang didakwa Puteri UMNO kurang sopan di sebuah majalah antarabangsa - Gambar Facebook Dyana
KL: INI gambar aksi kurang sopan? Pergerakan Puteri UMNO membidas dan menyindir sebarang usaha mengutip dana oleh bekas calon DAP pada pilihan raya kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud.
Menurutnya, Dyana atau puteri dari parti DAP itu mengutip dana dengan aksi 'selfie' yang kurang sopan di bilik tidur.
Ketua Penerangannya, Haryaty Hamdzah berkata, aksi itu juga boleh dikategorikan sangat memalukan selain menyifatkan ia tindakan tidak manis dilakukan seorang wanita muda.
"Wanita muda tidak boleh menggunakan aksi sedemikian untuk menarik perhatian, lebih-lebih lagi untuk mengumpul dana.
"Ia perlakuan yang memalukan, Dyana harus fikir cara lain yang lebih sopan daripada bergambar dengan gaya sebegitu di bilik tidur," katanya ketika dihubungi di sini semalam, seperti dilapor astroawani.
Haryaty mengulas tindakan Dyana dengan memakai baju putih di bilik tidur dan dipaparkan di majalah Marie Claire. Ia merupakan sebahagian daripada kempen 'Wake Up To A Good Cause' bagi tujuan pengumpulan dana bagi Pertubuhan Pertolongan Wanita (WAO).
Kempen itu menyarankan kepada personaliti tempatan untuk merakamkan foto mereka tanpa solekan dan Marie Claire akan mendermakan RM10 untuk setiap foto yang dimuatnaik ke laman sosial Instagram. Selain Dyana, ia turut disertai pelakon Sharifah Amani dan model Carmen Soo.
Dalam pada itu kata Haryaty, Dyana harus memikirkan cara yang lebih sopan daripada bergambar dengan aksi-aksi di bilik tidur untuk mencari dana.
"Selain dia ahli politik, Dyana perlu buat pendekatan ke arah kemasyarakatan dan tidak mengeksploitasi tubuh badan.
"Selain tidak sesuai dengan agama Islam sendiri dengan aksi yang memalukan, dia juga harus berfikir cara lain yang lebih sopan," ujarnya.
Jelasnya lagi, Dyana juga dinasihat untuk memikirkan cara lain yang lebih dekat dengan masyarakat jika mahu mengutip dana.
"Dia boleh berjumpa masyarakat atau menganjurkan majlis yang lebih baik untuk mencari dana. Kita bukan budaya barat untuk tayang tubuh ke sana ke sini semata-mata untuk tujuan berkenaan," katanya.
Sebelum ini, Dyana pernah dikatakan menggemparkan negara dengan beberapa keping gambar di media sosial yang memaparkan aksi dua individu mirip Dyana dan Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dalam keadaan berpelukan mesra.
Komen weblog Ibnu Hasyim: Sejak bila pula UMNO atau Puteri UMNO menilai sesuatu menurut kayu ukur Islam (.. Selain tidak sesuai dengan agama Islam sendiri.. ) dalam segala tindak tanduk kegiatannya?
Sedangkan UMNO sendiri selepas kemerdekaan dulu menganjurkan kutipam dana melalui sistem 'judi loteri' yang jelas haram dari sudut agama Islam. Bahkan kerajaan Malaysia pimpinan UMNO/BN sekarang pun 'main judi' bola sepak untuk dapatkan dana, mengapa tidak fikir kesesuaian dengan agama Islam?
Rupanya sama saja DAP dan UMNO dari sudut tidak fikir halal-haram dalam Islam! Sama-sama parti duniawi semata-mata (sekular), tidak dikaitkan ukhrawi yang kekal abadi.
No comments:
Post a Comment